NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU355 : Inilah rasanya yang terbaik

Artikel Siri 79/2022

RUU355
INILAH MASANYA YANG TERBAIK
       “ Ų§Ł„ŁˆŁ‚ŲŖ Ų§Ł„Ł…Ł†Ų§Ų³ŲØ ŁˆŁŁŠ Ų§Ł„Ł…ŁƒŲ§Ł† Ų§Ł„Ł…Ł†Ų§Ų³ŲØ “

1. PENDAHULUAN

Saya berpendapat inilah masa yang terbaik untuk kerajaan sekarang membawa semula RUU355 ke parlimen. “In the right place at the right time”. 

Ini kerana kerajaan kini terbukti telah mempunyai sokongan majoriti  ahli Dewan Rakyat melalui undi percaya. Hasrat Kerajaan  untuk mendaulatkan Mahkamah Syariah juga boleh dibuktikan dengan membawanya semula ke parlimen. Sudah tentu akan mendapat sokongan majoriti kerana pembangkang yang ada tidak mungkin akan menghalang atau  membangkangnya kerana mereka juga adalah pendokong RUU355 pada masa yang lepas. 

Manakala  Menteri Agama pula adalah mantan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah JKSM yang amat memahami keperluan Akta355 dipinda kerana ia melibatkan kuasa atau bidangkuasa Mahkamah Syariah yang dikawal oleh Perlembagaan atau undang-undang Persekutuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah seluruh negeri termasuk Wilayah Persekutuan bagi mempertingkatkan takat hukuman kesalahan jenayah di Mahkamah- Mahkamah Syariah.

2. PERBANDINGAN BIDANGKUASA JENAYAH MAHKAMAH AWAM (SIVIL)

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) kini sudah hampir 40 tahun pemakaiannya tidak dipinda sehingga hari ini. Akta 355 amat penting kerana ia berkaitan dengan Bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk meningkatkan takat hukuman dan denda terhadap kesalahan-kesalahan jenayah di Mahkamah Syariah.
 
 Mahkamah Awam telah banyak kali melakukan pindaan bidangkuasa jenayah untuk meningkatkannya. Contoh mahkamah awam yang paling rendah iaitu Mahkamah Majistret telah mempunyai bidangkuasa yang lebih tinggi dari  Mahkamah Tinggi Syariah yang berbidangkuasa menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih 3 tahun dan denda tidak melebihi RM 5000 atau gabungan kedua-duanya.

BIDANG KUASA MAHKAMAH MAJISTRET KELAS 1
Bidang kuasa kes jenayah:
Mahkamah ini mempunyai kuasa membicarakan kes-kes yang hukumannya tidak melebihi 10
tahun penjara atau denda sahaja dan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 392 dan
457 Kanun Keseksaan
Hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah ini ialah:
5 tahun penjara
12 kali sebatan
Denda RM10000
Gabungan ketiga-tiganya.

3. PENAMBAHAN TAKAT HUKUMAN DAN DENDA JENAYAH DIMAHKAMAH SIVIL DAN SYARIAH

Ini adalah perkara biasa di kedua-dua Mahkamah Sivil dan Syariah. RUU355  bukan bertujuan untuk membuat undang-undang baru Mahkamah Syariah. Bukan untuk membuat undang-undang jenayah hudud. Bukan untuk meluaskan bidangkuasanya untuk turut menghukum orang bukan Islam. Bukan untuk menambah peruntukan kesalahan jenayah syariah yang baru dan bukan juga bertujuan untuk menyusun semula struktur Mahkamah Syariah dan sebagainya. 

Ringkasnya RUU355 hanya untuk menambah kadar hukuman jenayah syariah dari yang sedia ada di Mahkamah Syariah negeri-negeri kepada kadar  yang lebih tinggi. Ini selaras dengan hukuman jenayah di Mahkmah Sivil yang ditingkatkan dari satu masa kesatu masa. 

4. KESIMPULAN

AKTA355 atau RUU355 bukanlah isu politik atau dipolitikan atau untuk tujuan kepentingan atau keuntungan mana-mana parti politik atau mana-mana pihak yang berkepentingan. Ia adalah untuk kepentingan Mahkamah Syariah dan survival umat Islam di Malaysia. Tiada AKTA355 Kerajaan Malaysia untuk Wilayah Persektuan dan negeri-negeri lain di Malaysia tiada lagi kuasa nahi mungkar. Bermaksud semua kesalahan jenayah syariah seperti zina, liwat, khalwat, minum arak, berjudi, sumbang mahram dan sebagainya tidak boleh lagi dikuatkuasa atau diambil tindakan kerana hukuman atau denda kesalahan tersebut tidak ada peruntukkan dalam Mahkamah Syariah. 

Sejarah dan punca kuasa tersebut adalah seperti berikut:
Pada tahun 1965, Parlimen telah meluluskan Muslim Court (Criminal Jurisdiction) Act 1965 atau Akta 1965, berpandukan kepada kuasa yang diberikan kepada Parlimen oleh Perlembagaan Persekutuan untuk meletakkan bidang kuasa tertentu kepada Mahkamah Syariah dalam perkara kesalahan. Parlimen mengambil punca kuasa daripada Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan untuk meluluskan Akta tersebut. Bahagian yang relevan daripada Butiran tersebut ialah, urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri, yang mana termasuklah "... keanggotaan, susunan dan tatacara Mahkamah Syariah, ... tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; ...".

#kongsiilmubinaummah
#RUU355

Salam hurmat dari saya,
Prof Madya Dato Haji Muhamad Asri Hj Abdullah,
Putrajaya, 
16 Jmd II 1442 H
9 Jan2023. Isnin.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo