NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wong Chen dakwa ditamatkan sebagai Pengerusi MDV tanpa penjelasan



KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa khidmat beliau sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) ditamatkan secara mengejut oleh Kementerian Kewangan (MoF) dengan notis hanya lima hari tanpa sebarang penjelasan rasmi.

Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan oleh pihak pengurusan MDV beberapa minit sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah terakhir syarikat itu semalam.

Katanya, pengurusan MDV menerima surat bertarikh 25 Mei lalu daripada MoF yang mengarahkan penamatan jawatannya berkuat kuasa 31 Mei ini.

“MoF tidak pun menghantar surat itu terus kepada saya. Tiada panggilan telefon atau penjelasan diberikan mengenai penamatan tempoh perkhidmatan saya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Wong Chen berkata, beliau pada mulanya enggan menerima jawatan itu pada Mei 2023 kerana berpegang kepada prinsip bahawa seorang Ahli Parlimen tidak sepatutnya memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, katanya, beliau diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu memperbaiki keadaan institusi kewangan pembangunan itu yang ketika itu berada dalam keadaan sukar.

Menurutnya, MDV merekodkan kerugian RM18.6 juta pada 2022 sebelum kerugian meningkat kepada RM56.6 juta bagi tahun kewangan 2023 selain berdepan masalah moral kakitangan dan kadar keluar masuk pekerja yang tinggi.

Beliau berkata, antara langkah awal diambil adalah memperkukuh tadbir urus syarikat termasuk menolak campur tangan pihak berkepentingan dan individu berpengaruh dalam urusan MDV.

“Saya tidak melayan panggilan atau mesej daripada individu berkepentingan. Saya minta mereka kemukakan surat rasmi sekiranya mempunyai permintaan, namun tiada siapa berbuat demikian,” ujarnya.

Tambah beliau, MDV kembali mencatat keuntungan sederhana sebanyak RM3.4 juta pada 2024 sebelum prestasi kewangan syarikat itu terus meningkat pada tahun berikutnya.

Katanya lagi, MDV turut melancarkan Hari Integriti pada Mac lalu sebagai sebahagian usaha memperkukuh dasar toleransi sifar terhadap rasuah serta meningkatkan pematuhan dan ketelusan dalaman.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak menyesal sepanjang hampir tiga tahun menerajui MDV dan menyifatkan pengalaman itu sebagai satu penghormatan besar.

“Pemulihan MDV membuktikan bahawa dengan struktur tadbir urus yang betul, semua GLC dan GLIC juga mampu bangkit semula,” tegasnya.

Untuk makluman, Wong Chen adalah antara Ahli Parlimen PKR yang menghadiri sidang media bekas Timbalan Presiden Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Rami dan bekas Menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mereka mengumumkan keputusan mengambil alih parti politik baharu, Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Difahamkan juga, walaupun masih bersama PKR, beliau akan menjadi calon Bersama jika bertanding pada PRU-16 kelak. -MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo