NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: PAS kekal dengan mandat rakyat, junjung perkenan Sultan




Kenyataan Akhbar PAS Negeri Selangor
PAS Selangor telah mengambil maklum terhadap Titah Tuanku DYMM Sultan Selangor melalui kenyataan khas terhadap kedudukan Exco PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor. Kenyataan ini juga sekaligus mengambil maklum terhadap pendirian yang telah dibuat oleh PKR melalui kenyataan Presidennya sejurus selepas mesyuarat Biro Politik mereka. PAS menjunjung kasih dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh DYMM Tuanku Sultan serta berterima kasih atas pendirian yang telah dibuat oleh PKR.

Sejak dari awal mandat rakyat ini diperolehi melalui Kerajaan Pakatan Rakyat mei  2013, PAS Selangor begitu TEGUH DAN SETIA bersama-sama dengan semua Menteri Besar yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor. Sama ada ketika Selangor dipimpin oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apatah lagi dengan Menteri Besar Selangor sekarang, Dato’ Seri Mohammad Azmin Ali. PAS Selangor percaya bahawa KESETIAAN dan KEYAKINAN terhadap pemimpin yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan adalah asas penting untuk mempastikan KESTABILAN POLITIK dapat dipelihara dengan baik dan waktu yang sama KEPERCAYAAN RAKYAT dapat dilaksanakan dengan jayanya.

PAS Selangor telah mempertegaskan sebelum ini bahawa keputusan untuk putus Tahaluf Politik adalah yang berkaitan dengan persediaan menghadapai pilihanraya yang akan datang dan tidak berkait dengan urustadbir kerajaan negeri. PAS Selangor juga mengambil pendirian bahawa putus tahaluf bukan bermakna putus silaturrahim, putus setiakawan, putus hubungan kerjasama dalam melakukan kebaikan (Taawun). Bahkan  akan terus memperkukuhkannya.

PAS Selangor melalui 3 Exco dan 10 wakil rakyatnya akan terus bekerja bersungguh-sungguh dan meneruskan kesetiaan dan khidmat cemerlang mereka  bersama dengan Dato’ Menteri Besar dan kesemua exco dan wakil rakyat kerajaan Negeri Selangor. Apa yang penting bagi kami, kepentingan rakyat dan kestabilan politik adalah keutamaan yang tiada tukar gantinya.

Menyedari terhadap demografi masyarakat negeri Selangor, PAS akan terus menggunakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dalam menghadapi situasi yang mendatang. Berpolitik secara santun, berpolitik secara hujjah bukan sumpah seranah, berpolitik secara rasional dan bukan emosional adalah antara keperluan bagi memastikan kestabilan kerajaan tercapai. Bagi pihak-pihak yang sering mengeluarkan perkataan sumbang, yang dengki dengan kejayaan Kerajaan Selangor dan yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana konflik politik di Selangor harap dapat mengambil pengajaran dan peringatan terhadap Titah  DYMM Tuanku Sultan Selangor serta meyakini pendirian yang telah dinyatakan oleh Presiden PKR. Teguh dan setia bersama rakyat.

Salam Ramadhan Karim


YB TUAN HJ SALLEHEN BIN MUKHYI
Pesuruhjaya PAS

© all rights reserved
made with by templateszoo