NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembentangan RMKe-12: Teks Ucapan Perdana Menteri






Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, Dengan penuh takzim, saya berdiri di dalam Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan usul seperti berikut:


"Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran untuk memulih serta menjana semula ekonomi negara bagi mencapai pertumbuhan yang mampan, dengan mengambil kira landskap sosioekonomi pasca COVID-19, dan pencapaian Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020;merestui usaha Kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030; meluluskan Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025, yang menetapkan hala tuju strategik bagi mencapai objektif 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan' dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagih secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar menurut Kertas Perintah CMD. 1 Tahun 2021; dan Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kedua Belas, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berusaha dengan sepenuh komitmen dan iltizam yang jitu, untuk membangunkan negara secara mampan bagi membolehkan setiap ahli Keluarga Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum menikmati taraf hidup yang wajar.

"Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMKe-12), untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan

1. Alhamdulillah, dipanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan izin dan rahmat-Nya jua, maka pada hari ini, saya dapat membentangkan dasar penting yang ditunggu-tunggu, iaitu Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 atau RMKe-12.


Setinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada mantan Perdana Menteri, Yang Berhormat Tan Sri Dato' Haji Mohd Mahiaddin bin Haji Mohd Yassin yang telah terlibat dalam penyediaan awal dokumen RMKe-12 sejak Mac 2020.


2. RMKe-12 ini digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19. Ramai dalam kalangan kita, Keluarga Malaysia yang terkesan. Dalam persekitaran dan kebiasaan baharu ini, ada yang hilang nyawa dan pekerjaan. Demi kelangsungan hidup, ada di antara kita yang terpaksa menceburi bidang kerja yang baharu atau melakukan dua pekerjaan dalam satu masa. Takziah kepada ahli keluarga mangsa-mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19. Marilah kita berdoa, semoga usaha membendung pandemik ini dirahmati, dan situasi ini dapat ditangani serta berakhir dengan segera.

3.Hampir dua tahun negara dan seluruh dunia menghadapi krisis kembar kesihatan dan ekonomi terburuk akibat pandemik COVID-19. Dalam tempoh itu, para petugas di barisan hadapan telah berusaha memerangi pandemik dengan semangat tinggi tanpa mengira penat lelah. Kita semua terhutang budi kepada petugas barisan hadapan yang komited melaksanakan tanggungjawab memerangi kemelut pandemik ini. Jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, anda adalah wira Keluarga Malaysia.

4.Penularan pandemik ini turut memberi impak kepada ekonomi global pada tahun 2020, dengan penguncupan pada kadar 3.2 peratus berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada tahun 2019. Semua sektor mengalami kesan yang ketara, terutama perkhidmatan berkaitan pelancongan dan penerbangan. Ini menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dan kemiskinan global. Bank Dunia menganggarkan berlaku peningkatan penduduk miskin tegar dunia, dengan jumlah tambahan seramai 97 juta orang pada tahun 2020.

5.Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan pandemik ini. Mengimbas pencapaian dalam tempoh RMKe-11, iaitu 2016 hingga 2020, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) berkembang pada kadar purata 2.7 peratus setahun, kurang daripada sasaran asal. Ini disebabkan penguncupan ketara sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020, meskipun negara mencapai pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 4.9 peratus setahun dalam tempoh empat tahun pertama RMKe-11. Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita mencapai 42,500 ringgit, atau 10,100 dolar Amerika pada tahun 2020. Nilai ini adalah 20 peratus lebih rendah daripada ambang pendapatan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

6.Dalam RMKe-11, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak 248.5 bilion ringgit untuk tujuan pembangunan. Ini merangkumi perbelanjaan untuk sektor ekonomi sebanyak 58 peratus, sosial 26 peratus, keselamatan dan pertahanan 11 peratus, dan pentadbiran am 5 peratus. Bagi sektor ekonomi, perbelanjaan terbesar adalah untuk penyediaan infrastruktur dan utiliti asas. Daripada perbelanjaan ini, sebanyak 46 peratus diagihkan kepada enam negeri yang memerlukan lebih tumpuan, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

7.Pandemik COVID-19 juga telah menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan. Pada tahun 2020, defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada KDNK. Jumlah hutang statutori Kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK.

8.Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada Kerajaan, untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi. Kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, Ahli Parlimen dan kerajaan negeri. Namun, oleh kerana keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan adalah amat terhad. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan. Oleh itu, peruntukan pembangunan Kerajaan lebih ditumpukan kepada projek sambungan. Insya-Allah, kita menjangkakan kedudukan kewangan Kerajaan akan bertambah baik pada tahun 2023, apabila ekonomi semakin kukuh. Kerajaan akan memperuntukkan 400 bilion ringgit untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMKe-12. Kita harus yakin seperti dalam Surah Al-Insyirah, ayat lima; "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan". Tuan Yang di-Pertua,

Hampir dua tahun negara dan seluruh dunia menghadapi krisis kembar kesihatan dan ekonomi terburuk akibat pandemik COVID-19. - Foto NSTP

9.Semenjak 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, Kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar jangka panjang yang kejayaannya sedang kita nikmati pada hari ini. Dasar Ekonomi Baru, 1971-1990, telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dengan ketara, dan menyusun semula masyarakat. Wawasan 2020 yang merangkumi Dasar Pembangunan Nasional, 1991-2000, Dasar Wawasan Negara, 2001-2010 dan Dasar Transformasi Negara, 2010-2020, telah meletakkan asas untuk Malaysia mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi. Seterusnya, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) telah dilancarkan pada Oktober 2019.

10.Pelan pembangunan lima tahun telah bermula pada tahun 1956. Pelan ini memperincikan strategi dan inisiatif dalam menentukan keutamaan program dan projek yang dilaksanakan Kerajaan. RMKe-12 yang saya bentangkan pada hari ini adalah perancangan penting sebagai pelengkap kepada Pelan Pemulihan Negara. Ia bagi mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi serta mencapai matlamat pembangunan jangka panjang.

11.Alhamdulillah, sejumlah lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang bermula pada 27 Mac 2020 telah berjaya menstabilkan ekonomi negara. KDNK kembali berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua tahun 2021 setelah menguncup pada empat sukuan sebelumnya.

Tuan Yang di-Pertua,

12.RMKe-12 ini, dengan matlamat 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan', akan membolehkan kita semua menikmati taraf hidup yang lebih baik. Semua strategi dan inisiatifnya juga, sejajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015.

13.Kita mahu memacu Keluarga Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada yang terpinggir daripada arus pembangunan. Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum. Dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam perlu menjadi agenda utama negara, kerana ia akan diwarisi oleh generasi masa hadapan.

Tuan Yang di-Pertua,

14.RMKe-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. Bagi tujuan ini, tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMKe-12. Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

15.Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata. Sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah. Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

16.Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi. Secara terperincinya, saya ingin berkongsi beberapa matlamat utama dalam tempoh RMKe-12:

•Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025;

•Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025;

•Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025; dan

•Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

17.Seterusnya, saya ingin memberi pencerahan kepada sembilan fokus utama RMKe-12 seperti berikut:

•Pertama ialah Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi;•Kedua ialah Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan;

•Ketiga ialah Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia;•Keempat ialah Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam;

•Kelima ialah Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan;

•Keenam ialah Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia;•Ketujuh ialah Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun;

•Kelapan ialah Mempercepat Pertumbuhan Hijau; dan akhir sekali

•Kesembilan ialah Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS PERTAMA: MERANCAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

18.Fokus pertama ini tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi, dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu. Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan. Transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan diperkasa.

19. Pertumbuhan sektor perkhidmatan akan disokong oleh strategi pemodenan sektor untuk menjadi hab perkhidmatan serantau. Dalam hal ini, dasar dan perundangan yang jelas serta persekitaran perniagaan yang kondusif akan diwujudkan bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti. Selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat atau dikenali sebagai Fourth IR (4IR), sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan industri Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global. Sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara. Sektor pembinaan akan dirancakkan dengan penggunaan teknologi termaju, merangkumi realiti terimbuh (augmented reality) dan realiti maya (virtual reality) sejajar dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 bagi meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti. Sektor perlombongan pula akan memberi penekanan kepada pengeluaran mineral diproses yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, aktiviti perlombongan yang lestari dan penghasilan bahan mineral baharu.

20.Pertumbuhan produktiviti akan dilonjakkan melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir. Perdagangan antarabangsa akan diperkukuh dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, menambah baik kecekapan fasilitasi perdagangan dan meningkatkan daya saing industri eksport utama. Selain itu, kerjasama perdagangan akan digalakkan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).

21.Kerajaan mahu melihat sektor swasta kembali memainkan peranan lebih besar bagi membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi. Sehubungan ini, saya memberi jaminan bahawa Kerajaan akan mengurangkan kerenah birokrasi, menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya harap, memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir.

22.Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), akan dijadikan kerangka utama bagi menarik pelaburan berkualiti, dan meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini. Insentif sedia ada akan disemak semula, untuk memberi fokus kepada pelaburan yang berasaskan teknologi termaju dan memenuhi aspek kelestarian alam sekitar. Ini akan dapat menyokong hasrat negara untuk mempercepat peralihan kepada industri berteraskan pembuatan termaju, atau advanced manufacturing tanpa menjejaskan alam sekitar.

Tuan Yang di-Pertua,

23.PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS dianggarkan hampir 1.2 juta, bersamaan dengan 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan. Namun, sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasa semula setelah terjejas akibat pandemik. Oleh itu, Kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS. Pada masa yang sama, PMKS digalakkan untuk meneruskan agenda tranformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik.

24.Sukacita saya maklumkan, Kerajaan telah bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMKe-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik. Antaranya ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

25.Dengan terlaksananya beberapa perancangan ini, saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMKe-12. Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus. PMKS pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK, dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEDUA: MEMPERKUKUH PEMANGKIN PERTUMBUHAN

26.Untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan dan berteknologi tinggi, kita tiada pilihan selain menerima guna teknologi baharu dan berusaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri. Kita juga perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.

27.Langkah mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi 4IR. Pada awal tahun ini, Kerajaan telah melancarkan agenda MyDIGITAL dan diikuti dengan Dasar 4IR Negara. Perancangan dasar, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif 4IR dan pendigitalan negara diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

28.Kerajaan menerajui agenda ini melalui inisiatif pendigitalan sektor awam dan transformasi PMKS. Penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai 28 bilion ringgit bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada. Bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak 15 bilion ringgit lagi akan dilabur oleh sektor swasta. Projek pembangunan Identiti Digital Nasional sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai.

29.Kita sedar teknologi digital telah banyak mencorak kehidupan kita pada masa kini. Pembelajaran anak-anak kita telah terganggu disebabkan kekurangan peralatan dan akses kepada teknologi. Oleh itu, Kerajaan komited untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital.

30.Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025. Sehingga bulan Ogos 2021, sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G. Kelajuan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula telah mencapai 29.1 megabit sesaat dan lebih 6 ribu premis telah mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap. Rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021. Pelbagai inisiatif pendigitalan ini dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada tahun 2025.

31.Kerajaan menyedari ekonomi gig merupakan sumber penting pertumbuhan ekonomi. Ia telah membuka peluang yang lebih besar kepada rakyat untuk menambah pendapatan, termasuk menawarkan perkhidmatan menggunakan platform digital seperti e-hailing dan p-hailing. Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang menyokong perkembangan ekonomi gig bagi menggalakkan rakyat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.

Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.

32.Selain itu, usaha akan dipergiat untuk mengakreditasi platform tempatan berdasarkan piawaian industri ekonomi perkongsian antarabangsa, bagi meningkatkan daya saing pada peringkat global. Satu rangka kawal selia sedang disediakan bagi memastikan penyedia platform, pekerja dan pengguna adalah dilindungi. Kerajaan juga akan memastikan pampasan akibat pengangguran, perlindungan kesihatan dan simpanan untuk persaraan diperkukuh.

33.Kerajaan akan merapatkan jurang digital, terutama antara luar bandar dan bandar disebabkan perbezaan prasarana jalur lebar, melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital. Dalam hubungan ini, Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bersepadu. Penggunaannya juga akan diperluas untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat.

Tuan Yang di-Pertua,

34.Sejajar dengan perkembangan teknologi serta inovasi, usaha untuk melahirkan pembangun dan pencipta teknologi tempatan akan dipergiat bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi. Bagi tujuan ini, semua aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) akan dijajarkan dengan keutamaan negara. Sebanyak 50 peratus daripada dana penyelidikan Kerajaan akan disediakan untuk penyelidikan eksperimental yang berpotensi untuk dikomersialkan. Sehubungan ini, Kerajaan telah meluluskan penubuhan pusat sehenti bagi pengkomersialan dan pemindahan teknologi serta Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

35.Bagi menyelaras aktiviti R&D&C&I dan memastikan ianya bersesuaian dengan keutamaan nasional, Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) telah ditubuhkan. Peranan RMU adalah untuk mengurangkan pertindihan fungsi, memperkukuh kerjasama antara pihak industri, akademia dan kerajaan dalam pelbagai bidang, serta meningkatkan kecekapan dalam penggunaan sumber sedia ada.

36.Selain itu, sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen akan dipertingkat. Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D kepada KDNK dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.0 peratus sahaja pada tahun 2020. Sektor swasta disasarkan menyumbang lebih besar dengan peningkatan dua kali ganda, iaitu mencapai 70 peratus kepada jumlah perbelanjaan R&D.

Tuan Yang di-Pertua,

37.Infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar akan dipertingkat. Ini melibatkan antaranya projek-projek utama seperti berikut

:•Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun 2022;

•Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada tahun 2023;

•Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan dijangka siap pada tahun 2026;

•Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura akan mula dibina pada hujung tahun 2021;

•Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024;

•Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025; dan

•Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.38.Dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) 3.0. Model pelaksanaan projek tidak akan melibatkan komitmen kewangan Kerajaan dan menggunakan kaedah Request for Proposal (RFP). Pelaksanaan projek-projek di bawah model baharu ini dijangka dapat diumumkan pada pertengahan tahun 2022. Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

39.Untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, pembangunan bakat amat penting. Oleh itu, sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri. Tumpuan diberikan untuk menambah baik seluruh sistem pendidikan negara, serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan. Bagi menambah baik sistem pendidikan negara, langkah utama yang akan dilaksana adalah seperti berikut:

•Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan diperkukuh bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk 4IR;

•Persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah 1.6 bilion ringgit pada tahun 2021 dan 2022;

•Sebanyak 4 kompleks sekolah dan 5 buah sekolah baharu akan dibina melibatkan kos 848 juta ringgit;

•Program TVET akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET;

•Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET akan dibangunkan;

•Sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel akan diwujudkan dan kerjasama dengan industri dipertingkat bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri;

•Pelan pendidikan digital pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi akan diperkenalkan bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti; dan

•Naik taraf kemudahan beberapa universiti awam, antaranya UiTM, UKM, UM, USM dan UUM.40.Dalam RMKe-12, Kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif berikut:

•Menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi;

•Menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi;

•Mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah; dan

•Memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.

Tuan Yang di-Pertua,

41.Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. Selain itu, Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri. Pelaksanaan dua pelan ini akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pewujudan peluang pekerjaan yang baharu.

42.Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada beberapa sektor ekonomi, yang mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing, terutama sektor pembinaan dan perladangan akibat pembekuan pengambilan pekerja asing. Bagi mengatasi isu ini, industri perlu meningkatkan penggunaan automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran. Dalam tempoh jangka panjang, jumlah pekerja asing dalam tenaga kerja dihadkan kepada tidak melebihi 15 peratus. Penguatkuasaan berkaitan pekerja asing akan diperkukuh bagi menyokong dasar ini.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KETIGA: MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN KELUARGA MALAYSIA

43.Kesejahteraan hidup adalah hak asasi manusia dan hak ini tidak boleh dinafikan. Saya sedar dalam situasi pandemik COVID-19, rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada Kerajaan. Kerajaan akan sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek, terutama penjagaan kesihatan dan penyediaan kediaman yang berkualiti.

44.Kerajaan kekal komited bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan demi memastikan rakyat sihat dan produktif. Sehubungan itu, Kerajaan akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada, dan dasar kesihatan negara akan dirangka bagi meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan. Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara juga sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri. Pelan ini juga membolehkan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang. Di samping itu, Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun 2022. Penubuhan institut ini bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit.

45.Kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital, untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap seribu penduduk menjelang tahun 2025. Kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu, sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMKe-12. Selain itu, kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah. Dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, Kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua,

46.Selaras dengan Dasar Perumahan Negara, Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti, dan mampu milik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. Bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan telah membina lebih daripada 282 ribu unit rumah mampu milik dalam tempoh RMKe-11. Sebanyak 500 ribu unit lagi rumah mampu milik akan dibina dalam RMKe-12 bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah. Di samping itu, kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO), akan ditambah baik bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran.

47.Bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 2.25 bilion ringgit dalam tempoh RMKe-12. Peruntukan ini adalah untuk membina dan membaik pulih sebanyak 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, melibatkan 75 ribu unit rumah di kawasan luar bandar, dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar. Ini tidak termasuk pembinaan rumah yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).

48.Apalah maknanya kesejahteraan, sekiranya kita tidak bersatu hati. Sejarah telah mengajar kita betapa pentingnya untuk mengekalkan perpaduan, dalam membina negara bangsa. Bagi memperkukuh kesepaduan Keluarga Malaysia, program perpaduan dan sukan secara inklusif serta komprehensif akan dipergiat. Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia. Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan, untuk terus menyebarkan semangat patriotisme dan kesukarelawanan dengan memanfaatkan platform digital dan media yang lain. Pemahaman serta penghayatan mengenai Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, perlu terus diterap dan diperkasakan dalam kalangan anak-anak kita dan golongan belia negara.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEEMPAT: MEMANTAPKAN KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM

49.Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara merupakan perkara asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia. Antara inisiatif yang akan dilaksana merangkumi langkah menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkat ketenteraman awam, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan siber serta menjaga kebajikan anggota. Saya akan pastikan, langkah yang lebih tegas akan diambil untuk melaksanakan pelan menyeluruh, dan memperkukuh Ops Benteng bagi mengekang pendatang asing tanpa izin.

50.Antara projek yang akan dilaksanakan, termasuk Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu, Sarawak, pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim. Selain itu, kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMKe-12. Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenal, bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan.

51.Bagi memastikan kebajikan anggota tentera dan penguatkuasa terbela, 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMKe-12.

Tuan Yang di-Pertua,


FOKUS KELIMA: MEMBASMI KEMISKINAN TEGAR DAN MERAPATKAN JURANG PENDAPATAN

52.Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat. Pandemik COVID-19 yang melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk CSO, badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri yang sentiasa prihatin dan menyokong Kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik.

53.Bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, kita perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai oleh beberapa negara lain. Maka, inisiatif membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu, melalui pendekatan keseluruhan negara. Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan. Unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor korporat dan CSO. Dengan adanya pegawai yang diberi tugas khusus, untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah, saya yakin kemiskinan tegar dapat dibasmi pada tahun 2025.

54.Usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan, dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas. Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak. Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos sebanyak 1.5 bilion ringgit akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

55.Kerajaan tidak boleh bersendirian dalam perjuangan ini. Saya menyeru sektor korporat dan orang perseorangan untuk membantu Keluarga Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan. Sekecil mana pun bantuan yang dihulurkan, termasuk melalui sumber pembiayaan alternatif seperti zakat dan wakaf, jika digembleng akan membawa manfaat yang besar.

56.Kemiskinan pada hari ini juga dilihat dari pelbagai dimensi selain kewangan. Sehubungan ini, dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa. Dalam aspek kesihatan pula, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas. Isu kekurangan zat dan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 semakin meningkat. Untuk tujuan itu, isu ini akan ditangani secara komprehensif termasuk melalui makanan berkhasiat.

57.Bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing mencari pekerjaan golongan M40, program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan. Mereka juga akan digalakkan untuk melanggan insurans kesihatan dan pekerjaan pada kadar yang mampu dibayar. Selain itu, kita akan memastikan anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEENAM: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA DAN KELUARGA MALAYSIA

58.Keluarga Malaysia merangkumi Bumiputera, Orang Asli dan Anak Negeri Sabah yang mempunyai 42 etnik dan lebih 200 sub-etnik, antaranya suku kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, dan Bajau. Juga Bumiputera Sarawak yang mempunyai 27 etnik, antaranya kaum Iban, Orang Ulu, Melanau dan Bidayuh di samping kaum Cina, India dan lain-lain. Ahli keluarga ini yang berpendapatan rendah serta kumpulan khusus dan golongan mudah terjejas tanpa mengira kaum, yang perlukan pembelaan dan bimbingan, akan diberi perhatian.

59.Kerajaan sedar bahawa sebilangan besar Bumiputera masih lagi berpendapatan rendah dan miskin berbanding etnik lain. Jurang pendapatan penengah antara Bumiputera dan kaum Cina semakin melebar, iaitu empat kali ganda pada tahun 2019 berbanding 1989.

60.Saya memberi jaminan bahawa agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan. Ini sebagai mana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, dan kepentingan sah kaum lain. Hasrat Kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

61.Agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan. Semua pihak, termasuk pihak Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta akan bersama-sama dalam menjayakan agenda ini.

62.Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz, akan diperkukuh, antaranya melalui inisiatif berikut:

•Latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang; dan

•Kemahiran untuk kerjaya masa hadapan, seperti penganalisis dan saintis data serta pakar data raya.

63.Daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera akan dipertingkat bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan PMKS Bumiputera kepada KDNK pada tahun 2025. Pencapaian ini akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu, termasuk:

•Dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat Bumiputera;

•Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk kontraktor Bumiputera; dan

•Penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital serta industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi.

64.Bagi meningkatkan kekayaan Bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera akan diperkukuh melalui kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Selain itu, bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan akan diperluas bagi menyokong usahawan Bumiputera.

65.Sebagai inisiatif untuk mengembangkan lagi ekonomi Islam, konsep wakaf akan diperluas sebagai strategi mempelbagaikan sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera. Dalam hubungan ini, lebih banyak instrumen wakaf akan diperkenalkan, termasuk mewujudkan satu dana wakaf di peringkat nasional bagi menggembleng lebih banyak sumber untuk keusahawanan dan membiayai program pembangunan sosioekonomi. Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap.

Tuan Yang di-Pertua,

66.Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. Pada hari ini, saya ingin berkongsi status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran bagi tahun 2019 seperti berikut:

•Pegangan Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus;

•bukan Bumiputera 25.0 peratus;•asing 45.5 peratus; dan

•nomini 12.3 peratus.

67.Bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain. Di samping itu, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.

68.Dalam usaha menyelaras semua inisiatif ini, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi Kerajaan. Langkah ini adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera. Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini. Ia memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera.

Tuan Yang di-Pertua,

69.Masyarakat Orang Asli adalah antara golongan rentan yang sentiasa mendapat perhatian oleh Kerajaan. Sebahagian besar isi rumah Orang Asli adalah golongan B40 dengan kadar kemiskinan yang masih tinggi, iaitu 33.6 peratus pada tahun 2019. Golongan ini adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang kita perlu perkasakan untuk membangun bersama. Sehubungan itu, pelan pembangunan sosioekonomi Orang Asli yang komprehensif sedang dirangka meliputi aspek daripada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan sehingga infrastruktur asas.

70.Pendidikan berkualiti akan menjadi kunci utama dalam mempercepat pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli. Peluang murid Orang Asli mendapat pendidikan hingga ke tingkatan lima akan dipertingkat. Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) akan ditambah dan sebahagiannya dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11). Aspek pengajaran dan pembelajaran akan ditambah baik, termasuk meningkatkan kualiti guru dan kemudahan di sekolah.

71.Saya menyedari masih terdapat isi rumah kaum Cina yang berpendapatan rendah, khususnya di Kampung Baru seluruh negara. Kerajaan juga akan terus membantu kumpulan ini dengan meningkatkan akses dan menambah baik Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru. Kemudahan ini bertujuan untuk mereka mengembangkan perniagaan dan terlibat dalam keusahawanan. Selain itu, program infrastruktur asas dan ameniti sosial akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di Kampung Baru Cina.

72.Sebahagian masyarakat kaum India juga perlu dibantu, khususnya yang berpendapatan rendah. Oleh itu, dalam mencapai pembangunan inklusif, kesejahteraan mereka akan terus diberi keutamaan, selaras dengan Pelan Tindakan Masyarakat India. Kerajaan akan memberi sokongan kepada mereka dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan.

Tuan Yang di-Pertua,

73.Anak muda kita akan menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan. Oleh itu, mereka perlu terus dibimbing dan diberi sokongan untuk bersama mencorak masa depan Malaysia. Pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia sedang dirangka untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara. Kapasiti dan keupayaan belia akan dipertingkat bagi melahirkan pekerja mahir. Semangat patriotisme dan tanggungjawab kepada negara juga akan dipupuk. Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia.

74.Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030, iaitu apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas. Bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, Kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada warga emas. Sehingga hari ini, sebanyak 140 Pusat Warga Emas telah diwujudkan, dan Kerajaan merancang untuk memperluas usaha ini ke seluruh kawasan parlimen. Malaysia juga perlu mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang. Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas.

75.Jumlah orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar telah meningkat sebanyak 8 peratus, iaitu daripada 548 ribu pada tahun 2019 kepada 593 ribu pada tahun 2020. Kumpulan ini akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti Job Coach, Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

76.Usaha memperkasakan gender dalam pembangunan akan diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan. Penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025. Akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan akan dipertingkat. Ini akan mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja.

77.Pembangunan ekonomi usahawan wanita akan diperkukuh dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan aktiviti latihan kemahiran. Usahawan wanita juga akan digalakkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian untuk memperluas pasaran. Rangka kerja bagi memperkasakan gender akan diperkenalkan serta undang-undang sivil dan syariah akan diperkukuh bagi menangani isu berkaitan wanita.

Pembangunan ekonomi usahawan wanita akan diperkukuh dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan aktiviti latihan kemahiran. - Foto NSTP

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KETUJUH: MELONJAKKAN PEMBANGUNAN SABAH, SARAWAK DAN NEGERI-NEGERI KURANG MEMBANGUN

78.Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963. Ini termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan. Oleh itu, pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMKe-12. Penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

79.Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat. Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan KDNK yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak.

80.Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut. Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat.

81.Seperti yang saya umumkan semasa Hari Malaysia, peruntukan berjumlah 7.7 bilion ringgit, iaitu 3.61 bilion ringgit kepada negeri Sabah dan 4.09 bilion ringgit kepada negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMKe-12. Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi. Sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak. Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji janakuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf. Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada tahun 2025.

82.Perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak. Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri. Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

83.Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks ICQS Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf. Selain itu, Projek Jalan dari Sempadan Ba'kelalan/Kompleks CIQ Menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun 2022.

84.Dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 peratus dan negeri Sarawak pada kadar 5.3 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025. Saya berkeyakinan kedua-dua negeri ini mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya. Dengan itu, pertumbuhan sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan ini.

Tuan Yang di-Pertua,

85.Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar. Infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap, antaranya:

•Jalan Nanga Tulie ke Rumah Bujah, Nanga Pelagus di Kapit, Sarawak dengan kos sebanyak 280 juta ringgit;

•Jalan Dudar ke Taburan ke Mendawang di Kota Belud, Sabah dengan kos sebanyak 101 juta ringgit;

•Jalan Luar Bandar dari Simpang FELCRA Ulu Kerut ke Kg Orang Asli Bot-Bot ke FELDA Jengka 7 ke Jalan Kilang Sawit Jengka 18 di Daerah Maran, Pahang dengan kos sebanyak 135.3 juta ringgit; dan

•Jalan Baharu dari Kampung Gagu ke Ulu Beranang di Negeri Sembilan dengan kos projek sebanyak 179.2 juta ringgit.

86.Selain itu, usaha juga akan dipertingkat untuk memastikan akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus. Bagi mempergiat aktiviti sosioekonomi setempat pula, projek-projek kecil luar bandar akan terus dilaksana seperti Program Ameniti Sosial dengan peruntukan sebanyak 310 juta ringgit dan pembinaan Jalan Perhubungan Desa dengan kos sebanyak 1.6 bilion ringgit. Usaha ini dijangka dapat membantu merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar.

87.Saya menghargai setiap titik peluh dan penat lelah peladang, penternak dan nelayan. Mereka juga merupakan sebahagian daripada komponen penting dalam pembangunan luar bandar. Keluarga kita ini harus dibawa bersama dalam transformasi ekonomi negara.

88.Kerajaan giat melaksanakan Pelan Pemulihan FELDA untuk mengembalikan kegemilangan agensi ini dalam membela nasib rakyat. Pemulihan ini melibatkan penstrukturan semula kewangan FELDA dan memperkasa taraf sosioekonomi warga FELDA. Hasrat Kerajaan adalah untuk menjadikan FELDA peneraju dalam pertanian pintar dan pengeluaran makanan negara. Kita mahu FELDA lebih mampan dan menjadi contoh atau role model dalam transformasi komuniti luar bandar yang moden dan progresif.

89.Isu perumahan generasi kedua akan ditangani dengan memperkenalkan semula model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi kedua. Melalui model ini, generasi kedua akan ditawarkan tapak rumah dan reka bentuk yang standard oleh Kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KELAPAN: MEMPERCEPAT PERTUMBUHAN HIJAU

90.Pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar, manakala liputan kawasan hijau perlu dipertahankan. Usaha untuk mempercepat pertumbuhan hijau, mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air, harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara.

91.Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan mengambil kira prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses membuat keputusan. Walaupun Malaysia hanya menyumbang 0.7 peratus kepada pelepasan gas rumah kaca, Kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030, berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, selari dengan aspirasi menjadi negara rendah karbon.

92.Saya menyambut baik inisiatif sektor swasta yang telah mengambil langkah ke hadapan melalui komitmen bagi mencapai net zero carbon emissions. Ini termasuk komitmen syarikat GLC dan GLIC seperti PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Sarawak Energy Berhad untuk mencapai matlamat ini pada tahun 2050. Saya menggesa agar syarikat-syarikat lain mencontohi inisiatif ini dengan menyatakan komitmen yang sama. Langkah ini menjadi semakin penting apabila rakan dagangan, pasaran modal dan institusi kewangan meletakkan syarat pematuhan kepada prinsip ESG dalam keputusan pelaburan dan pengeluaran produk mereka.

Tuan Yang di-Pertua,

93.Kerajaan akan bersama-sama pihak swasta dalam menjayakan matlamat ini. Pada hari ini saya memberikan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050. Bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan. Perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu.

94.Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi. Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, aspirasi ini bukanlah angan-angan kosong. Komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara.

95.Dalam usaha Kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan, pertubuhan masyarakat sivil atau CSO akan diiktiraf sebagai rakan pembangunan. Bagi tujuan ini, peranan CSO akan diinstitusikan dalam pelbagai mekanisme tadbir urus, terutama dalam pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan pada peringkat akar umbi bagi mencapai Agenda 2030.

96.Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon. Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji janakuasa arang batu.

97.Akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial. Penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025.

98.Model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMKe-12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli. Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan. Di samping itu, pelaburan hijau akan terus digalakkan, termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta GLC.

Tuan Yang di-Pertua,

99.Pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan terus dipergiat. Sebanyak 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan. Bagi tujuan ini, pelaksanaan inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan. Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) bagi menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.

100.Bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang terselaras dan menyeluruh, pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan. Selain itu, inisiatif perolehan hijau Kerajaan akan diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Melalui pelaksanaan inisiatif ini, perolehan hijau Kerajaan disasarkan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025.

101.Pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian khazanah semula jadi negara akan terus dipertingkat. Mekanisme ecological fiscal transfer akan ditambah baik dalam menyokong langkah kerajaan negeri memulihara kawasan hutan. Santuari hidupan liar yang semakin terancam seperti harimau belang, tapir dan gajah akan dipertingkat bagi tujuan konservasi. Pelan rangka tindakan ekonomi biru akan diperkenalkan untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin secara mampan.

102.Saban tahun, rakyat di seluruh negara dilanda bencana banjir dan tanah runtuh. Bencana ini telah mengakibatkan kerosakan harta benda, kehilangan nyawa dan mata pencarian. Baru-baru ini berlaku bencana seperti fenomena kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda di Kedah, banjir di Penampang, Sabah serta tanah runtuh di Kemensah Heights, Selangor. Sehubungan itu, penjagaan alam sekitar adalah amat penting bagi melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian harta benda. Dalam hubungan ini, beberapa projek dengan kos sebanyak 16 bilion ringgit bagi tempoh RMKe-12 dan RMKe-13 akan dilaksanakan di bawah program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir.

103.Sektor air perlu ditransformasi secara menyeluruh bagi menjamin bekalan dan kemampanan. Agenda Transformasi Sektor Air 2040 akan diperkenalkan dalam RMKe-12 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi bagi menjana kekayaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu. Pelaksanaan agenda ini melibatkan 4 fasa dan fasa pertama Penerima-gunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu akan dipergiat pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah. Pewartaan dan perlindungan kawasan tadahan air akan dipercepat untuk menambah baik pengurusan sumber air dan loji rawatan air sisa bersepadu akan dibina untuk kawalan percemaran.

104.Tadbir urus air akan ditambah baik melalui pemerkasaan peranan dan penglibatan rakyat, pengukuhan aktiviti penguatkuasaan dan semakan undang-undang. Selain itu, mekanisme pembiayaan inovatif akan dikaji, di samping menyediakan infrastruktur yang mampan serta meneruskan program pengurangan air tidak berhasil (NRW). Pelaksanaan inisiatif ini akan mengurangkan tahap NRW kepada 25 peratus pada tahun 2025. Kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos 25.8 bilion ringgit untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KESEMBILAN: MENINGKATKAN KECEKAPAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM DAN MEMASTIKAN PELAKSANAAN DASAR YANG BERKESAN

105.Saya ingin memberi komitmen bahawa perkhidmatan awam yang menjadi nadi pentadbiran negara akan terus dimantapkan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan. Bagi tujuan ini, perkhidmatan awam akan ditransformasi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan. Pelaksanaan penyampaian perkhidmatan yang berkesan amat penting bagi memastikan Keluarga Malaysia benar-benar merasai pembangunan yang dilaksanakan.

106.Struktur dan fungsi kementerian dan agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi. Mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik. Cadangan untuk memperkenalkan akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara Anggota Pentadbiran dengan penjawat awam.

107.Di samping itu, pendigitalan perkhidmatan awam akan terus dipertingkat. Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 yang baru dilancar menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam bagi memacu agenda Kerajaan Digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital. Kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir atau end-to-end meningkat kepada 80 peratus pada tahun 2025. Rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta yang lebih meluas.

108.Saya sedar anak muda hari ini sentiasa ingin menyuarakan hasrat dan pandangan mereka untuk bersama-sama membangunkan negara melalui amalan demokrasi. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan akan memastikan pindaan perlembagaan yang membolehkan warganegara berumur 18 tahun dapat mengundi (Undi18) dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

109.Saya beriltizam untuk menjadikan Kerajaan ini sebuah Kerajaan berprestasi tinggi yang memenuhi harapan rakyat. Ini adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 September 2021 supaya kita terus mendokong pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah. Dengan ini, saya memberi jaminan bahawa semua strategi dan inisiatif di bawah RMKe-12 ini akan dilaksanakan secara tersusun dengan penuh integriti dan bertanggungjawab. Indeks Tadbir Urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

110.Bagi tujuan itu, Pelan Pelaksanaan Dasar RMKe-12 disediakan sebagai panduan kepada kementerian dan agensi dalam meneraju dan melaksana semua dasar ini. Saya meletakkan tanggungjawab kepada semua Menteri dan kementerian untuk bersama-sama saya melaksana dan memantau pencapaian sasaran RMKe-12.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

111.Penghujung tempoh RMKe-11 telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global dan impak pandemik COVID-19. Dalam tempoh 18 bulan yang lalu, kita telah menumpukan usaha melindungi nyawa dan kehidupan Keluarga Malaysia. Sekarang, sudah tiba masanya untuk kita memberi tumpuan kepada agenda menyusun semula dan mengembalikan kekuatan dan daya saing ekonomi negara.

112.RMKe-12 telah dirangka dengan mengambil kira perubahan dalam landskap ekonomi global dan domestik serta keperluan menangani isu semasa demi masa depan Keluarga Malaysia yang lebih cerah. Dengan objektif "Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan", RMKe-12 menggariskan perancangan strategik yang komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dengan guna tenaga mahir ke arah mencapai pertumbuhan inklusif tanpa mengabaikan alam sekitar. Pada masa yang sama Kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.

113.Sesungguhnya krisis ini telah menyatukan kita semua. Krisis ini juga telah membuka peluang untuk kita membuat transformasi. Pada 13 September lalu, kita telah mencipta sejarah. Buat pertama kali, Kerajaan dan Pakatan Harapan telah memeterai Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik. Ini adalah hasil daripada dasar Kerajaan yang inklusif. Harapan saya, persefahaman ini akan membolehkan kita memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik dan meletakkan negara pada asas pertumbuhan yang lebih kukuh.

114.Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita ketepikan semua perbezaan, berganding bahu untuk membina Malaysia yang berdaya saing dan berdaya tahan serta kalis cabaran. Mari kita kumpulkan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada di sebelah sini dan di sebelah sana, untuk bersama-sama merealisasikan matlamat RMKe-12. Kita mesti mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat, demi Keluarga Malaysia.

115.Saya yakin, berkat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, melalui perancangan lima tahun ini, Malaysia mampu bangkit semula dan Insya-Allah, kita boleh melakar masa hadapan yang lebih baik.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo