NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Islamofobia: Semakin banyak Islam cuba dikelirukan, semakin terserlah kebenarannya.




“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As-Saff: 8)


Islam dibenci, dimusuhi dan dijadikan sasaran semua tuduhan buruk dan negatif dengan label pengganas, pelampau, jakun, mundur dan sebagainya. Dihalang berpolitik kalau tujuannya melaksanakan syariat. Dihalang kalau berjaya dan maju dalam lapangan apa sahaja. Dinar tidak layak menggantikan Dolar atau Euro. 

Kalau Islam mampu membangunkan teknologi nuklear walaupun tujuannya damai seperti perubatan dan tenaga eletrik, meskipun ditegaskan dalam hukum Islam bahawa haram bersikap melampau dalam peperangan dan berdosa kalau melampau biarpun terhadap musuh bukan Islam, apatah lagi yang tidak menceroboh, namun kalau jenamanya Islam tetap dicop sebagai melampau juga. 

Adapun semua pihak bukan Islam diizinkan semuanya. Parti Yahudi di Israel, Parti Kristian di Jerman, Parti Hindu di India dan pelampau Buddha di Myanmar dibenarkan memerintah negara dan melakukan apa sahaja terhadap penganut Islam di atas nama agamanya. 

Semua negara bukan Islam, khususnya negara haram Israel dibolehkan memiliki apa sahaja senjata pemusnah manusia, binatang dan alam sekitar. Kalau dibantah dipejamkan mata. Apabila melakukan ujiannya, tidak mempedulikan terhadap penduduk tempatan dan alam sekitar di Lautan Pasifik, Hindi dan lain-lain. Alasannya kerana kemajuan sains dan teknologi.  

Halal bagi Presiden Bush menyebut Perang Salib kerana Peristiwa 11 September yang dituding jari terhadap Islam secara melulu sebelum disiasat dengan adil dan telus. Terus menyerang Afghanistan dan Iraq, rakyat awam lebih banyak menjadi mangsa tanpa dipedulikan.

Semua yang ada bayangan Islam atau asal usulnya Islam, apa lagi yang mengisytiharkan Islamnya, semuanya disenarai hitamkan dalam satu bakul sampah yang wajib dibakar hangus. Bukan sahaja Saddam Husain dan Qazzafi yang diumumkan zalim dalam senarainya, termasuk mana-mana dan sesiapa yang berjenama Islam semuanya dilabel ganas, tanpa mengira Mazhab Sunni, Syiah, Salafi, Wahabi, Khalafi dan sebagainya.

Hanya kelibat berita tentang senjata yang boleh membahayakan Israel, maka terus diserangnya kilang susu di Sudan, Libya, Syria dan diganyangnya Iraq, tetapi tidak Korea Utara, walaupun sudah melancarkan ujian senjatanya ke laut dan mengancam USA. Barangkali kerana bezanya di antara Islam dan bukan Islam. 

Mereka juga membaling batu sembunyi tangan, kerana terdedahnya penglibatan mereka dalam kemunculan Taliban, ISIS, pembekalan senjata termasuk senjata kimia yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa tetapi halal bagi mereka. Kalau terdedah, beritanya diletakkan dibawah karpet yang nipis kelihatan, mereka sengaja memejamkan mata dan mahu menutup mata orang lain. 

Islamofobia bukan sahaja diwabakkan terhadap negara seperti Iran yang mencabarnya dengan nama Republik Islam Iran dan kemajuan teknologinya yang mencabar secara terangan, termasuk Arab Saudi sahabatnya yang akrab, walaupun benderanya mengucap Dua Kalimah Syahadah diminta supaya nyatakan sekular dan liberalnya, tidak cukup dijadikan lembu susuan yang hanya diberikan rumput kering, disuruh berlaga dengan Iran, jangan menanduk Israel. Bahkan Israel dimartabatkan laksana polis yang dibiayai oleh mafia, menjaga keselamatan di rantau itu dan boleh bertindak apa-apa sahaja. 

Adapun mereka yang mempertahankan Islam dan tanah sucinya dan gagah berani menentang keganasan negara haram itu, seperti Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah pula disenaraikan sebagai pengganas.  

Kalau ada parti yang berdasarkan Islam dan melaksanakan syariat, jangan diberi kemenangan walaupun mereka memilih pendekatan demokrasi. Kalau menang juga dibatalkan seperti Masyumi di Indonesia, FIS di Algeria dan Ikhwanul Muslimin di Mesir. 

Termasuk juga individu bernama Islam, walaupun menang hujahnya, bukannya dengan senjata, seperti Dr. Zakir Naik yang dikira pengganas kerana hujahnya tidak boleh dilawan. Mereka bertindak seperti Raja Babilon bernama Namrud yang kalah berhujah dengan Nabi Ibrahim A.S, lalu Nabi yang mulia ini dikira salah dan dihukum bakar ke dalam api yang besar. 

Demokrasi, kebebasan, hak asasi bukan untuk umat Islam, kerana dianggap spesis makhluk bukan manusia yang layak berhak menerimanya. Maka pencabulan terhadapnya dibiarkan atau ditangguhkan tindakannya kalau didesak atau divetokan segala keputusan yang berpihak kepada Islam. 

Hukum merekalah yang paling adil, walaupun membunuh dengan melaksanakan cara yang mengerikan, seperti menjerut tali ke leher atau kejutan eletrik kepada orang yang dihukum, kesalahannya boleh dibuktikan oleh saksi yang mabuk arak dan kaki maksiat yang tidak dijamin benarnya kerana tidak ada maruah. 

Adapun hukum Islam yang bernama Qisas, Hudud dan Takzir, walaupun disabitkan dengan saksi yang adil dan bermaruah tinggi atau pengakuan secara rela hati, cara menjatuhkan hukumannya paling beradab sopan dengan syarat-syarat yang ketat, namun dikira hukum yang zalim dan kejam.

Mereka mahukan Islam yang membuka pintu kepada perkara yang diharamkan oleh Allah seperti judi, arak dan sebagainya kepada penganut Islam, walaupun tidak disekat penganut agama lain yang melakukannya, kerana mereka mahukan orang Muslim menerima konsep bahawa urusan negara adalah kepunyaan kita, agama sahaja kepunyaan Allah. 

Wanita Islam yang menutup aurat dianggap mengongkong diri dan tidak tahu bersosial. Adapun yang bebas memakai pakaian mendedahkan sebahagian besar badannya tanpa rasa malu, sehingga ada yang bertelanjang dikira hak kebebasan yang dihormati. 

Mereka yang menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dikira bahaya mengancam ketenteraman masyarakat. Adapun yang melakukan kemungkaran dan melindunginya dikira hak kebebasan dan penambah hasil negara.  

Mereka mahukan Islam tanpa hidayah mengikut bahasa Al-Quran yang dianggap jelik. Jenama yang mereka mahu ialah Islam Liberal atau Islam Sekular yang meninggalkan aqidah, syariat dan akhlak, yang dikira sealiran dengan zaman kini, walaupun kembali ke zaman jakun dan sudah nyata parah tanda kemusnahannya.  

Demikianlah hukuman dan anggapannya terhadap Islam. Media massa yang dikuasai digunakan habis-habisan untuk menyebarkan maklumat tersebut dalam dunia tanpa sempadan dan langit terbuka.

Mereka lupakan pepatah mereka sendiri bahawa semua manusia tidak boleh ditipu dalam semua masa. Apabila Islam dicemuhkan, maka tetap ada kalangan manusia yang ingin tahu hakikat yang sebenar, lalu membaca dan mengkaji Islam. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh manusia yang berakal. Percayalah! Makin banyak Islam dikelirukan, makin nyata lagi bersuluh kebenarannya.

Sepatutnya mereka mendengar firman Allah:

۞Ł‚ُŁ„ۡ Ų„ِŁ†َّŁ…َŲ§ٓ Ų£َŲ¹ِŲøُŁƒُŁ… ŲØِŁˆَٰŲ­ِŲÆَŲ©ٍۖ Ų£َŁ† ŲŖَŁ‚ُŁˆŁ…ُŁˆŲ§ْ Ł„ِŁ„َّŁ‡ِ Ł…َŲ«ۡŁ†َŁ‰ٰ ŁˆَŁُŲ±َٰŲÆَŁ‰ٰ Ų«ُŁ…َّ ŲŖَŲŖَŁَŁƒَّŲ±ُŁˆŲ§ْۚ Ł…َŲ§ ŲØِŲµَŲ§Ų­ِŲØِŁƒُŁ… Ł…ِّŁ† Ų¬ِŁ†َّŲ©ٍۚ Ų„ِŁ†ۡ Ł‡ُŁˆَ Ų„ِŁ„َّŲ§ Ł†َŲ°ِŁŠŲ±ٞ Ł„َّŁƒُŁ… ŲØَŁŠۡŁ†َ ŁŠَŲÆَŁŠۡ Ų¹َŲ°َŲ§ŲØٖ Ų“َŲÆِŁŠŲÆٖ Ł¤Ł¦ Ų³ŲØŲ£.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).” (Surah Saba’: 46)

Akhirnya ketahuilah bahawa tidak ada sesiapa yang dapat memadamkan cahaya matahari dan bulan ciptaan Allah, begitulah juga tidak boleh memadamkan cahaya Islam, kerana juga daripada Allah:

ŁŠُŲ±ِŁŠŲÆُŁˆŁ†َ Ł„ِŁŠُŲ·ۡŁُِٔŁˆŲ§ْ Ł†ُŁˆŲ±َ Ł±Ł„Ł„َّŁ‡ِ ŲØِŲ£َŁۡŁˆَٰŁ‡ِŁ‡ِŁ…ۡ ŁˆَŁ±Ł„Ł„َّŁ‡ُ Ł…ُŲŖِŁ…ُّ Ł†ُŁˆŲ±ِŁ‡ِŪ¦ ŁˆَŁ„َŁˆۡ ŁƒَŲ±ِŁ‡َ Ł±Ł„ۡŁƒَٰŁِŲ±ُŁˆŁ†َ ŁØ Ų§Ł„ŲµŁ

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As-Saff: 8)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Safar 1439 / 27 Oktober 2017

© all rights reserved
made with by templateszoo