KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti rakyat melalui peti undi jika benar-benar yakin dengan tahap penerimaan terhadap kepimpinannya.
Menurut beliau, walaupun Anwar kekal sebagai Perdana Menteri berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen mengikut prinsip Demokrasi Berparlimen, tetapi persoalan mengenai mandat rakyat terus menjadi perbahasan.
Katanya, sejak negara mencapai kemerdekaan, Malaysia telah mempunyai 10 Perdana Menteri yang masing-masing memiliki pendekatan, kekuatan dan kelemahan tersendiri dalam mentadbir negara.
“Disebabkan itu rakyat mula membandingkan gaya kepimpinan Perdana Menteri ke-10 dengan Perdana Menteri terdahulu sehingga timbul ungkapan seperti ‘Rindu zaman Tun’ dan ‘Ini jasa Najib’, sedangkan legasi pentadbiran Anwar masih belum kelihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Syaril berkata, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri terbentuk hasil sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dan bukannya melalui kemenangan mutlak gabungan yang dipimpinnya.
Beliau berkata, pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 daripada 222 kerusi Parlimen, manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi sebelum kedua-duanya bergabung bersama parti lain untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Mengulas kenyataan Anwar bahawa beliau tetap kekal sebagai Perdana Menteri tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Syaril berpendapat, kenyataan itu memberi gambaran Ketua Kerajaan tersebut menyedari beliau sedang berdepan cabaran dari segi sokongan rakyat.
Menurutnya, walaupun keputusan PRN tidak menentukan kedudukan Perdana Menteri, ia tetap boleh dijadikan kayu ukur bagi menilai sentimen semasa rakyat terhadap kepimpinan kerajaan.
“Dalam PRU ke-15, PH hanya beroleh 82 kerusi atau 37 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi. BN pula mencatat rekod tercorot dalam sejarah dengan hanya memenangi 30 kerusi.
“Tetapi melalui cantuman PH dan BN selepas pilihan raya, Anwar berjaya memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen sebelum disertai GPS dan GRS bagi membentuk kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, persoalan sama ada Anwar bersedia mendapatkan semula mandat rakyat melalui pilihan raya akan terus menjadi perhatian sekiranya Perdana Menteri yakin masih mendapat sokongan majoriti pengundi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment