JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Johor mempersoalkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya tidak menyentuh langsung isu banjir, perubahan iklim dan alam sekitar.
Calon MUDA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied berkata, ketiadaan agenda berkaitan banjir dalam manifesto PH menunjukkan gabungan itu tidak memahami keutamaan rakyat Johor.
"Jika penulis manifesto PH benar-benar memahami suara rakyat Johor, mereka pasti sedar bahawa banjir yang semakin kerap berlaku telah menyebabkan kerugian besar kepada penduduk.
"Tidak ada satu perkataan banjir, iklim dan alam sekitar pun di dalam manifesto Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan di Puteri Wangsa bersama penyandang kerusi itu, banjir menjadi antara isu utama yang memerlukan perhatian berterusan kerana boleh berlaku bukan sahaja ketika musim tengkujuh, malah ketika hujan lebat dan air pasang.
Katanya, lebih 8,000 mangsa banjir telah dibantu di kawasan tersebut, selain jumlah lokasi panas banjir di Johor turut meningkat daripada kira-kira 745 kepada 874 lokasi.
Rashifa turut memaklumkan bahawa penyandang DUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz yang juga anggota Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor sentiasa membawa isu banjir dan langkah mitigasi di peringkat dasar.
Sehubungan itu, beliau berpendapat kegagalan PH memasukkan agenda berkaitan perubahan iklim dan pengurusan banjir dalam manifesto menunjukkan gabungan itu tidak memahami keperluan setempat serta belum bersedia menjadi kerajaan negeri yang benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment