NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jom ketahui 5 syarikat pengeluar Telur yang ada di Bursa Malaysia

Telur dianggap sebagai makanan yang berkhasiat kerana telur adalah sumber protein semula jadi berkualiti tinggi yang murah. Lebih daripada separuh sumber protein boleh didapati daripada telur putih, termasuklah vitamin B2 dan jumlah lemak yang lebih rendah daripada telur kuning. Protein dalam telur dapat membantu menurunkan tekanan darah, meningkatkan kesihatan tulang dan meningkatkan jisim otot.
Telur juga merupakan sumber selenium yang kaya dengan antioksidan yang penting untuk fungsi tiroid serta membantu sistem imun dan kesihatan mental kita.

Itu serba sedikit mengenai khasiat telur, tetapi tahukah anda terdapat beberapa syarikat pengeluar telur sebenarnya tersenarai di dalam Bursa Malaysia? Satu tips kepada pembaca, tahukah anda saham syarikat pengeluar telur sering mendapat minat belian menjelang musim perayaan.

Jom kenali 5 saham syarikat pengeluar telur yang ada di Bursa Malaysia:

1. QL Resources Berhad (QL)

2. LTKM Berhad (LTKM)

3. CCK Consolidated Holdings Berhad (CCK)

4. Lay Hong Berhad (LAYHONG)

5. Teo Seng Capital Berhad (TEOSENG)

1. QL Resources Berhad (QL)
QL Resources Berhad adalah sebuah syarikat pertanian makanan multinasional dengan modal pasaran sekitar RM14 bilion.

QL ditubuhkan pada tahun 1987 dan kini QL merupakan antara pengeluar telur terbesar di rantau Asean. QL beroperasi dalam tiga sektor berbeza iaitu penternakan, pengeluaran hasil laut, dan yang ketiga merangkumi aktiviti perniagaan berkaitan kelapa sawit.



Sumber:  QL Resources


Sumber:  QL Resources

Kajian Analisa Fundamental QL Resources

Sumber: Malaysiastock.biz

Mari kaji terlebih dahulu prestasi suku tahunan QL Resources. Setiap suku, QL mampu menjana ratusan juta ringgit dan yang terkini QL mampu menjana sebanyak RM1.08 bilion bagi suku kedua tahun 2020. Ketika pandemik in bukan syarikat sarung tangan saja yang mampu menjana sehingga berbilion ringgit, syarikat pengeluar telur pun boleh juga.

Kos operasi yang tinggi menyebabkan keuntungan bersih QL bagi suku tersebut sebanyak RM 70.13 juta. Peningkatan sebanyak 38% daripada suku sebelumnya dapat disaksikan dan peningkatan sebanyak 1% pula jika dibandingkan suku kedua tahun 2020 dan suku kedua tahun 2019.


Sumber: Malaysiastock.biz

Info menarik yang dapat diperoleh daripada gambar rajah di atas ialah QL secara konsisten merekodkan margin keuntungan di atas 5% setiap tahun. Margin keuntungan setakat tiga suku tahun 2020 menyaksikan QL telah mencatatkan margin keuntungan sebanyak 5.9% dan nilai ini dijangka meningkat lagi setelah ditambah dengan suku keempat yang akan mendatang dan dijangka dapat mengatasi margin keuntungan pada 2019 iaitu sebanyak 6%.

2. LTKM Berhad (LTKM)

LTKM Berhad adalah merupakan pengeluar telur ayam terkemuka di Malaysia dan tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia sejak tahun 2000. LTKM adalah perintis dalam menghasilkan telur yang diperkaya dengan Omega-3 dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDITECH). Walaupun perniagaan utama Kumpulan LTKM adalah dalam pengeluaran dan penjualan telur, namun LTKM telah mula menerokai pembangunan hartanah bagi mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat.

Syarikat ini mengusahakan ladang ternakan yang canggih di Melaka dengan seluas 450 ekar. LTKM memiliki lebih daripada 2 juta ayam yang menghasilkan lebih daripada satu juta telur ayam setiap hari.

Kajian Analisa Fundamental LTKM



Sumber: Malaysiastock.biz

Prestasi syarikat LTKM Berhad nampaknya tidak sebaik syarikat-syarikat pengeluar telur yang lain di mana kita dapat melihat syarikat ini merekodkan kerugian bagi tiga suku berturut-turut pada tahun ini. Setelah dikaji laporan kewangan syarikat LTKM secara mendalam, punca kerugian ini adalah berpunca daripada kos penjualan yang sangat tinggi serta kos pentadbiran yang semakin meningkat.

3. CCK Consolidated Holdings Berhad (CCK)

CCK Consolidated Holdings Berhad telah ditubuhkan pada 5 Ogos 1996 sebagai syarikat pemegang pelaburan dan ianya disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada 10 Disember 1997. Setelah penggabungan papan, kini CCK disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia. CCK Group adalah nama kolektif untuk CCK dan anak syarikatnya, dengan aktiviti utama ternakan dan peruncitan.

Perniagaan dijalankan terutamanya di Sarawak, Sabah dan Indonesia (Jakarta dan Pontianak). CCK mengeluarkan banyak produk makanan seperi bebola ikan, sayur campur, nugget, sate beku, dan pelbagai produk sejuk beku yang lain.


Sumber: CCK

Analisa Daripada Sudut Fundamental CCK


Sumber: Malaysiastock.biz

Kita mulakan dengan mengkaji saham CCK menggunakan 5 Magic Numbers. CCK mampu menjana sebanyak 5.48 sen bagi setiap unit saham yang diterbitkan. Ini bermaksud CCK sedang membuat keuntungan. Jika anda ada membaca artikel-artikel sebelum ini, nisbah Price Earnings yang baik adalah 0 sehingga 10.

Nisbah PE saham CCK adalah 11.68 yang mana boleh dikatakan masih baik kerana hampir dengan nilai 10. Return On Equity CCK adalah 11.91% yang boleh dikatakan masih baik kerana hampir dengan 15%. Selagi nilai Return On Equity adalah positif, ianya bermaksud syarikat tersebut sedang membuat keuntungan.

Dividen yang diagihkan oleh CCK adalah sebanyak 2.73%.  Harga semasa CCK adalah lebih tinggi daripada nilai NTA yang bermaksud CCK sekarang ini adalah overvalued.

Sumber: Malaysiastock.biz

Betapa hebatnya syarikat CCK ini menjalankan perniagaannya kerana melihat kepada margin keuntungan syarikat, CCK membuat uptrend Dengan keuntungan syarikat CCK terus membuat kenaikan sejak tahun 2014 lagi.

4. Lay Hong Berhad (LAYHONG)

Kumpulan ini pertama kali memulakan operasi penternakan lapisan pada tahun 1960-an dengan penubuhan perniagaan hak milik tunggal Lay Hong Poultry Farm Co., oleh mendiang ayah Yap Hoong Chai, Encik Yeap Seak Yong. Yap Hoong Chai bersama dua saudaranya, Encik Yip Kim Hoong dan Encik Yeap Weng Hong mengambil alih pengurusan ladang daripada ayah mereka pada tahun 1973. Pada masa itu, perniagaan mereka hanyalah satu ladang dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 telur setiap hari.

Lay Hong disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 20 Oktober 1994. Teras perniagaannya adalah dalam pengeluaran besar-besaran keperluan harian asas seperti ayam, telur ayam, nugget dan lain-lain. Produk kumpulan Lay Hong dipasarkan di bawah dua jenama terkenal iaitu Nutriplus dan Wise Choice.

Sumber: Theedgemarkets.com

Analisa Daripada Sudut Fundamental Syarikat Layhong

Sumber: Malaysiastock.biz

Harga semasa Layhong adalah 39 sen.  Jika kita telah belajar mengenai 5 Magic Numbers, NTA adalah cara untuk mengetahui sama ada saham tersebut overvalued atau undervalued.  Mengikut kajian ini, Layhong kini sedang berada di bawah nilai. Nilai-nilai lain dilihat kurang memberangsangkan kerana EPS, PE, ROE dan Dividen Yield adalah kurang menarik.

Bilangan unit saham yang diterbitkan oleh Layhong nampaknya sedikit iaitu sebanyak 660.29 juta unit yang menjadikan sahamnya limited edition.

