PRU-15: UMMAH sepakat sokong TSMY calon PM


KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersama NGO Melayu Islam sebulat suara menyokong sepenuhnya pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15).

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa berkata, satu memorandum khas telah dibuat tanda persetujuan antara UMMAH dan lebih daripada sepuluh NGO Melayu Islam bagi membuktikan tanda sokongan padu terhadap calon Perdana Menteri itu.

Mohd Zai berkata, di dalam draf memorandum itu dinyatakan titik-titik penting dalam menyokong kesinambungan pemerintahan calon Perdana Menteri itu.

Antaranya ialah mengajak parti politik Melayu Islam untuk menyokong sama pemilihan calon tersebut bagi membantu dalam pemulihan ekonomi negara ketika pandemik Covid-19 ini.

Tambahnya, tindakan bijak Muhyiddin menangani ‘kemelut politik’ semasa menerajui negara dalam suasana mendepani pandemik Covid-19 harus dipuji kerana ia membuka mata orang ramai terutamanya ahli-ahli politik.

“Kami bersepakat bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin sangat wajar diberi sokongan yang sepenuhnya bagi melaksanakan pemerintahan yang bertanggungjawab prihatin, berkebajikan dan mengutamakan kesejahteraan kepada rakyat.

“Kami menyeru parti-parti politik Melayu Islam sama ada dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan agar memberikan sokongan kepada Perdana Menteri ini.

“Ia bertujuan untuk mengutamakan agenda besar negara menghadapi cabaran mendepani pandemik Covid-19 dengan jayanya kerana kemelut politik tidak berkesudahan membuatkan rakyat muak,” katanya.

Beliau dihubungi HarakahDaily hari ini bagi mengulas mengenai pendirian PAS dan Umno menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

“Kami menyeru kepada seluruh rakyat agar bersatu padu, mengukuhkan perpaduan nasional dan kaum serta memberi sokongan yang sepenuhnya kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memulihkan ekonomi negara mendepani cabaran baru ekonomi,” katanya.

Pengerusi UMMAH itu menambah draf memorandum sokongan ini akan diserahkan kepada calon Perdana Menteri itu dalam masa yang terdekat.- HARAKAHDAILY 3/7/2020

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2020/07/03/pru-15-ummah-sepakat-sokong-tsmy-calon-pm/

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post