KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak boleh menganggap sokongan rakyat akan kembali secara automatik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana isu ketidakstabilan politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berpotensi mempengaruhi pertimbangan pengundi.
Situasi di Negeri Sembilan tidak sama seperti di Johor malah kedudukan BN disifatkan tidak ‘selesa’ berdasarkan kepada keputusan PRN yang lepas dengan banyak juga kawasan dimenangi dengan majoriti tipis.
Itu antara pandangan penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berhubung krisis melanda Negeri Sembilan sehingga Dun dibubarkan bagi memberi laluan PRN walaupun kerajaan negeri baru mentadbir tiga tahun sahaja.
Kata beliau, pembubaran dan penarikan sokongan perlu ada alasan kukuh yang memerlukan mandat daripada rakyat.
“Ketika negara dan rakyat sedang berdepan dengan pelbagai masalah ‘ekonomi rakyat’, BN perlu bersedia untuk menangani segala cabaran tersebut.
“BN Negeri Sembilan juga memerlukan seorang ‘poster boy’ yang dapat memenangi hati semua rakyat seperti mana bawah pimpinan Tok Mat satu ketika dulu. Jangan pinggirkan pandangan dan peranan parti komponen termasuk suara akar umbi,” katanya hari ini.
Kata Anbumani, persoalan utama yang mungkin bermain dalam fikiran rakyat bukan sekadar siapa akan memerintah selepas pilihan raya, sebaliknya mengapa kerajaan negeri perlu dijatuhkan ketika masih mempunyai tempoh pentadbiran yang berbaki lebih dua tahun.
Menurut beliau, pengundi lazimnya menilai sesuatu krisis politik berdasarkan kesannya terhadap kehidupan mereka dan bukannya berdasarkan percaturan dalaman parti.
“Rakyat akan bertanya apa keperluan sebenar menarik sokongan terhadap kerajaan negeri ketika pelbagai agenda pembangunan sedang berjalan dan keadaan politik relatif stabil.
“Apabila sebuah kerajaan masih mempunyai tempoh yang panjang untuk mentadbir, tindakan mencetuskan perubahan politik sudah tentu akan mengundang persoalan daripada pengundi,” ujarnya.
Tambahnya, sepanjang pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, beberapa perkembangan positif yang sering diketengahkan oleh kerajaan termasuk peningkatan hasil negeri, pertumbuhan pelaburan, pengukuhan kedudukan kewangan kerajaan serta pelaksanaan pelbagai program kebajikan dan pembangunan rakyat.
Malah kata beliau, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat turut menyaksikan pelaburan baharu, peluang pekerjaan yang lebih luas, pembangunan infrastruktur serta pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Apabila rakyat melihat ada hasil yang boleh dirasai, mereka cenderung menilai sama ada krisis politik yang berlaku benar-benar perlu atau sekadar didorong oleh percaturan kuasa.
“Ini kerana setiap kali berlaku pembubaran DUN, tumpuan pentadbiran akan beralih kepada pilihan raya dan proses politik, sedangkan banyak program pembangunan memerlukan kesinambungan untuk diselesaikan,” ujarnya.
Beliau berkata, pengundi pada hari ini juga semakin matang dan tidak lagi membuat keputusan semata-mata berdasarkan sentimen kepartian.
Sebaliknya, katanya, mereka akan melihat rekod pentadbiran, kestabilan politik dan keupayaan sesebuah kerajaan meneruskan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam konteks itu, beliau berpandangan PKR dan DAP sebagai komponen utama kerajaan negeri sebelum ini mempunyai rekod tersendiri yang akan dinilai oleh pengundi berdasarkan pencapaian pentadbiran sepanjang tempoh mereka berada dalam kerajaan.
“Pada akhirnya, rakyat akan membuat perbandingan yang mudah. Adakah negeri sedang bergerak ke hadapan atau sebaliknya sebelum berlakunya krisis politik tersebut.
“Jika persepsi umum ialah negeri berada pada landasan yang baik, maka pihak yang mencetuskan ketidakstabilan mungkin berdepan kesukaran untuk menjelaskan tindakan mereka kepada pengundi,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau berpendapat UMNO Negeri Sembilan perlu mempertimbangkan pembaharuan kepimpinan sekiranya mahu meyakinkan rakyat bahawa parti itu membawa pendekatan baharu dan lebih berorientasikan kestabilan.
Katanya, kemunculan pemimpin generasi baharu yang lebih dekat dengan aspirasi rakyat serta tidak dikaitkan dengan episod ketidakstabilan politik mungkin dapat membantu memulihkan keyakinan pengundi.
“PRN kali ini bukan semata-mata pertandingan antara parti politik, tetapi juga referendum rakyat terhadap kestabilan politik.
“Pengundi akan menilai siapa yang bekerja membangunkan negeri dan siapa yang menyebabkan perjalanan pentadbiran terganggu ketika banyak agenda pembangunan masih belum selesai,” katanya. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment