NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Cikgu Azizan: Keluarga pelajar berkenaan tertekan


SEREMBAN - “Saya belum bersedia." Demikian kata bapa murid berusia 11 tahun yang didakwa menghadapi masalah disiplin sehingga mengheret Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan ke mahkamah.

Lelaki berusia 50 tahun itu ketika ditemui di rumahnya di Nilai semalam berkata, dia menerima banyak tekanan daripada pelbagai pihak berkaitan isu itu.

"Nanti saya akan jelaskan. Sekarang ni kami sekeluarga terima terlalu banyak tekanan," katanya tanpa mahu mengulas lebih lanjut.

Kes Cikgu Azizan menjadi kemuncak hari ini apabila dia didakwa di Mahkamah Majistret Seremban sebentar tadi dan dilepas tanpa membebaskan Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya, Oktober lalu.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak Nilai, berharap orang ramai tidak terus mengecam keluarga murid berkenaan.

Yang Dipertuanya, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, disebabkan kes terbabit keluarga murid terbabit berhadapan dengan tekanan.

“Bapa murid berkenaan membuat laporan polis kerana diminta oleh pihak hospital berbuat demikian selepas anaknya dibawa mendapatkan rawatan selepas kejadian.

“Bagi saya dia sebenarnya hanya mengikut prosedur sehingga kes dibawa ke mahkamah mengikut prosedur undang-undang," katanya.

Beliau menjelaskan, bukan bapa murid itu yang menyaman Cikgu Azizan di mahkamah.

Md Fakarudin berkata, murid berkenaan dan keluarganya perlu diberi peluang untuk meneruskan hidup dengan keadaan tenang selepas ini.

Tambahnya, dalam kes ini, pihak pentadbir sekolah sepatutnya memainkan peranan agar kes ini dapat diselesaikan secara baik.

"Sebelum ini kami sudah berusaha yang terbaik untuk menyelesaikan kes ini, alhamdulillah akhirnya selesai juga," katanya.

© all rights reserved
made with by templateszoo