NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah, NCIA bekerjasama untuk pemulihan kegiatan ekonomi, peluang pekerjaan


ALOR SETAR, 3 Nov -- Kerajaan Kedah bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk merancakkan kembali kegiatan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan di rantau ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelbagai projek infrastruktur berimpak tinggi dan program modal insan akan dilaksanakan bawah Pelan Pembangunan Strategik 2021-2025 (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang diluluskan baru-baru ini.

“SDP dirangka khas untuk menyediakan perancangan yang holistik dan bersepadu untuk pengembangan modal insan, pertumbuhan pelaburan, peningkatan jaringan perhubungan dan infrastruktur strategik untuk NCER.

“Kerajaan negeri sedang bekerjasama erat dengan NCIA bagi memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Sanusi berkata NCIA telah melaksanakan projek pemangkin di bawah SDP yang akan menyaksikan kenaikan dalam keluaran dalam negara kasar Kedah lebih daripada 30 peratus kepada RM62 bilion menjelang 2025.

Projek-projek strategik dan berimpak tinggi itu turut menyaksikan negeri Kedah mempunyai keupayaan untuk menarik pelaburan terkumpul lebih daripada RM32 bilion menjelang 2025 dan mewujudkan lebih 43,000 peluang pekerjaan baharu serta melahirkan 10,000 usahawan baharu,” katanya.

Sementara itu, Jebasingam dalam kenyataan berkata tumpuan akan diberikan untuk mencipta nilai sebanyak mungkin untuk rakyat dan komuniti perniagaan, di tengah-tengah tempoh ekonomi yang mencabar ketika ini.

“Kami akan terus bekerjasama untuk mengatasi cabaran-cabaran ini demi kepentingan rakyat dan rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo