NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Imej PM, PH tercalar jika kalah PRN Johor -Hassan



PASIR GUDANG – Imej politik Datuk Seri Anwar Ibrahim berisiko untuk tercalar sekiranya Pakatan Harapan (PH) tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana PRN tersebut menampilkan dua panglima perang iaitu Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor.

“PH menonjolkan Anwar sendiri sebagai panglima manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai jeneral di barisan hadapan.

“Anwar Ibrahim seorang Perdana Menteri kerajaan Pusat manakala Onn Hafiz hanya seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri.

“Di sinilah letaknya risiko yang dihadapi oleh Anwar. Kalau PH menang, Anwar tetap jadi Perdana Menteri. Tetapi rakyat melihat bukanlah sesuatu yang menghairankan atau ajaib, jika PH menang dalam pilihan raya Johor ini yang Perdana Menteri kelihatan aktif berkempen hampir setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jika Onn Hafiz yang daripada segi umur dianggap anak dan digelar ‘budak’ berjaya membuat kejutan dengan memenangi PRN Johor sehingga boleh membentuk kerajaan Johor, maka landskap politik negara akan berubah.

Onn Hafiz katanya, akan muncul sebagai pemimpin muda dari Johor yang boleh melangkah jauh ke depan sebagai pemimpin nasional.

“Kejayaannya di PRN Johor, jika benar-benar berlaku, menjadikan Onn Hafiz satu bintang baru dari Selatan untuk bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang akan datang,” katanya.

Jelas Hassan, perkara sebaliknya berlaku jika PH ditakdirkan tewas dalam PRN Johor kali ini.

Katanya, kesan sangat buruk terutama melibatkan imej Anwar sebagai panglima perang yang dapat dikalahkan oleh Onn Hafiz.

Kekalahan itu juga katanya, akan mencalarkan wajah PH dan juga Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 tidak lama lagi.

“Jadi kalah dalam PRN Johor kali ini bukan satu pilihan kepada Anwar Ibrahim dan PH.

“Justeru itu dalam tempoh tidak sampai seminggu ini para pemimpin, anggota dan penyokong PH yang dikatakan berjumlah lebih sejuta orang itu perlulah bekerja kuat bagi menentukan PH menang. Tiada pilihan lain,” katanya.

Dalam PRN ini, Anwar dan Onn Hafiz saling berbalas kritikan dan kenyataan terutama dalam isu-isu berkaitan Pembangunan di Johor melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pendirian Menteri Besar Johor tidak mahu duduk semeja dengan DAP jika menang.- MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo