Sebuah Inovasi Politik: Ulasan kenyataan media Presiden PAS terhadap pembentukan kabinet


oleh: ALANG IBN SHUKRIMUN

ULASAN KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

"PANDANGAN PAS TERHADAP PEMBENTUKAN KABINET "


Kenyataan Presiden PAS kali ini tampak ringkas, namun sarat dengan mesej-mesej penting yang patut dihadam politikus negara.

1. MENTERI MESTI BERINTEGRITI

Punca utama kejatuhan BN dan PH yang lalu adalah kerana imej kleptokrasi dan salah guna kuasa yang terpalit kepada kedua-dua pihak. Justeru itu dalam membina keyakinan rakyat, kepimpinan kali ini mestilah menampilkan muka-muka yang bersih.

Mereka yang pernah dipalitkan dengan kes-kes penyelewengan sepatutnya direhatkan dahulu. Serahkan kepada badan kehakiman untuk menentukan tuduhan-tuduhan terhadap mereka


2. MENTERI BERKELAYAKAN DAN BERKEMAHIRAN

Walaupun mungkin komposisi kabinet ditentukan berdasarkan kuota setiap parti komponen kerajaan, namun menteri yang dilantik mestilah mereka yang mempunyai kelayakan dan terbaik dikalangan yang ada.

Tidak semestinya yang memegang jawatan tinggi dalam parti perlu memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Hierarki parti tidak boleh dijadikan ukuran prioriti posisi kerajaan. Mengurus parti dan kerajaan sangatlah berbeza.

3. KABINET MESTI MEWAKILI MASYARAKAT MAJMUK

PAS menyedari bahawa negara ini terbentuk dari kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama. Justeru kabinet perlu melibatkan mereka dari bangsa yang pelbagai, mewakili kepentingan kelompok masing-masing.

Perkara ini tidak bercanggah dengan Islam. Menurut Imam Mawardi, menteri boleh dijawat hatta oleh mereka yang bukan Islam dalam kategori wizarah tanfiziah.

Perkara ini penting bagi menjaga kestabilan dan kemakmukran negara. Islam sendiri mengiktiraf hak-hak minoriti lebih awal dari kumpulan pejuang hak asasi manusia.

Kelompok minoriti mesti diwakili dan diberi hak keadilan sebagai rakyat yang setia kepada raja dan negara. Sebagai balasan, mereka mestilah memberikan taat setia kepada raja dan negara, serta menghormati identiti dan nilai hidup majoriti rakyat negara ini. Sikap saling berkasih-sayang dan menghormati budaya, agama dan nilai masing-masing inilah resepi sebenar kpd kestabilan negara.

4. LIBATKAN KALANGAN PROFESIONAL
Sekiranya didapati terdapat mana-mana individu yang pakar dan berkebolehan tinggi dalam sesuatu portfolio, mereka boleh diangkat menjadi menteri walaupun tidak menjadi ahli dewan rakyat. Prosesnya adalah dengan melantik mereka sebagai ahli dewan negara. Ahli Dewan Negara juga berstatus ahli parlimen (MP), dan mereka sah untuk dilantik sebagai menteri.

Pemilihan golongan ini perlu merentasi sempadan ideologi politik. Asalkan mereka berjiwa patriotik dan negarawan selain berkepakaran, mereka perlu diangkat. Inilah gagasan Kerajaan Teknokrat yang selama ini PAS bawa.

5.WUJUDKAN HISBAH

Hisbah merupakan badan yang menjalankan tugas semak dan imbang (check and balance) terhadap pemerintah. Mereka berkuasa untuk menyiasat, mengaudit, mendakwa dan mengheret mana-mana pemerintah yang didapati melakukan salahlaku ke muka pengadilan. Mereka mestilah bebas dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan (interest) sebagaimana sebagaimana falsafah pemisahan kuasa.

Selain dari memastikan salahlaku di kalangan pemerintah negara tidak lagi berulang, ia juga sebagai satu usaha memantapkan keyakinan pihak luar terhadap integriti negara ini, sekaligus boleh memberi kesan kepada pelabur, pelancong dan akreditasi.

6. PAS TIDAK MEMINTA

Dijelaskan oleh Presiden PAS bahawa parti ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dalam pembentukan Jemaah Menteri tanpa sebarang syarat dan permintaan. Walaupun PAS antara pemain penting dalam menyelamatkan negara ketika krisis politik yang dicetuskan oleh kepimpinan PH minggu lepas, namun penglibatan PAS bukan kerana gila kuasa. Ia semata-mata kerana negara yang tercinta.

PAS tidak kemaruk kuasa. Namun sekiranya ada pihak yang cuba melobi mana-mana posisi dalam Kabinet atas nama PAS, ketahuilah bahawa ia bukan dari keputusan jemaah ini. Mereka mungkin membawa kepentingan yang lain.

7. PAS SEDIA MEMBANTU

Walau bagaimanapun, PAS sentiasa bersedia menghulurkan segala bantuan kepada kepimpinan negara. PAS juga bersedia sekiranya dilantik menganggotai Kabinet. Jemaah ini mempunyai ahli berkepakaran dalam berbagai bidang. Walaupun PAS lebih dikenali sebagai parti Islam, hakikatnya majoriti ahli yang mempunyai latar belakang lain lebih ramai daripada agamawan sendiri.
8. WINS2051

Kenyataan Presiden PAS mahu memfokuskan usaha meningkatkan tahap ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat. Sebelum daripada berlaku konflik politik ini, PAS sudah menawarkan beberapa produk bagi menyelesaikan solusi negara seperti Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2052), Dokumen Hijau dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030). Ianya adalah pelan komprehensif pentadbiran negara yang lebih tersusun bagi mencapai matlamat bukan sahaja negara maju, bahkan negara pemimpin dunia Islam menjelang 2051.


9. JIWA NEGARAWAN

Kenyataan Presiden PAS mengajar semua politikus untuk berjiwa negarawan iaitu meletakkan kepentingan negara melebihi segala kepentingan duniawi lain. Posisi dalam kerajaan bukanlah ‘harta rampasan perang’ (ghanimah) dalam perang politik, sebaliknya ia adalah wasilah bagi menegakkan dasar perjuangan yang dipercayai mampu meletakkan negara ke tahap keberkatan, kemajuan dan kesejahteraan yang tinggi.

Ini merupakan jalan keluar daripada kemelut politik tanah air yang berpunca dari perebutan jawatan Perdana Menteri. Janji peribadi sesama kerajaan terdahulu memfaraidkan jawatan negara menjadi suatu yang rakyat dipaksa terima. Maka tanpa memfokuskan kepada jawatan, inilah kematangan politik yang ketandusan di Malaysia.

10. INOVASI POLITIK

Perkara ini belum pernah berlaku dalam mana-mana pentas politik tanah air mahupun Antarabangsa. Sebuah parti yang menjadi komponen pemerintah tidak berebut kuasa dan posisi dalam kerajaan. Bidaah baharu tercipta apabila PAS tidak meletakkan kuasa sebagai matlamat perjuangan. Kerana matlamat PAS lebih jauh daripada itu, iaitu untuk mencapai redha Allah dan sejahtera di akhirat kelak bersama semua rakyat Malaysia.

Inilah bukti PAS tidak beretorik dalam melaung gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Namun perjalanan politik ini masih jauh. Semoga PAS terus istiqamah memimpin perubahan landskap politik dan pentadbiran negara ke arah yang lebih matang dan maju.

Sumber: https://www.facebook.com/alangshukrimun/posts/2837660999648619

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget