Header Ads

IPeguam Tegaskan Pendirian Sokong RUU 355

IPeguam sekali lagi menegaskan bahawa cadangan pindaan RUU355 adalah sah di sisi Perlembagaan dan umat Islam di Malaysia diseru agar menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah sedia ada.

IPeguam sekali lagi menegaskan bahawa cadangan pindaan RUU355 adalah sah di sisi Perlembagaan dan umat Islam di Malaysia diseru agar menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah sedia ada. IPeguam masih berpegang dengan kenyataan-kenyataan rasmi yang dibuat sebelum ini seperti berikut:

http://www.ismaweb.net/2016/06/kenyataan-sokongan-ipeguam-terhadap-pindaan-akta-355-akta-mahkamah-syariah-bidang-kuasa-jenayah-1965/
http://www.ismaweb.net/2016/09/ruu355-kritikan-mujahid-terhadap-mufti-wp-tidak-berasas/

IPeguam turut mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri (TPM) di atas usaha beliau mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Islam di dalam satu sesi penerangan serta perbincangan berkenaan RUU355 sejurus sebelum pembentangan cadangan pindaan dibuat yang ternyata disambut baik oleh ahli-ahli Parlimen dari pelbagai latar belakang politik merentasi kepentingan kepartian yang sempit. Ini membuktikan bahawa RUU355 adalah salah satu usaha memartabatkan kedudukan Islam di Malaysia yang mampu menyatupadukan umat Islam di Negara ini.

Tentangan terhadap RUU355 berterusan

Walaubagaimanapun, IPeguam menyelar siri tentangan terhadap RUU355 ini yang tampil dengan kaedah yang terdesak.

Baru-baru ini, Presiden parti perkauman MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan akan meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya RUU355 ini diluluskan di Parlimen.

Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie dilaporkan turut membangkang RUU355 dengan mendakwa bahawa ahli-ahli Parlimen Islam bukan hanya mewakili umat Islam bahkan orang bukan Islam seolah-olah RUU355 yang hanya dikuatkuasakan ke atas orang Islam akan memprejudis hak dan kepentingan orang bukan Islam, yang mana ia dinafikan. Namun, beliau dan ahli-ahli Parlimen dari parti MCA terlupa bahawa orang Islam juga memilih mereka menjadi wakil rakyat dan kepentingan serta hasrat orang Islam juga perlu dipertahankan oleh ahli-ahli Parlimen bukan Islam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut tidak melepaskan peluang daripada menyatakan kutukan terhadap RUU355. Bahkan, kenyataan beliau di dalam blog dengan tajuk “MCA, MIC, Gerakan And SUPP Should Withdraw From BN Following BN’s Endorsement Of Hudud-Like Laws“ adalah berbaur hasutan dan boleh didakwa kerana “mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan” seperti yang termaktub di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Hasutan 1948, “mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia” seperti yang termaktub di bawah Seksyen 3 (1) (c) Akta Hasutan 1948, dan “mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia” seperti yang termaktub di bawah Seksyen 3 (1) (d) Akta Hasutan 1948.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah bertitah ketika menyampaikan ucapan pembukaan Parlimen ke-13 pada 7 Mac 2016 bahawa “Beta harap usaha akan dilaksanakan untuk mengukuhkan institusi agama dan untuk menambahbaik pentadbiran undang-undang Islam dengan memperkasa mahkamah syariah”. Kenyataan Guan Eng di dalam blognya jelas merupakan satu penentangan terbuka kepada YDPA serta bersifat anti-Islam dan anti-Syariah.

IPeguam menyeru agar umat Islam memandang serius tindakan serta kenyataan ahli-ahli Parlimen MCA dan DAP yang berpendirian menentang RUU355, ingkar taat setia kepada YDPA dan Raja-Raja serta menyebarkan persepsi negatif terhadap usaha mendaulatkan Islam di Negara.

Cadangan pindaan Seksyen 2

Pada 24 November 2016 yang lalu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang yang juga menjawat Presiden PAS telah membentangkan cadangan pindaan tersebut khususnya Seksyen 2 dibawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016.

Cadangan tersebut adalah seperti berikut:

“Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dipinda dalam proviso kepada Seksyen 2 dengan menggantikan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali” dengan perkataan “penjara selama tempoh tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah”.”

IPeguam suka untuk memetik satu contoh daripada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah bagi memberikan gambaran yang jelas terhadap ketelitian serta kerahmatan undang-undang Syariah di Malaysia yang didakwa bersifat zalim dan tidak mempunyai belas kasihan oleh golongan anti-Islam dan anti-Syariah yang didokong portal media liberal.

Berikut adalah Seksyen 129 daripada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003;
(3) Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu—
(a) sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;
(b) jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan;
(c) hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu;
(d) orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang ‘adil dan matang;
(e) orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;
(f) selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;
(g) sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;
(h) pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;
(i) jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk; dan
(j) jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

Seksyen 129 ini sama seperti Seksyen 125 dibawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 125 dibawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dan aspek-aspek ini turut diadaptasi oleh enakmen tatacara jenayah syariah di negeri-negeri yang lain, sekaligus membuktikan bahawa perlaksanaan hukuman sebatan tidaklah bersifat zalim atau kejam sehingga memudaratkan fizikal serta kesihatan pesalah jenayah syariah seperti yang didakwa.
Dwi-sistem perundangan adalah sah disisi Perlembagaan

IPeguam turut menyelar kenyataan negatif beberapa ahli Parlimen yang dikumpul dan dipapar di akhbar The Star bertarikh 24 November 2016 sejurus selepas pembentangan dibuat dengan tajuk “Having two legal systems would tear Malaysia apart”. Laporan berita ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan menyebarkan propaganda anti-Islam serta persepsi buruk terhadap usaha murni ini.

IPeguam membangkang kenyataan tersebut kerana dwi-sistem perundangan sivil dan syariah telah wujud dan diiktiraf sejak zaman kemerdekaan lagi dan selama ini kedua-dua sistem perundangan ini, terutamanya melibatkan bidang kuasa yang telah dibahagi antara kerajaan pusat dan negeri, telah beroperasi tanpa kepincangan yang serius samada melibatkan isu keperlembagaan atau hak-hak warganegara Islam dan bukan Islam.

IPeguam menegaskan bahawa dwi-sistem perundangan ini telah pun diiktiraf oleh Perlembagaan melalui Jadual Kesembilan, Senarai II Senarai Negeri. Di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan ini juga, pihak berkuasa negeri mewujudkan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri, dan di bawah enakmen inilah Mahkamah Syariah ditubuhkan. Oleh yang demikian, penubuhan serta bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah selaras dengan maksud Perlembagaan bagi umat Islam mengurus tadbir hal ehwalnya sendiri dalam aspek Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga.

Serangan oleh portal media liberal

IPeguam turut menempelak sikap dan pendirian portal media liberal yang memaparkan laporan berita yang hanya mengeruhkan lagi kecelaruan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kefahaman mereka terhadap sistem perundangan di Negara ini.  Oleh sebab itu, IPeguam menyeru agar masyarakat umum menapis dan menyemak sebarang tuduhan oleh portal media liberal seperti The Star, Free Malaysia Today, Malaysiakini dan The Malay Mail Online yang seringkali membawa arus bertentangan dengan usaha memartabatkan kedudukan Islam di Malaysia.

Akhir kata, IPeguam mengajak umat Islam di seluruh Negara agar menzahirkan sokongan terhadap cadangan pindaan RUU355 ini. Semoga usaha murni ini mendapat keredhaan Allah S.W.T. dan mampu menyatupadukan umat disaat genting dengan asakan agenda liberalisme, sekularisme dan pluralisme.

Danial Ariff bin Shaari
Timbalan Pengerusi
Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (IPeguam)


http://www.ustazwan.com/ipeguam-tegaskan-pendirian-sokong-ruu-355/