NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS: Amanat Hadi bukan kafirkan orang Islam



KANGAR 2 Jan. - Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyalahkan para mufti dalam peristiwa Memali pada 1985 disifatkan sebagai tidak berasas, sekali gus menunjukkan bekas Perdana Menteri itu sudah lupa dengan situasi sebenar kejadian tersebut.

Soal Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, adakah Dr. Mahathir sedar bahawa Majlis Fatwa dan juga para mufti telah memberi pandangan bahawa amanat Haji Hadi sebenarnya bukan mengkafirkan orang Islam sehingga boleh mencetuskan perpecahan pada masa itu?

Sebaliknya kata beliau, ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika itu adalah menyentuh secara umum dengan berpandukan al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dilihat secara menyeluruh.

“Tetapi hari ini, Dr. Mahathir terus mengaitkan Allahyarham Ibrahim Libya dengan keganasan disebabkan amanat Haji Hadi. Saya lihat tidak betul langsung,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Markas Pas Cawangan Padang Pauh di sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr. Mahathir yang menyalahkan para mufti kerana tidak menghalang peristiwa Memali daripada berlaku sehingga mengorbankan 18 nyawa.

Tambah Hashim, beliau percaya rakyat boleh menilai siapa sebenarnya Dr. Mahathir ketika zaman pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.

“Kita dapat lihat apa yang berlaku pada zaman dia (Dr.Mahathir) di mana anak dan cucunya kaya-raya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Pas sama sekali tidak boleh menerima tindakan Dr. Mahathir yang mana perjuangan dan matlamatnya hanya semata-mata ingin menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelasnya, pendirian Pas jelas iaitu untuk melihat perubahan dasar dalam pemerintahan kerajaan hari ini dan bukan menukar pemimpin sesuka hati.- UTUSAN ONLINE
© all rights reserved
made with by templateszoo