Sumber: Malaysiastock.biz

Hasil pendapatan Layhong sentiasa konsisten kerana mampu menjana sekitar RM200 juta setiap suku. Suku pertama tahun 2020 menyaksikan Layhong merekodkan hasil pendapatan tertinggi bagi satu suku tahunan iaitu sebanyak RM238.19 juta. Pada suku tersebut, keuntungan bersih Layhong adalah sebanyak RM5.19 juta.

Peningkatan yang sangat baik jika dibandingkan dengan suku sebelumnya dengan kenaikan sebanyak 264% jika dibandingkan dengan suku sebelumnya. Jika dibandingkan dengan suku yang sama dengan tahun sebelumnya pula, saham ini merekodkan peningkatan sebanyak 34%.Suku yang terakhir menyaksikan sedikit kemerosotan dengan keuntungan bersih Layhong hanya sebanyak RM1.16 juta.

5. Teo Seng Capital Berhad (TEOSENG)


Sumber:Teoseng

Teo Seng Capital Berhad diperbadankan di Malaysia pada 8 Mei 2006 sebagai sebuah syarikat berhad persendirian dengan nama Teo Seng Capital Sdn Bhd. Teo Seng telah ditukarkan statusnya menjadi syarikat awam berhad pada 31 Mei 2006 dan sejak itu memegang nama sekarang. Teo Seng berjaya disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa”) pada 29 Oktober 2008 dan kemudiannya dipindahkan ke papan utama Bursa pada 3 Ogos 2009.

Teo Seng pada dasarnya adalah syarikat pemegangan pelaburan. Kegiatan utama anak-anak syarikat Teo Seng adalah penternakan unggas dan pemasaran telur ayam, pembuatan dan pemasaran makanan ternakan, kotak papan telur, baja fermentasi organik, dan pengedaran makanan haiwan & ubat-ubatan dan produk kesihatan haiwan.

Produk yang dihasilkan, dipasarkan dan diedarkan oleh Teo Seng boleh dikategorikan kepada lima (5) kategori utama iaitu telur ayam, makanan haiwan, kotak papan telur, baja fermentasi organik dan produk kesihatan haiwan.

Analisa Daripada Sudut Fundamental Syarikat Teoseng

Sumber: Malaysiastock.biz

Secara keseluruhannya, Teoseng memiliki fundamental yang agak baik. Melihat kepada Earnings Per Share (EPS) Teoseng, syarikat ini mampu menjana 6.65 sen daripada setiap unit saham yang diterbitkan. Bilangan unit saham yang diterbitkan juga sedikit iaitu hanya 300.01 juta unit yang menjadikannya limited edition. Bilangan unit saham yang diterbitkan merupakan salah satu kriteria penting untuk dikaji sebelum membeli saham kerana ia akan menentukan sama ada syarikat tersebut ringan atau berat.

Nisbah Price Earnings dan Return on Equity juga menunjukkan nilai yang baik.

Saham ini dilihat masih undervalued kerana harga semasa saham adalah 90.5 sen dan nilai NTA iaitu sebanyak RM1.06.

Satu kriteria yang nampak menarik mengenai Teoseng adalah syarikat ini mengagihkan dividen yang agak tinggi kepada para pemegang sahamnya iaitu sebanyak 6.63%.


Sumber: Malaysiastock.biz

Sekarang kita kaji pula laporan suku tahunan syarikat. Teoseng tidak pernah mengalami kerugian selama 9 suku tahunan berturut-turut. Perniagaan utama syarikat ini adalah penjualan telur ayam. Setiap hari orang ramai akan makan telur, mana mungkin syarikat akan rugi. Betul tak? Namun begitu, tahun 2020 melihatkan terdapat kemerosotan yang agak tinggi dalam hasil pendapatan dan keuntungan bersih yang dicatatkan. Ini mungkin terjadi kesan daripada pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak restoran yang tidak dapat beroperasi secara maksima kerana kekurangan pelanggan.


Sumber | https://thekapital.my/kenali-5-syarikat-pengeluar-telur-yang-ada-di-bursa-malaysia/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo