NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Titah Tuanku perlu disusuli tindakan segera



Pihak pentadbiran kerajaan khususnya Perdana Menteri perlu segera bertindak bagi melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum tamat darurat.

Keperluan ini timbul kerana beberapa asas. Pertamanya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara (Perkara 32), ketua kepada badan eksekutif Persekutuan (Perkara 39) dan salah satu elemen dalam Parlimen selain daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat (Perkara 44).
 
Keduanya, pandangan Yang di-Pertuan Agong berkaitan keperluan mengadakan sidang Parlimen telah dizahirkan secara konsisten sekurang-kurang sebanyak tiga kali melalui kenyataan rasmi dari Istana Negara, iaitu pada 24 Februari, 16 Jun dan 29 Jun 2021.
 
Ketiga, pandangan Yang di-Pertuan Agong dibuat selepas perbincangan dan perundingan dengan semua pihak yang terlibat termasuklah Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, serta timbalan-timbalan mereka, para pemimpin parti politik, pegawai-pegawai kerajaan dan lain-lain. Bahkan Perdana Menteri serta jemaah Kabinet amat maklum berkenaan hasrat berkenaan yang disuarakan secara terbuka dan melalui perbincangan. Ini bermakna, pandangan Yang di-Pertuan Agong ini dizahirkan selepas melalui proses musyawarah yang menyeluruh.

Keempat, pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan pandangan Raja-raja Pemerintah yang diumumkan selepas pertemuan khas di Istana Negara.
 
Kelima, pendirian yang konsisten Yang di-Pertuan Agong adalah berteraskan konsep dan amalan Demokrasi Berparlimen selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Pentadbiran kerajaan tidak melakukan tindakan yang sepatutnya untuk memanfaatkan Proklamasi Darurat yang bermula sejak Januari 2021 bagi membolehkan Parlimen dapat memainkan peranan sebagai institusi ‘semak dan imbang’, peranan sebagai badan perwakilan rakyat dan sebagai wahana perbahasan undang-undang serta isu rakyat.

Keenam, pentadbiran kerajaan juga tidak menyediakan ruang yang wajar kepada pihak pembangkang untuk turut sama terlibat dalam usaha menagani wabak Covid-19, sedangkan ia merupakan langkah penting bagi meredakan suhu politik dalam negara. Nasihat Yang di-Pertuan Agong berkaitan keperluan untuk semua pihak memberikan tumpuan kepada usaha menangani Covid-19 dan mengurangkan politiking telah lama dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ketujuh, tahap sokongan dan kepercayaan kepada Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat adalah amat tipis, bahkan telah menjadi pertikaian. Ketiadaan sidang Parlimen mewujudkan persepsi yang amat tidak baik kepada rakyat berkaitan tahap keabsahan kerajaan. Bahkan terdapat dakwaan bahawa Proklamasi Darurat serta penangguhan sidang Parlimen dibuat untuk menjaga kepentingan politik dan kuasa. Persepsi berkenaan turut dikaitkan dengan peranan Yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Kelapan, jika pihak Perdana Menteri tidak segera bertindak melaksanakan sidang sebelum 1 Ogos 2021 seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka dikhuatiri berlaku hubungan yang amat tidak sihat antara pihak Istana dan Kabinet. Tentunya rakyat tidak mahu wujud krisis politik atau krisis perlembagaan pada saat negara sedang berperang dengan wabak Covid-19.

Berdasarkan lapan asas yang dinyatakan di atas, adalah diharapkan pihak Perdana Menteri dan jemaah Kabinet mengambil langkah segera memanggil sidang Parlimen bagi membentangkan Proklamasi Darurat 2021 dan ordinan-ordinan darurat menurut Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan sebelum 1 Ogos 2021.

Tidak dinafikan bahawa wujud tafsiran yang menyebut bahawa pembentangan Proklamasi Darurat dan ordinan darurat tidak semestinya dibuat dalam tempoh darurat, dan boleh dilakukan selepas darurat tamat. Demikian juga wujud tafsiran Perlembagaan yang berbeza-beza berkaitan pihak yang lebih berkuasa untuk menentukan tarikh sidang Parlimen. Bahkan ada juga tafsiran berbeza dari sudut kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan tarikh penamatan darurat. Namun janganlah tafsiran yang berbeza ini menjadi penyebab titah Yang di-Pertuan Agong dikesampingkan.

Dalam hal ini, adalah diharapkan agar pihak Perdana Menteri dan jemaah Menteri tidak terlalu rigid dan hanya bergantung kepada tafsiran Perlembagaan untuk peruntukan yang spesifik tanpa melihat secara menyeluruh semangat perlembagaan dan pertimbangan siasah. Keputusan pentadbiran bukanlah keputusan mahkamah. Peguam Negara memberikan nasihat berdasarkan nas undang-undang, tetapi Perdana Menteri dan Menteri perlu membuat keputusan berteraskan maslahah yang lebih besar dan luas.
 
Perlu diingat bahawa rakyat memerhatikan setiap langkah pemimpin kerajaan. Jangan sampai pentadbiran kerajaan hari ini digelar pemimpin derhaka akibat kedegilan dan kealpaan sendiri. Kita mengharapkan semua pihak mengutamakan musyawarah dan berfikir untuk mencari jalan penyelesaian bagi menamatkan keresahan politik yang berlaku.

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI BIN YUSOF
Universiti Teknologi Malaysia
1 Julai 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo