Header Ads

Format baharu UPSR jadi perhatian

Hanya 1.11 peratus daripada 452,751 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A pada UPSR tahun ini.

TAHUN ini menyaksikan pelbagai transformasi dan penambahbaikan dibuat dalam sektor pendidikan dengan matlamat melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi untuk meneraju negara pada masa depan, selain mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Antara transformasi utama yang mendapat perhatian masyarakat pada tahun ini ialah pelaksanaan format baharu peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dilihat memberi kesan kepada calon apabila hanya 4,896 atau 1.11 peratus daripada 452,751 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A bagi mata pelajaran yang diambil.

Keputusan itu sudah tentunya menerima reaksi pelbagai daripada ibu bapa kerana terlalu jauh perbezaan berbanding pencapaian tahun lalu, namun Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof berpendapat pencapaian calon tidak boleh dibandingkan dengan tahun lalu kerana UPSR 2016 berdasarkan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan format baharu peperiksaan.

Gred Purata Nasional (GPN)juga tidak boleh dibandingkan secara terus dengan tahun lalu kerana bilangan A tahun ini tidak sama memandangkan tahun lalu laporan berdasarkan tiga gred iaitu A, B dan C untuk mencapai tahap minimum, manakala tahun ini empat gred iaitu A, B, C dan D.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baharu kemasukan pelajar Tingkatan Satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi 2017, iaitu sekurang-kurangnya 3A dan 3B dalam UPSR tahun ini.


http://www.bhplus.com.my/node/228109