COVID19: PKP dan Produktiviti – Syahir Sulaiman


Cabaran utama setelah ‘bercuti panjang’ adalah produktiviti.

Produktiviti sangat berkait rapat dengan keupayaan (capacity) dan daya motivasi untuk menggerakkan seseorang bagi melakukan sesuatu aktiviti yang boleh membuahkan sesuatu hasil yang bermanfaat.

Tanpa menafikan keperluan dan keberkesanan PKP untuk mengekang wabak COVID19, terdapat kesan sampingan yang perlu ditangani sebaik sahaja PKP berakhir, iaitu penyakit ‘kelembapan’ produktiviti.

Kelembapan produktiviti.

Antara cabaran yang sering dihadapi seorang pekerja setelah bercuti panjang, mahupun seorang pelajar ketika sesi persekolahan dibuka, adalah ‘kelembapan’ untuk bermula, ataupun sering diungkapkan dengan istilah ‘Lemau’.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan ‘Lemau’ ditakrifkan sebagai “tidak garing, lembik, masuk angin, dan tidak rancak”.

Manakala dalam penggunaan harian, istilah ‘Lemau’ turut disinonimkan dengan “rasa malas dan lemah untuk kembali memulakan kerja”.

Penyakit ini pastinya merbahaya kerana boleh hinggap kepada semua pekerja dan pelajar, seterusnya merugikan masa dan menjejaskan produktiviti negara.

Menjaga produktiviti.

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya, ‘Detik-Detik Masa Dalam Kehidupan Muslim’:

“Tugas utama yang dipikul oleh setiap orang Islam ialah menjaga masa. Masa perlu diberikan perhatian lebih daripada harta. Setiap masa perlu dipenuhi dengan pengisian amal dan kerjabuat yang berguna. Tidak sedikitpun masa boleh dilepaskan secara percuma”.

Persoalannya, bagaimana untuk mengekalkan produktiviti sepanjang tempoh PKP ini?

Pertama, menjaga masa. Tempoh #dudukdirumah yang panjang ini tidak boleh sedikit pun terbiar tanpa digunakan untuk mempelajari ilmu yang berguna, beramal ibadat, memperbaiki diri atau membantu orang lain.

Selain amalan membaca buku, pembelajaran skill baharu secara online adalah contoh kejayaan sepanjang PKP ini.

Kedua, bangun di awal pagi. Disiplin ini adalah terpenting untuk terus kekal aktif sepanjang hari. Seseorang yang bangun di awal pagi akan memperolehi keberkatan hidup. Bersenam juga adalah aktiviti yang boleh dilakukan di waktu pagi, yang selama ini terhalang kerana perlu segera ke pejabat ataupun sekolah.

Ketiga, jangan bertangguh. Sikap bertangguh adalah penyakit yang merbahaya kerana membantutkan usaha untuk melakukan kerja pada hari ini. Jadual harian perlu disusun dengan aktiviti kerja atau belajar di rumah, di samping aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pasca PKP.

Sebaik sahaja pelaksanaan PKP berakhir, usaha pemulihan yang lebih mencabar akan bermula, dalam suasana ‘normal baharu’ yang menuntut kepada perubahan gaya hidup dan cara fikir yang baharu.

Dengan unjuran KDNK negara sekitar -2.0% hingga 0.5% pada tahun 2020, lonjakan produktiviti adalah kunci utama untuk memulihkan ekonomi negara, dan ini bergantung kepada tahap produktiviti setiap individu yang ‘perlu digerakkan setelah tidak bergerak’ dalam tempoh PKP yang lama.

Penumpunan terhadap aspek produktiviti perlu diberikan kepada semua sektor, bukan sahaja sektor perkilangan dan perladangan, tetapi merentasi semua sektor termasuklah perkhidmatan, pendidikan dan penyelidikan.

Justeru, sekiranya kepatuhan adalah elemen terpenting sepanjang PKP, maka produktiviti adalah elemen terpenting kepada negara pasca-PKP.

- Syahir Sulaiman, Day#34 MCO-extended

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post