Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, meskipun BN memegang baton majoriti mudah, kebangkitan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipandang remeh sekiranya blok itu berjaya melakukan lonjakan sokongan pada saat akhir.
Beliau menyifatkan Johor sebagai negeri tradisi Umno dan pelaksanaan PRN secara mengejut lazimnya memberi kelebihan kepada pihak penyandang, ditambah dengan sentimen ‘Bangsa Johor’ yang sering mengatasi isu nasional.
“BN (40 kerusi) selesa di hadapan. Baton ‘simple-majority’ di tangan, namun ‘over-confident’ boleh mengundang padah. Imej MB yang bekerja menjadi kelebihan.
“PH (12) mengekori rapat di belakang. DAP dijangka pertahan kubu sedia ada, PKR dan PAN puka risiko kehilangan kerusi. Namun kalah tidak mengapa, jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sudah dijanjikan.
“PN (3) berdepan tugas lebih mencabar. Potensi tetap ada, namun perlu lonjakan sokongan. Calon berwibawa, inklusif, dan berintegriti menjadi tawaran,” katanya dalam satu ulasan politik, hari ini.
Landskap politik Johor pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan keunikan apabila parti-parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan seperti BN dan PH bakal bertembung sesama sendiri.
Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi rebutan pelbagai blok politik termasuk parti-parti kecil dan baharu seperti MUDA dan BERSAMA.
Dinamika ini menarik perhatian penganalisis kerana ia akan menguji sejauh mana kerjasama di peringkat Pusat dapat diterjemahkan ke peringkat akar umbi atau persaingan ini akan membawa kepada penjajaran semula politik selepas keputusan diumumkan.
Selain itu, Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS melihat faktor pengundi muda dan pengundi kali pertama (FTV) di Johor kini menjadi segmen terbesar di mana mampu mengubah keputusan di kawasan-kawasan kritikal.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar memastikan proses demokrasi berlangsung secara adil dengan menutup ruang politik wang serta menghentikan penyalahgunaan jentera kerajaan.
Setiausaha Politik Presiden PAS itu turut mengingatkan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri agar tidak menggunakan kedudukan untuk memberikan peruntukan bermusim demi meraih undi di Johor.
“PMX dan Jemaah Menteri, tugas kalian di Kabinet dam Parlimen, tidak perlu berkampung di Johor. Hentikan amalan ‘projek segera’ atau peruntukan bermusim setiap kali pilihan raya.
“Uniknya kali ini, PH dan BN bertembung di Johor, tetapi duduk semeja di Kabinet. Bertanding solo, bergabung kemudian? Rakyat nantikan,” jelas beliau.
Menurut beliau, keputusan PRN Johor kali ini akan dipengaruhi oleh isu ekonomi, kos sara hidup, dan kewibawaan calon di mana menegaskan bahawa pengundi muda dalam lingkungan usia 20-an hingga 40-an akan menjadi penentu utama kepada hala tuju politik negeri tersebut.
“Setiap blok bergantung kepada pengundi teras, namun undi penentu di tangan anak muda (20an – 40an), khususnya ‘first time voters’ (FTV) dan pengundi luar yang mahukan perubahan.
“Walhasil, keputusan PRN Johor bakal menjadi penanda aras baharu politik nasional. Senario pasca-PRN, sebarang kemungkinan. ‘Expect the unexpected’,” ulasannya. – HARAKAHDAILY 2/6/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment