Train To Busan : Apa Akan Jadi Pada Ekonomi Negara Pasca-Apokalips ?


Memandangkan Train To Busan: Peninsula baru sahaja ditayangkan di pawagam baru-baru ini, pasti anda semua sudah menontonnya. Bagi penulis, filem ini agak membosankan berbanding Train To Busan pada tahun 2016.

Walau bagaimanapun, ada beberapa persoalan yang bermain di fikiran penulis terutamanya pada babak sekumpulan pengembara daripada Hong Kong menjumpai dollar AS di pelabuhan Incheon.

Kewujudan koloni manusia dalam negara yang sudah musnah juga sangat menarik kerana ianya menunjukkan bagaimana kawasan itu ditadbir.

Persoalannya sekarang, apa akan jadi kepada ekonomi negara pasca-apokalips ?

Ada beberapa perkara yang bermain di minda penulis seperti ekonomi sara diri, sistem barter dan dasar tutup pintu.

Cuba bayangkan jika Malaysia diserang satu wabak sehingga menyebabkan satu negara lumpuh dan hanya beberapa tempat yang berjaya bertahan sebagai koloni manusia.

Pertama sekali, Malaysia terpaksa melaksanakan dasar tutup pintu kepada globalisasi. Hal ini adalah bagi memastikan wabak tidak akan mengjangkiti satu dunia.

Malahan negara-negara kuasa besar dunia juga berkemungkinan boleh mengenakan sekatan ekonomi kepada Malaysia untuk tujuan sama.

Situasi ini jelas akan menyebabkan eksport Malaysia seperti getah dan kelapa sawit terjejas teruk. Malahan, negara-negara yang bergantung kepada minyak kelapa sawit terpaksa beralih arah kepada komoditi lain seperti minyak zaitun dan minyak jagung.

Salah satu negara yang pernah menjalankan dasar tutup pintu adalah seperti China dan Myanmar. Walaubagaimana pun, China telah membuka pintu hatinya kembali sehingga mampu menjadi kuasa ekonomi dunia.

Myanmar pula telah membuka pintunya sebaik sahaja junta pemerintahan tentera runtuh. Jika Malaysia laksanakan dasar tutup pintu kerana dilanda wabak seperti zombi, bilakah masa yang sesuai untuk membukannya kembali ?

Lantaran daripada itu, koloni manusia yang masih wujud perlu teruskan hidup dengan berpaksikan ekonomi sara diri. Situasi ini mengkehendaki setiap ketua keluarga memulakan pertanian kecil-kecilan bagi menyara keluarga dan lebihannya boleh didagangkan menggunakan sistem barter.

Mungkin di sini juga kita boleh menyaksikan kempen membeli barangan buatan tempatan sahaja memandangkan Malaysia telah dikenakan sekatan ekonomi. Buy Muslim First juga akan lebih berjaya dengan sokongan daripada pelbagai pihak demi survival manusia.

Jika ekonomi sudah bergerak secara sara diri, sistem barter dan dasar tutup pintu, apakah nasib koloni manusia yang masih bertahan?

Mungkinkah mereka boleh pergi ke negara ketiga untuk memohon suaka ?

Kehadiran koronavirus pada hari ini mungkin boleh dijadikan rujukan bagaimana keadaan dunia pada fasa pasca-apokalips.

Walau bagaimanapun, diharapakan realiti yang dipaparkan seperti Train To Busan tidak akan menjadi kenyataan. Jika tidak pasti kita semua susah untuk bertahan dalam suasanan yang sukar.

Sumber: https://theoutlook.asia/train-to-busan-apa-akan-jadi-pada-ekonomi-negara-pasca-apokalips/

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post