JOHOR BAHRU – Tindakan Datuk Dr Puad Zarkashi menyokong calon Pakatan Harapan (PH), Yazid Bakri di kerusi N.25 Rengit secara terbuka merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap UMNO yang banyak berjasa dalam perjalanan politik beliau.
Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata, tindakan Puad yang berpaling tadah kepada PH dilihat seolah-olah sudah lama dirancang, apatah lagi tanpa segan silu memeluk Datuk Seri Anwar Ibrahim di khalayak ramai ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Adakah beliau telah merancang sejak dulu lagi untuk menyokong PH, saya nampak dia bersalaman dengan mesra dan peluk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu program kempen PH baru-baru ini.
“Saya bimbang Puad cuba mensabotaj UMNO dan BN dari dalam dengan bersekongkol dan memenangkan PH kerana dendamnya selepas anaknya tidak terpilih sebagai calon BN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Terdahulu, Puad mencuri perhatian apabila hadir program Dialog Terbuka Belia yang dihadiri Anwar selaku Pengerusi PH di Felda Ulu Tebrau, malam Sabtu.
Ketibaan Puad pada program itu disambut mesra oleh Perdana Menteri yang bersalaman sebelum kedua-duanya berpelukan sebaik Anwar tiba kira-kira jam 9.40 malam.
Terdahulu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mengumumkan sokongan kepada calon PH, Mohamad Yazid Bakri yang bertanding bagi kerusi N.25 Rengit menerusi poster yang di muat naik di laman Facebooknya.
Thanenthiran juga berkata, keputusan kepimpinan UMNO dan BN untuk tidak mencalonkan anak Puad sebagai calon BN dalam PRN Johor dilihat sebagai tindakan yang tepat.
“Nasib baik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membuat satu keputusan baik untuk tidak mencalonkan anak beliau.
“Mungkin beliau telah mempunyai agenda untuk sabotaj UMNO dan BN dalam PRN Johor kali ini,” katanya.
Menurut Thanenthiran, Puad sepatutnya bersabar selepas anaknya tidak dipilih kerana masih mempunyai masa depan yang panjang dalam arena politik.
“Tindakan menyokong calon parti lawan selepas sekian lama bersama UMNO bukan sahaja mengecewakan ahli parti, malah boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap integriti seseorang pemimpin,” katanya.
Katanya lagi, Puad tidak sepatutnya melupakan jasa UMNO yang pernah memberi peluang kepadanya beliau termasuk pelantikan sebagai Senator dan Yang Dipertua Dewan Negeri Johor selepas kekalahan pada pilihan raya lalu.
“Dulu pun dia tak menang, dulu dia telah dipilih sebagai calon BN Rengit tapi tidak menang. Atas ihsan Datuk Onn Hafiz dan Timbalan Perdana, beliau dilantik Senator dan diberi satu jawatan sebagai Speaker di DUN Johor selepas beliau kalah dalam pilihan raya yang lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Thanenthiran mengingatkan Puad supaya tidak mendedahkan maklumat atau keputusan yang dibuat secara sulit ketika masih berada dalam kepimpinan parti.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja menjejaskan parti malah boleh menjejaskan kredibiliti individu berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment