NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan kecam, politikkan program Jejak Harmoni, kata menteri

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata program Jejak Harmoni memberikan kefahaman kepada masyarakat terhadap pelbagai anutan agama dan budaya yang perlu dihormati.


KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berharap penganjuran program Jejak Harmoni yang menyantuni pemimpin agama dan penganut di rumah-rumah ibadat di negara ini tidak dikecam atau dipolitikkan.

Menterinya Aaron Ago Dagang berkata program itu bagi menandakan kebersamaan dan kesatuan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, adat, budaya dan kepercayaan agama.

Aaron berkata penganjuran program itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama yang dipengerusikan beliau dan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar pada 28 Okt tahun lepas.

“Kita faham di sesetengah negeri, ia mungkin sensitif kerana hal berkaitan agama ialah bidang kuasa di peringkat negeri tetapi bukan semua (negeri) tidak boleh.

“Kita sudah mengadakannya di Labuan dan Perlis dan sambutannya rancak, jadi saya harap ia tidak dipolitikkan kerana ia program bersiri yang akan diadakan sehingga November melibatkan beberapa lagi negeri dengan esok perasmiannya di Brickfields,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas hadir sebagai tetamu pada program Ruang Bicara: Inisiatif Harmoni Madani terbitan Bernama TV.

Aaron berkata Jejak Harmoni merupakan sebahagian aktiviti di bawah Inisiatif Harmoni Madani yang dilaksanakan sama ada secara berjalan kaki (Harmoni Walk), menunggang basikal atau menaiki kenderaan (Harmoni Ride).

Menurutnya, ia bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat terhadap pelbagai anutan agama dan budaya yang perlu dihormati dan diterima terutama dengan wujudnya pelbagai isu 3R (agama, raja, kaum) akhir-akhir ini.

“Kalau kita imbas kembali isu-isu itu, yang menjadi masalah teras ialah literasi dan kefahaman dari sudut agama, undang-undang dan sebagainya. Kita anggap kita tahu tetapi sebenarnya tidak tahu.

“Jadi menerusi program ini, kita tekankan dan gunakan konsep faham, hormat dan terima sesuatu agama yang dianuti sebab kita dalam sistem kepelbagaian,” katanya.

Katanya aktiviti lain di bawah inisiatif sama ialah sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, Podcast: Bicara Harmoni, Dialog Harmoni, Dokumentari Harmoni, Seminar Tokoh Pelbagai Agama dan Wacana Memupuk Perpaduan Dalam Kalangan Penganut Pelbagai Agama.



Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo