NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU-14: UMNO Terengganu jangka menang besar?


KEMAMAN 21 Jan. - UMNO dan Barisan Nasio­nal (BN) mampu mencapai kemenangan le­bih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk mengukuh­kan lagi kerajaan sedia ada berdasarkan senario semasa di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO ne­geri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, bersandarkan gerak kerja parti dan kaji selidik oleh pelbagai pihak, parti pe­merin­tah itu disasarkan mampu meraih sekurang-kurangnya 24 daripada 32 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) dan enam dari­pada lapan kerusi Parlimen.

Namun beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih mengingatkan bahawa ahli-ahli parti tidak seharusnya berasa begitu yakin dan meletakkan mereka keadaan selesa malah perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kejayaan itu. 

“Saya yakin kita berada di landasan yang betul dan hasil daripada kerja kuat oleh semua jentera kita selama ini, dengan permuafakatan yang terjalin, kita sudah bersedia menghadapi pilihan raya,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Taklimat Kesiapsiagaan PRU-14 UMNO Bahagian Kemaman di sini malam semalam yang disempurnakan oleh Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Ahmad Said. 

Menurut Wan Abdul Hakim, dengan kewujudan dua parti baharu yang bakal bertanding, Pas tetap saingan utama UMNO dan BN, bukannya PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dianggap tidak mempunyai pengaruh. 

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berharap BN dapat kembali menguasai kesemua kerusi di Kemaman setelah DUN Cukai terlepas kepada Pas pada PRU-13, sekali gus membantu menyumbang kemenangan lebih besar di peringkat negeri. 

Beliau mengingatkan biarpun laporan-laporan menunjukkan kemenangan lebih berpihak kepada BN di negeri ini, namun keyakinan itu perlu ada batasnya dengan menjadikan tahun 1999 sebagai contoh apabila tampuk pemerintahan terlepas kepada Pas. 

“Kita pernah kalah hampir semua DUN kecuali Kemasik dalam Parlimen Kemaman pada tahun 1999 sedangkan semua beranggapan Kemaman adalah benteng kekuatan UMNO negeri,” ujar­nya. 

© all rights reserved
made with by templateszoo