MUAR – Pas Johor tidak hanya bertekad mempertahankan DUN Maharani melalui calonnya yang mewakili Perikatan Nasional (PN), bahkan akan berusaha menambah sebanyak mungkin kemenangan buat PN melalui 11 kerusi yang ditandingi oleh Pas dalam PRN Johor kali ini.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam supaya DUN Maharani perlu dikembalikan semula kepada BN.
Menurutnya, Pas Johor menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak wajar menafikan peranan besar yang telah dimainkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN daripada Pas di Maharani sepanjang penggal lalu.
Ujar beliau, kemajuan, kestabilan dan pembelaan terhadap rakyat di kawasan itu turut terhasil daripada kerja berterusan wakil rakyat Pas yang berkhidmat dengan amanah, berhemah dan dekat dengan denyut nadi rakyat.
“Dalam sistem demokrasi yang sihat, kerajaan tidak boleh dibiarkan tanpa suara semak dan imbang yang berkesan.
“Setiap dasar, keputusan dan perbelanjaan kerajaan perlu dipantau agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar menjadi slogan pembangunan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Onn Hafiz menyeru jentera BN dan UMNO memastikan DUN Maharani kembali semula kepada parti itu menerusi calon mereka, Datuk Ashari Md Sarip selepas empat penggal berada di bawah parti porti lawan.
Menurut Onn Hafiz, tempoh empat penggal itu disifatkan terlalu lama sehingga menafikan nikmat pembangunan yang seharusnya dinikmati penduduk DUN Maharani.
Sementara itu, Mahfodz menyeru para pengundi agar terus memberikan kepercayaan kepada calon-calon Pas di semua 11 kerusi ditanding parti tersebut di bawah lambang PN, termasuk di DUN Maharani.
Menurutnya, ia bagi memastikan suara rakyat terus dibawa secara berani, matang dan berprinsip.
“DUN Maharani tidak perlu kembali kepada politik lama yang hanya mahu mengukuhkan kuasa kerajaan, tetapi perlu kekal sebagai suara rakyat yang berani, matang dan berwibawa,” katanya.
Pada PRN Johor 11 Julai ini, calon PN daripada Pas, Mohamad Anuar Hayan akan cuba mempertahankan kerusi itu buat PN dalam persaingan empat penjuru.
Selain Ashari (BN), Mohamad Anuar turut berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Taqiuddin Cheman dan Muhammad Amir Fikri (MUDA).
Kali terakhir calon BN menang di DUN Maharani adalah pada PRN ke-11 (2004) menerusi calonnya, Mohd Ismail Mohd Shah sebelum kerusi itu bertukar tangan antara calon Pas yang bertanding atas tiket Pakatan Rakyat pada 2008 dan 2013, serta calon PH (2018) dan PN (2022). – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment