NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agihan kerusi: Pemimpin PAN Selangor 'hentam' PKR





SHAH ALAM 1 Feb. - Isu pembahagian kerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP di Selangor ketika ini dilihat semakin panas apabila pemimpin-pemimpin PAN mengingatkan PKR supaya tidak memandai-mandai membuat perancangan sendiri untuk bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Peringatan itu ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa PAN Pusat, Hasnul Baharuddin ekoran tindakan PKR yang sehingga kini masih gagal mengemukakan jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi dalam PRU-14 meskipun beberapa siri mesyuarat serta rundingan membabitkan kepemimpinan Pakatan Harapan Selangor telah diadakan sebelum ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib berkata, kegagalan PKR berbuat demikian telah menyebabkan proses memuktamadkan pembahagian kerusi DUN Selangor tergendala sehingga ke hari ini.

“Jika PKR berhasrat (merancang) mahu bertanding 30 daripada 56 kerusi DUN di Selangor, saya fikir itu tidak rasional dan tidak logik. PKR tidak bolehlah nak kuasai semua kerusi DUN kerana sebarang penetapan kerusi, ia harus dibincang serta dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Harapan.

“Selain itu, semua kerusi yang nak ditandingi PKR itu perlu juga mengambil kira keadaan semasa. Maknanya, jika sesebuah kerusi itu terdiri daripada majoriti pengundi Melayu, adalah lebih baik ia ditandingi oleh PAN atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Hasnul berpandangan, formula pembahagian kerusi yang lebih baik adalah PKR bertanding 21 kerusi DUN di Selangor dan DAP bertanding 15 kerusi manakala kerusi selebihnya ditandingi oleh PAN dan PPBM.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pembahagian kerusi itu yang sepatutnya diselesaikan pada 31 Januari lalu terpaksa dilanjutkan sehingga 7 Februari ini yang mana ia akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Presiden (MPP) Pakatan Harapan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad menuntut PKR Selangor memberikan komitmen penuh dalam usaha pembahagian kerusi itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, PKR tidak boleh menganggap mereka mendominasi Pakatan Harapan sehingga tidak memerlukan pandangan serta persetujuan daripada parti-parti lain dalam sesuatu perkara.

“Selangor ini bukan negeri PKR, sepatutnya pembahagian kerusi DUN Selamgor perlu dimuktamadkan segera,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

































________________ 

Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo