NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apakah PKR mahu kenakan Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz?


oleh: Dr Kamarul

Pelik sungguh melihat gelagat pemimpin PKR mempersalahkan pelbagai pihak lain di atas terkuburnya Kerajaan PH Pusat pada 24 Februari lalu dan Kerajaan PH Kedah hari ini.

Walhalnya, fakta sebenar ialah pemimpin PKR sendirilah yang menjadi punca utama kepada terkuburnya Kerajaan PH Pusat pada 24 Februari lalu dan Kerajaan PH Kedah hari ini.

Kerajaan PH Pusat tidak akan tumbang jika Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 Ahli Parlimen PKR lain tidak mengisytiharkan keluar daripada PKR pada 24 Februari lalu.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 Ahli Parlimen PKR lain pula tidak akan saja-saja mengisytiharkan keluar daripada PKR tanpa wujudnya sebarang insiden dalaman PKR.

Perlu diingat ia berlaku selepas 10 Pengerusi PKR Negeri yang diketuai oleh Datuk Johari Abdul mendesak supaya Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, dipecat daripada parti.

Di saat desas-desus sedang berlegar kuat bahawa Zuraida akan benar-benar dipecat daripada PKR di dalam mesyuarat MPP pada 23 Februarilah Langkah Sheraton berlaku.

Maksudnya Langkah Sheraton oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali adalah tindak balas kepada jangkaan bahawa Zuraida Kamaruddin akan benar-benar dipecat daripada parti.

Logik yang mereka gunakan adalah mudah: Sebelum mereka dipecat daripada parti, adalah jauh lebih baik untuk mereka terlebih dahulu mengisytiharkan keluar daripada PKR.

Jika tindakan disiplin terhadap Zuraida Kamaruddin tidak diambil, atau paling tidak beliau dijamin tidak akan dipecat daripada parti, agak sukar untuk Langkah Sheraton berlaku.

Jadi salah siapa Langkah Sheraton berlaku kalau bukan salah pemimpin PKR sendiri?

Begitulah juga Kerajaan PH Kedah tidak akan tumbang jika dua ADUN PKR, Dr Robert Ling Kui Ee dan Azman Nasruddin, tidak mengisytiharkan keluar daripada PKR hari ini.

Dr Robert Ling Kui Ee, ADUN Sidam, dan Azman Nasruddin, ADUN Lunas, pula tidak akan saja-saja mengisytiharkan keluar daripada PKR tanpa wujudnya sebarang insiden dalaman PKR.

Perlu diingat ia berlaku selepas Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, mengumumkan pada 4 Mei lalu keputusan mesyuarat MPP memecat 348 ahli PKR dan menggantung 285 ahli PKR.

Pada hari yang sama, terus sahaja Dr Robert Ling Kui Ee mempertikaikan tindakan penggantungan 4 penyokongnya di Sungai Petani dan mencabar supaya beliau sendiri dipecat.

Di dalam suasana hangat yang dicetuskan oleh pemecatan dan penggantungan ahli-ahli PKR inilah Dr Robert Ling Kui Ee dan Azman Nasruddin mengisytiharkan keluar daripada PKR.

Jika tindakan disiplin besar-besaran tidak diambil, atau paling tidak tidak melibatkan ahli-ahli PKR tertentu di Kedah, agak sukar untuk dua ADUN PKR Kedah ini keluar daripada PKR.

Jadi salah siapa tindakan keluar daripada PKR ini berlaku kalau bukan salah pemimpin PKR sendiri?

Kerana pemimpin PKR sendirilah punca terkuburnya Kerajaan PH Pusat dan Kerajaan PH Kedah, silalah anda ketuk kepala sendiri serta tidak lagi mempersalahkan pelbagai pihak lain.

Atau apakah ini adalah perancangan sulit pemimpin PKR untuk mengenakan Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kedah atas dasar “biar sama ‘saja”?

Sumber: https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/3239498442760858

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo