Pemimpin Amanah Yang Tidak Amanah?


Tidak boleh dibayangkan bagaimana di saat semua pihak sedang sibuk berusaha untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19, Khalid Samad pula sedang sibuk berusaha untuk “mengambil alih semula kerajaan dalam beberapa bulan akan datang”.

Tetapi itulah yang dilakukan oleh beliau yang menulis secara panjang lebar dalam Malaysia Kini mengenai keperluan untuk Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar bersama-sama dengan penyokong mereka menguburkan perseteruan demi kepentingan negara.

Kata beliau, PH hanya boleh mengambil alih semula kerajaan jika Tun Dr Mahathir berada di pihak PH, dan, untuk itu, beliau memasuki minda dan menjadi jurucakap Tun Dr Mahathir bagi meletakkan Tun Dr Mahathir di posisi terbaik untuk diterima semula oleh PH.

Hairannya, Khalid Samad banyak bercakap mengenai pengkhianatan yang kononnya dilakukan oleh pelbagai pihak, daripada Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Azmin dan sebagainya, terhadap Tun Dr Mahathir dan PH, tetapi tulisan beliau sendiri menunjukkan beliau khianat.

Dalam tulisan itu, Khalid Samad melondehkan diri beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai untuk memegang amanah dengan mendedahkan apa yang berlaku dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari lalu yang sepatutnya adalah satu rahsia.

Setiausaha Politik Presiden AMANAH sendiri pernah berkata pada 22 Februari lalu: “Mohamad Sabu sentiasa menjunjung tinggi prinsip kerahsiaan mesyuarat dan tidak menyebarkan sebarang butir perbincangan berkaitan mesyuarat malam tadi kepada khalayak mahupun media”.

Apatah lagi bila Khalid Samad mendedahkan bahawa, di penghujung mesyuarat itu, salah seorang daripada pemimpin BERSATU berkata: “BERSATU perlu mempertimbangkan semula kedudukan parti dalam PH sekiranya isu berkaitan peralihan ini tidak boleh dipersetujui”.

Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq, pernah menyebut pada 22 Februari lalu: “Memang kita ada bincang hangat… (tetapi) tidak ada mana-mana pemimpin BERSATU ugut untuk keluar PH, pihak yang keluar fitnah itu perlu berani dan tolong maklumkan siapa mereka ini”.

Disebabkan Syed Saddiq juga menyebut, “Saya rasa Majlis Presiden PH perlu siasat siapa yang mengeluarkan fitnah ini kepada media”, dan identiti pengeluar fitnah ini pun telah diketahui, kita mahu lihat apa yang Syed Saddiq dan Majlis Presiden PH akan lakukan mengenainya.

Lebih teruk lagi, di dalam kesungguhan beliau untuk mendorong para pemimpin PH menerima kembali Tun Dr Mahathir, Khalid Samad sampai sanggup membocorkan sebahagian daripada mesej peribadi antara beliau dan Tan Sri Muhyiddin pada 3 Mac lalu kepada umum.

Boleh dipercayai lagikah pemimpin seperti ini?

Sumber:https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/3150843394959697

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post