KUALA LUMPUR – Pendedahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim yang mendakwa sering diketepikan dalam banyak keputusan penting berkaitan parti walaupun berpangkat tinggi adalah gambaran sebenar budaya politik DAP, kata Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong.
Katanya, dakwaan itu juga mengundang persoalan terhadap komitmen DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum.
Choo Seong yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA berkata, Marina bahawa terdapat pemimpin Melayu dalam DAP yang hanya dijadikan sebagai “pasu bunga” dan diketepikan daripada proses membuat keputusan penting walaupun memegang jawatan kanan perlu diberi perhatian serius.
Ini kerana dakwaan sedemikian bukan kali pertama didedahkan kepada umum.
“Ini bukan kes terpencil kerana sebelum ini beberapa pemimpin Melayu berprofil tinggi turut meninggalkan DAP dengan menyuarakan kebimbangan terhadap budaya dalaman parti serta komitmennya terhadap konsep masyarakat berbilang kaum.
“Allahyarham Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim misalnya pernah mempersoalkan kredibiliti DAP sebagai parti pelbagai kaum dan menyifatkan beberapa amalan dalam parti itu sebagai cauvinis.
“Datuk Zaid Ibrahim pula pernah mengaitkan kegagalan DAP meraih sokongan orang Melayu dengan sikap angkuh segelintir pemimpinnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, representasi pelbagai kaum tidak seharusnya diukur melalui bilangan pemimpin daripada sesuatu kaum semata-mata, sebaliknya dinilai berdasarkan sejauh mana suara mereka benar-benar didengar dan diberikan peranan dalam menentukan dasar parti.
Beliau turut mengimbas kenyataan kontroversi “guna Melayu, skru Melayu” yang pernah dikeluarkan oleh Hew Kuan Yau atau Superman Hew, yang menurutnya masih menimbulkan persoalan kerana tiada pendirian tegas ditunjukkan oleh kepimpinan DAP ketika itu.
“Jika DAP benar-benar berpegang kepada politik yang merentasi kaum dan agama, prinsip itu perlu diterapkan secara konsisten kepada semua masyarakat, bukannya menggunakan naratif berbeza mengikut sasaran pengundi.
“Kini slogan ‘undi BN adalah undi untuk Akmal’ dijadikan sebahagian daripada mesej kempen DAP dalam Pilihan Raya Negeri Johor yang dilihat bertujuan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi Cina,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan politik yang menyatukan rakyat, bukannya politik yang bersandarkan kepada ketakutan, perpecahan dan retorik terpilih ketika musim pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi Johor supaya membuat penilaian berdasarkan rekod dan tindakan sebenar parti politik, bukan sekadar slogan kempen.
“Pengundi perlu menilai parti mana yang benar-benar konsisten antara apa yang diperkatakan dengan tindakan yang diambil demi memastikan Johor terus menikmati kestabilan politik, kesederhanaan dan pembangunan yang inklusif,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment