NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Allah tentukan saya ‘lompat’ ke parti mana - Puad



JOHOR BAHRU – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau masih belum mempunyai perancangan untuk menyertai mana-mana parti politik ketika ini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu juga berkata, tiada perbincangan membabitkan hala tuju politiknya dan menyerahkannya kepada Allah untuk menentukannya.

“Saya tidak bincang lagi dan saya tidak fikir apa-apa. Allah sahaja yang tahu,” katanya mengulas sama ada sudah membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik selepas meninggalkan UMNO.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata demikian ketika ditemui dalam program Pakatan Harapan (PH) iaitu Dialog Terbuka Belia Johor di Felda Ulu Tebrau di sini, malam tadi.

Mohd Puad membuat kejutan apabila muncul buat pertama kali dalam program tersebut selepas meninggalkan UMNO serta-merta pada 25 Jun lalu.

Semalam beliau menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) DUN Rengit, Mohamad Yazid  Bakri, semalam.

“Saya ada misi politik yang lebih daripada soal politik kepartian. Fokus saya lebih kepada keberanian politik untuk memastikan politik yang lebih seimbang dan bebas,” katanya.

Ditanya mengenai kehadirannya pada program PH dan sokongan yang ditunjukkan kepada calon PH akan menerima kecaman, Mohd Puad berkata, beliau sudah bersedia kerana sudah biasa dikecam.

“Saya sudah biasa dan saya sudah cukup bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan segala-galanya kerana saya memang soerang ahli politik,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Puad mendedahkan telefon bimbitnya dirampas pihak polis bagi siasatan lanjut susulan 153 laporan polis yang dibuat di seluruh negara terhadapnya yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan Institusi Diraja dengan pembubaran DUN Johor dan pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Beliau yang baharu menerima semula telefon bimbitnya kelmarin turut memaklumkan sudah dipanggil pihak polis bagi diambil keterangan.

“Saya sudah dipanggil polis dalam dua tiga hari selepas laporan polis dibuat ke atas saya. Saya beri keterangan 10 minit sahaja sebab saya akan jawab di mahkamah nanti,” katanya.

Pada program tersebut, beliau dan Anwar bersalaman dan berpelukan sebelum Mohd Puad dilihat duduk bersebelahan Anwar.

Dalam ucapannya, penyandang kerusi DUN Rengit itu berkata, beliau hadir sebagai satu sokongan kepada calon PH bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik selain sebagai sahabat lama Anwar.

Mohd Puad turut berkata, bukan senang hendak memujuk beliau hadir pada program berkenaan, namun beliau tetap hadir dan setuju berucap pada program itu kerana PH adalah Kerajaan Perpaduan.

“Bukan senang nak pujuk saya, saya datang kerana beliau (Anwar) sahabat lama. Ringkas sahaja, saya naik ke pentas PH ni sebab PH adalah Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) pun Kerajaan Perpaduan.

“Tak ada salahnya, apatah lagi saya bukan lagi ahli UMNO,” katanya.

Mohd Puad berkata, beliau menerima pelbagai kecaman sejak membuat hantaran menyokong calon PH DUN Rengit semalam yang mendakwa beliau telah mengkhianati perjuangan UMNO.

Bagaimanapun, beliau berkata, akan terus memperjuangkan keberanian politik.

“Ada seseorang hina saya kata ‘kalau masuk DAP kan lagi senang’. Tak apalah, yang penting saya akan teruskan keberanian poltik supaya politik yang seimbang dan bebas di Johor ini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Puad dilaporkan berkata, langkah keluar UMNO dibuat kerana parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan dan mendakwa UMNO Johor dikawal oleh istana dalam membuat keputusan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan punca Mohd Puad keluar daripada UMNO adalah kerana anak lelakinya tidak diletakkan sebagai calon bagi kerusi DUN Rengit pada PRN Johor kali ini.- MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo