KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan empat bekas ahli Bersatu yang melompat parti secara jelas menafikan semangat dan hasrat sebenar undang-undang anti lompat parti.
Meskipun menghormati keputusan mahkamah itu, namun ujar beliau, ia juga sekali gus menjadikan undang-undang tersebut tidak berkesan daripada segi pelaksanaannya.
Katanya, sesuatu undang-undang yang gagal menterjemahkan niat, roh dan objektif penggubalannya bukan sahaja lemah, tetapi juga sekadar menjadi hiasan perundangan tanpa impak sebenar terhadap integriti sistem demokrasi dan mandat rakyat.
“Perkembangan ini menuntut keperluan mendesak untuk Parlimen meneliti, meminda dan memperkukuhkan semula undang-undang ini, supaya ia benar-benar berupaya mengekang pengkhianatan mandat rakyat serta menjamin kestabilan politik yang berteraskan prinsip, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Ronald, sekiranya Parlimen tidak bersedia atau tidak berani untuk memperbetulkan kelemahan yang ketara itu maka adalah lebih baik undang-undang tersebut dimansuhkan.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Bersatu untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong yang dimenangi bekas ahli parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Keputusan majoriti 2-1 itu dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hakim Nallini dan Sequerah membentuk majoriti manakala Hakim Azizah menyampaikan penghakiman berbeza.
Hakim Nallini berkata, kes berkenaan melibatkan kuasa perlembagaan Speaker di bawah Perlembagaan Persekutuan, yang bersifat tidak boleh diadili (non-justiciable).
Pada 17 April 2023, Ronald bersama seorang lagi memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta empat Ahli Parlimen, Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden.
Bersatu memohon perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Jan 2023 yang menyatakan keempat-empat Ahli Parlimen itu memberikan penjelasan dan mengesahkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Perlembagaan Bersatu. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment