IPOH, 19 REJAB – Seorang pesara polis meluahkan rasa kecewa selepas aduan kepada pihak berkuasa mengenai keberadaan kuil haram besar di hadapan rumahnya seolah-olah tidak dipedulikan.
Menurut Peter Pauls yang merupakan seorang penganut Kristian, kuil yang terletak di Laluan Bunga Raya, Kampung Tersusun Batu Lapan di Ulu Kinta itu mula dibina pada 2017.
Katanya, banyak aduan telah dikemukakan sejak rumah ibadat haram itu didirikan, namun ia masih beroperasi sehingga sekarang.
“Kuil ini terletak 30 meter sahaja dari rumah saya. Sejak ia dibina, banyak sangat gangguan.
“Contohnya, bunyi bising dari awal pagi sampai lewat malam tanpa henti menyebabkan saya sukar untuk tidur. Selain itu, penganut dari luar kawasan sesuka hati meletakkan kenderaan di depan rumah saya,” katanya kepada TV Pertiwi menerusi Google Meet.
Mengulas lanjut, Peter menjelaskan bahawa dia sebelum ini pernah menegur secara baik individu yang menguruskan kuil haram itu yang mana lelaki tersebut menetap selang beberapa rumah dari kediamannya.
Namun, katanya, tegurannya tidak diendahkan sekali gus mendorong Peter untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa dengan harapan tindakan tegas akan diambil.
Tambah beliau, aduan turut disertakan bukti gambar dan video suasana riuh di kuil berkenaan.
“Pada 2020, saya telah membuat laporan polis dan laporan itu juga dibawa ke perhatian Pejabat Tanah dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Pada ketika ini saya dapati bahawa rumah ibadat ini dibina secara haram di atas tanah rizab gunung. Malah, kuil itu dibina di atas kolam tadahan air yang telah ditimbus.
“Pada satu semasa, MBI telah mengeluarkan notis kepada pihak kuil mengenai aduan bising, namun sampai hari ini masih tiada perubahan, malah kuil itu beroperasi seperti biasa.
“Awal-awal dulu, kuil itu kecil sahaja, kini ia siap mempunyai patung kepala babi hutan bersaiz besar dan boleh nampak secara jelas dari rumah saya,” ujarnya.
Peter berkata, suasana bising secara berterusan di kuil itu juga turut menjejaskan kesihatannya sehingga menyebabkan dia mengalami serangan jantung sebanyak pada 2019.
Oleh kerana tiada penyelesaian daripada pihak berkuasa, Peter juga telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun tahun lepas untuk mendengar luahan tersebut.
Jelasnya, salinan surat itu juga dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang mana beliau masih menunggu maklum balas.
TV Pertiwi difahamkan, keberadaan kuil itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan majoriti penduduk Melayu Islam di kawasan tersebut.
“Yang saya hairan, kuil itu bukan satu-satunya kuil di kawasan perumahan ini. Ada satu lagi kuil terletak tidak jauh dari sini. Sedangkan kaum India atau penganut Hindu tak sampai 10% yang menetap di kawasan ini.
“Saya tidak faham mengapa isu ini seperti tidak diendahkan. Kuil itu dibina di atas tanah rizab gunung, dan keberadaannya mengganggu penduduk setempat.
“Keluarga saya sehingga satu tahap memujuk saya supaya jual rumah ini dan berpindah ke tempat lain. Saya tak setuju kerana rumah ini adalah rumah keluarga saya sejak 1980.
“Kuil itu tidak yang patut ada di sini,” katanya sambil menambah bahawa dia sebelum ini turut menerima ugutan kerana membuat aduan berhubung kuil tersebut.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment