NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ISMA Bangi kecam program gaya hidup songsang ‘Glamping with Pride’



BANGI, 19 REJAB – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Bangi memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya penganjuran program `Glamping with Pride’ di Hulu Langat yang secara jelas mempromosikan kecelaruan jantina serta gaya hidup songsang. 

Yang Dipertua ISMA Bangi, Ustaz Zaizul Irshadi Zaman, berkata penganjuran dan hebahan terbuka program itu pada 17 dan 18 Januari ini  bukan sahaja mencabar sensitiviti majoriti masyarakat Islam setempat, malah merupakan satu bentuk normalisasi terhadap amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, budaya timur dan prinsip kenegaraan Malaysia.

Katanya, Islam menetapkan dengan jelas bahawa fitrah kejadian manusia adalah lelaki dan perempuan seperti ditegaskan dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW, selain kisah kaum Nabi Lut AS yang dijadikan iktibar akibat mengamalkan dan menormalisasikan perbuatan seksual songsang dalam masyarakat.

“Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa kecelaruan jantina dan gaya hidup seksual songsang bukan isu khilaf dalam Islam, sebaliknya telah diputuskan secara qat‘i sebagai perbuatan haram dan bertentangan dengan fitrah insan,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Ustaz Zaizul menegaskan bahawa penganjuran program yang mempromosikan ideologi demikian turut berpotensi membawa kesan buruk yang serius, terutama kepada kanak-kanak dan remaja yang masih dalam proses pembentukan jati diri.

Menurutnya, pendedahan awal kepada naratif kebebasan tanpa batas boleh menghakis kefahaman mengenai jantina, perkahwinan dan institusi keluarga, selain menormalisasikan dosa serta mengancam struktur keluarga yang menjadi asas pembinaan tamadun menurut Islam.

Beliau turut menyatakan bahawa kekeliruan identiti jantina menyebabkan tekanan emosi, keresahan dan krisis identiti dalam kalangan remaja, selain bercanggah dengan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara.

Sehubungan itu, katanya ISMA Bangi menggesa seluruh warga Hulu Langat, terutama ibu bapa, pemimpin masyarakat dan pihak berautoriti, agar bersatu menyatakan bantahan terhadap program itu.

“Bantahan terhadap penganjuran program seperti `Glamping with Pride’ bukan bersifat kebencian terhadap individu, tetapi merupakan usaha mempertahankan kebenaran, fitrah manusia dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

“Mempertahankan nilai Islam dan budaya timur bukan satu bentuk ekstremisme, tetapi tanggungjawab moral dan agama demi kelangsungan masyarakat yang sejahtera,” katanya.


Sumber | TV Pertiwi




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo