Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung kenyataan Dr Muhamad Akmal yang memberi bayangan mungkin akan berundur daripada jawatan disandangnya.
Menurut Ahmad Zahid, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam politik, khususnya dalam kalangan pemimpin sayap pemuda yang lazimnya mempunyai idealisme tersendiri.
“Pemuda mesti ada idealisme yang berbeza. Jika berdepan pandangan atau kritikan, ia perlu diterima sebagai sebahagian daripada proses demokrasi,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini, hari ini.
Beliau menegaskan pemimpin pemuda tidak seharusnya mengambil jalan singkat atau bertindak di luar kebiasaan hanya kerana tidak bersetuju dengan pandangan tertentu.
“Dalam politik, bukan semua orang akan bersetuju dengan kita. Jika ada ketidaksetujuan, ia perlu ditangani melalui penjelasan dan dialog, bukan dengan tindakan lain,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa idealisme pemuda wajar terus diperjuangkan, namun perlu disertai pendekatan matang dan berhemah dalam mendepani perbezaan pandangan.
Ditanya secara khusus sama ada UMNO terbuka untuk menerima pengunduran Dr Muhamad Akmal, beliau menegaskan perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya setakat ini.

No comments
Post a Comment