KOTA TINGGI – Barisan Nasional (BN) Johor tidak terkesan mahu pun memiliki sebarang kelebihan apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu diadakan serentak dengan Negeri Sembilan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan dalam sesebuah PRN bergantung sepenuhnya terhadap persediaan serta keupayaan BN dalam menghadapi pilihan raya.
“Kita tidak bergantung sama ada bersama atau tidak. Soal mengapa PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan berasingan atau tidak berasingan, itu kena tanya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).
“Masa Johor bubar DUN (Dewan Undangan Negeri) dulu, tak pun timbul nak sekali atau tidak dengan (PRN) Negeri Sembilan. Kita pun tak tahu Negeri Sembilan akan adakan itu (PRN),” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Jiwa Murni Madani Kementah Sekolah Kebangsaan Johor Kampong di sini hari ini.
Semalam SPR memaklumkan, bagi PRN Johor, penamaan calon akan diadakan pada 27 Jun ini, pengundian awal pada 7 Julai manakala proses buang undi pada 11 Julai ini.
Sementara PRU Negeri Sembilan pula hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai 2026, pengundian awal pada 28 Julai manakala hari mengundi pada 1 Ogos ini.
Tempoh berkempen bagi PRU Johor berlangsung selama 14 hari bermula 27 Jun sehingga 10 Julai 2026, manakala bagi Negeri Sembilan bermula 18 Julai sehingga 31 Julai 2026.
Terdahulu ketika berucap, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi mengingatkan orang Johor supaya tidak bergaduh hanya kerana perbezaan fahaman politik semasa PRN Johor.
Beliau berkata, semua pihak terutama di peringkat kampung perlu terus bersatu padu dan tidak berpecah belah walaupun ada pilihan raya.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment