NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: Utamakan kestabilan dan kepentingan rakyat - Mantan Menteri Besar



⁠⁠⁠⁠Saya mengalu-alukan dan mengucapkan syukur ke atas kenyataan pantas serta bijaksana DYMM Sultan Selangor yang telah memberi perkenan dan mengesahkan kedudukan tiga Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) yang mewakili parti PAS untuk kekal di dalam Kerajaan Negeri.

Kenyataan DYMM Tuanku bukan sahaja memberi pencerahan kepada kemelut politik yang melanda Negeri Selangor sejak beberapa bulan lalu tetapi juga akan membawa kepada kestabilan pentadbiran dan pengurusan negeri.

Gesaan DYMM Tuanku agar menghormati bulan Ramadan juga sangat bijaksana justeru bagi memastikan perkara-perkara jelek yang berlaku pada bulan Ramadan 2014 tidak berulang. Tambahan pula saya pasti rakyat telah jemu disogokkan dengan pelbagai kenyataan politik yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada pembangunan negeri baik dari segi ekonomi mahupun kebajikan rakyat.

Saya mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga EXCO yang mewakili PAS – iaitu YB Iskandar Samad, YB Dr Ahmad Yunus Hairi dan YB Zaidy Abdul Talib yang mendapat kepercayaan DYMM Sultan untuk terus berkhidmat kepada kerajaan Tuanku. Justeru amat penting bagi ketiga-tiga mereka memberi sepenuh komitmen dalam memastikan perkhidmatan yang cekap, telus dan bertanggungjawab.

Saya juga amat berharap agar mereka bertiga akan mengotakan janji di dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada Pilihanraya 2013 yang lalu, khususnya dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri air Selangor kerana itulah yang menjadi sebab utama rakyat Selangor memberikan mandat yang besar untuk terus mentadbir negeri ini.

Saya mengambil kesempatan ini menyeru agar YB Zaidy yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pengambilalihan industri air di Selangor agar mengkaji semula keputusan Kerajaan Negeri membayar syarikat konsesi SPLASH sebanyak RM2.8billion iaitu lebih sepuluh gali ganda daripada nilai ekuiti asal.

EXCO PAS ini juga diharapkan dapat menyiasat dakwaan awam bahawa terdapat salahguna kuasa dalam aktiviti perlombongan pasir dan aktiviti perlombongan pasir haram yang kian berleluasa di negeri ini. Tambahan pula kita turut dikejutkan dengan berita terdapatnya manipulasi di dalam penjualan hartanah milik kerajaan yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat Pemaju serta tidak memberi manfaat yang sepatutnya kepada kerajaan negeri.

Saya ingin menegaskan sekali lagi, saya tidak akan berhenti menuntut agar pentadbiran sedia ada meletakkan kepentingan rakyat di tempat utama di dalam membuat sebarang keputusan. Sesungguhnya suatu pentadbiran yang baik bukan sahaja cemerlang mengurus harta negeri dan membawa pendapatan kepada negeri tetapi elemen yang amat penting ialah memastikan tiada ketirisan di dalam setiap bentuk pembangunan dan program kebajikan yang dilaksanakan.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Ihya Ramadhan Kareem kepada semua umat Islam. Moga Allah SWT memberkati segala usaha yang kita lakukan untuk kemakmuran agama, negeri dan rakyat.

TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM                        

© all rights reserved
made with by templateszoo