NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DUN Johor Dibubar, Laluan Dibuka Untuk PRN Negeri

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru, petang tadi.

Menurut beliau, pembubaran DUN dibuat selepas beliau menghadap Pemangku Sultan Johor bagi mempersembahkan cadangan berkenaan selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Watikah pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta'zim ke-15 telah diperkenankan dan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

“Pembubaran ini memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Onn Hafiz berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan Johor terus mempunyai sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan mendapat mandat baharu daripada rakyat.

Beliau turut menyeru semua parti politik, calon serta penyokong supaya menghadapi pilihan raya dalam suasana harmoni, beradab dan menghormati proses demokrasi.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti selesa.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi dan Muda satu kerusi.

Pembubaran DUN Johor ini berlaku ketika landskap politik negara berada dalam fasa yang semakin dinamik susulan beberapa perkembangan mutakhir termasuk krisis politik di Negeri Sembilan, kemunculan parti baharu yang diterajui bekas pemimpin PKR serta perbincangan mengenai penyusunan semula kerjasama politik dalam kalangan parti-parti utama negara.

Pemerhati politik menjangkakan PRN Johor bakal menjadi medan penting mengukur sokongan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan dan parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo