UMMAH cadang lanjutkan moratorium kepada golongan sasar


KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengesyorkan kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan agar mengambil inisiatif segera berbincang dengan industri perbankan bagi melanjutkan tempoh moratorium yang akan berakhir pada 30 September depan.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, perlanjutan tempoh yang dicadangkan ialah di antara enam sehingga sembilan bulan.

Katanya, lanjutan ini sangat penting khususnya kepada golongan sasar berpendapatan rendah daripada B40, M40 dan golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Golongan ini sangat terkesan kerana kehilangan sebahagian daripada pendapatan mereka akibat aktiviti ekonomi yang dihentikan semasa pelaksanaan locked down Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walau bagaimanapun bagi sektor yang tidak terjejas seperti yang berkhidmat dengan kerajaan kumpulan A dan ke atas boleh diberi pilihan moratorium.

“Begitu juga yang berkhidmat dengan pihak swasta yang tidak terjejas,” katanya.

Ujarnya, kehidupan rakyat ketika ini rata-ratanya amat menyedihkan kerana kehilangan pekerjaan seperti yang dilaporkan oleh Laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Negara.

Terang Mohd Zai, kadar pengangguran meningkat sangat tinggi sehingga mencecah 5 peratus bersamaan jumlah 800,000 pekerja bagi bulan April dan ini merupakan suatu cabaran kepada kerajaan bagi memulihkan keadaan.

Menurut Mohd Zai, inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) mesti segera dipantau keberkesanannya bagi memberi peluang kepada golongan yang kehilangan pendapatan ini.

Beliau menggambarkan situasi ekonomi rakyat ketika ini amat mencabar ekoran kehilangan pendapatan dan pekerjaan yang mempengaruhi institusi keluarga kerana terhimpit dengan beban kewangan dan hutang yang ada.

“Keperluan utama sebuah keluarga seperti tempat tinggal, makanan, pendidikan dan kenderaan merupakan antara perkara penting bagi kebahagiaan sesebuah institusi keluarga.

“Maka sangat wajar bagi kerajaan mengadakan perbincangan segera bagi cadangan mempertimbangkan perlanjutan tempoh moratorium kepada golongan yang sangat mengharapkan.

“Keutamaan kerajaan adalah sikap keprihatinan kepada rakyat, sudah pasti budi kerajaan tidak akan sia-sia, rakyat akan membalas jasanya pada PRU-15 nanti,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini. – HARAKAHDAILY 10/7/2020

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post