TEPAT. TELUS. TERKINI.

Politik populis ancaman tangani COVID-19



Oleh Dr Tengku Haziyamin Tengku Abdul Hamid

Selepas melanda Wuhan di China, wabak COVID-19 mula menular ke Korea Selatan, Iran, beberapa negara Asia lain sebelum tiba ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Ironinya, negara maju yang lengkap dengan infrastruktur kesihatan tercanggih dan terkehadapan kelihatan langsung tidak dapat mengawalnya. Pada masa sama, perubahan politik sedang terjadi di hampir segenap pelosok dunia memberi kesan terhadap penularan pandemik.

Di negara ini, kemelut politik selama beberapa hari membabitkan perubahan kerajaan dilihat sedikit sebanyak menjejaskan penumpuan dalam menangani penularan COVID-19.

Jelas sekali kestabilan politik begitu berperanan dalam menghadapi krisis. Sejak Perang Dunia Kedua, proses demokrasi liberal menjadi tunjang dalam pembentukan kerajaan di sesebuah negara. Proses demokrasi ini berevolusi sedikit demi sedikit menjadi pelbagai versi menurut kesesuaian ekonomi atau budaya sesebuah negara.

Mutakhir ini, kita melihat wujudnya tren politik populis yang semakin berkembang dan mula mencorak banyak hala tuju penduduk dunia. Sebagai contoh, pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS, pilihan rakyat dalam referendum supaya United Kingdom (UK) menarik diri daripada Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit, kemenangan Narendra Modi di India dan perubahan pucuk pimpinan di beberapa negara, seolah-olah memberi gambaran bahawa peranan besar politik populis dalam arus politik global.

Di samping kejayaan demokrasi liberal, masyarakat Barat juga menikmati hasil dan limpahan daripada aktiviti penjajahan. Kesan daripada kolonisasi, mereka juga mengalami banyak peningkatan taraf hidup dan sosial.

Akibat kemunduran, peperangan atau penindasan di sebahagian negara, penduduk negara lain mula berhijrah serta membina penghidupan baharu di Britain, EU, AS, Australia dan New Zealand.

Sejak itu, masyarakat Barat mula menerima migran dan sedikit sebanyak proses asimilasi berlaku. Penduduk migran yang pada mulanya dalam kalangan pekerja buruh berkembang kepada pedagang dan intelektual lain bagi memenuhi keperluan serta kepesatan ekonomi.

Bagaimanapun, kemelesetan ekonomi yang mula melanda dekad ini mula mencabar keterbukaan dan kemajmukan Barat. Migran mula dilihat sebagai ancaman ekonomi kepada penduduk natif atau etnik tempatan. Masyarakat mula dilihat melalui dua golongan, iaitu 'elit' dan 'orang kebanyakan'.

Golongan elit lebih bertoleransi dan majmuk merangkumi mereka yang berjaya, terpelajar dan berkemampuan, termasuk intelektual seperti doktor, saintis, peguam serta peniaga.

Orang kebanyakan pula membentuk sebahagian besar penduduk. Mereka kurang berpendidikan, petani atau mungkin tanpa pekerjaan. Pendekatan politik populis adalah dengan memenangi sokongan orang kebanyakan dan berkempen terhadap elit yang dianggap begitu korupsi dan berkepentingan.

Kemunculan watak seperti Trump ialah pemadanan dengan keperluan politik populis. Tidak menghairankan dalam gerak kempen Trump, sasaran terhadap migran atau pendatang menjadi agenda utama. Trump seolah-olah bersikap antisains atau kempen berkaitan dengannya.

Trump menganggap agenda perubahan iklim sebagai konspirasi dan menipu. Ketika wabak COVID-19 mula melanda AS, Trump dilihat tidak mempedulikan amaran daripada Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional, Dr Anthony Fauci mengenai pandemik.

Malah Trump melakukan beberapa tindakan yang dilihat sepadan dengan agenda populis seperti mengurangkan jumlah dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan memotong dana terhadap penyelidikan sains. Drama populis ditambah dengan menuduh pihak China sebagai mempelopori virus COVID-19.

Kita juga melihat peranan populis merebak ke banyak negara. Di Hungary dan Poland, pengaruh populis juga mengancam hak pendatang. Di India, Perdana Menteri, Narendra Modi memperkenalkan akta yang menekan pendatang Muslim dalam usaha memenangi kempennya.

Bagaimanakah semua ini dapat dikaitkan dengan wabak COVID-19? Kita melihat ketika wabak COVID-19 mula muncul di Wuhan, ia tidaklah begitu tersebar di kebanyakan negara di Asia. Boleh dikatakan kebanyakan negara Asia berjaya membendung penularan wabak. Setidak-tidaknya, kerajaan dan pakar secara sehaluan dapat membentuk tindakan susulan dalam menangani penularan.

Namun, apa yang kita lihat, penularan wabak adalah lebih tidak terkawal di beberapa negara di Eropah dan AS. Tanpa kita sedari politik populis ini sedikit sebanyak mempengaruhi kekuatan kerajaan dalam menghadapi krisis pandemik.

Ia dilihat boleh mengancam kerjasama dan persefahaman di antara saintis dan jentera kerajaan. Walaupun, jurang kemiskinan antara golongan kaya dengan miskin dapat menyuburkan lagi politik populis, kita tidak pasti sejauh mana tekanan ekonomi dan masalah migrasi mencetuskan fenomena sama di negara Asia.

***Penulis adalah Pensyarah Jabatan Bioteknologi, Kulliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget