#DaulatTuanku: Agong tonggak kestabilan politik

oleh:Profesor Datuk Dr Ismail Sualman

KEMELOT politik negara nampaknya semakin meruncing. Perkara yang tidak diduga telah pun berlaku. Bukan lah menyalahkan mana-mana pihak, namun jalan penyelesaian perlu diutamakan.

Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri memberi impak yang 'luar biasa'. Mungkin akibat desakan peralihan kuasa, tindakan meletak jawatan dan keluarnya parti Bersatu dalam rakan Pakatan Harapan menyaksikan perubahan di peringkat pusat dan juga pentadbiran negeri.

Ramai yang terkejut dan 'tertakasima', peletakan jawatan Perdana Menteri telah merencat pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan sejak Mei 2018.

Hakikatnya, rakyat semakin resah. Walaupun dilihat tenang, namun rata-rata kini, di mana jua berbicara mengenai Perdana Menteri (PM) Interim dan politik negara.

Kita seharusnya bersyukur dan berterima kasih dengan 'penerimaan' keadaan politik sekarang. Kelihatan agak janggal tetapi masih lagi berpaksikan proses demokrasi. Semua tidak menyangka bahawa apabila Perdana Menteri meletak jawatan, maka ahli jemaah menteri dan kabinet dibubarkan secara automatis.

Sebenarnya penamatan fungsi ini adalah berdasarkan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan. Dari sudut Perlembagaan, peletakan jawatan seorang Perdana Menteri menyebabkan seluruh Kabinet tidak lagi berfungsi dan dibatalkan.

Istilah PM Interim pada asasnya tidak wujud dalam Perlembagaan. Namun definisi fungsi dan skop kuasa PM Interim perlulah merujuk kepada beberapa peruntukan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang melantik PM Interim, kuasa Perdana Menteri dan kaedah penubuhan kerajaan serta keseluruhan semangat Perlembagaan itu sendiri.

Pelantikan PM Interim ini berlaku selepas baginda Agong berkenan menerima peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Maka tugas-tugas anggota pentadbiran, merangkumi Timbalan Perdana Menteri, para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik adalah terhenti pada tarikh peletakan jawatan Perdana Menteri.

Walau pun tiada kabinet, pentadbiran biasa, penjawat awam dan kerajaan tetap berjalan tanpa terhenti.

Situasinya hampir sama dengan situasi pembubaran Parlimen. Konsep Raja Berperlembagaan yang berjalan seiring dengan konsep Demokrasi Berparlimen menjadikan sistem pentadbiran negara mampu terus stabil dan ampuh walau pun terdapat kekosongan dalam konteks perjawatan politik.

Kuasa Agong

Senario politik sekarang membuka mata ramai pihak mengenai peranan dan fungsi sebenar Seri Paduka Baginda Agong yang berkuasa menangguh atau membubarkan Parlimen seperti termaktub di bawah Perkara 55 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, Perkara 55 Fasal (2) itu perlu dibacakan secara bersama-sama Perkara 40 dan 43 dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kuasa tersebut mesti datang daripada Perdana Menteri.

Jika tidak ada dan tidak tahu siapa majoriti dalam pembentukan kerajaan maka, ada kemungkinan Agong boleh menggunakan kuasa di bawah Perkara 55 untuk bertindak membubarkan Parlimen.

Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong terserlah apabila pada Selasa dan Rabu lalu, semua ahli Parlimen dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Perjumpaan bagi menamakan seorang calon untuk jawatan Perdana Menteri dalam sesi temu bual secara peribadi. Ini disusuli dengan mesyuarat Raja-Raja Melayu pada Jumaat.

Selain itu, sekiranya PM Interim gagal membentuk majoriti gabungan untuk membentuk kerajaan, Perkara 55 untuk membubarkan Parlimen boleh terpakai bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15.

Selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan ahli Parlimen, yang Agong berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan rakyat. Namun ia masih memerlukan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Dalam situasi ketiadaan anggota Kabinet, Seri Paduka masih dapat melaksanakan peranan asasi baginda sebagai Ketua Utama Negara.

Jelasnya sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembentukan kerajaan terutamanya memastikan Perdana Menteri yang dipilih mendapat sokongan majoriti 222 ahli Dewan Rakyat.

Agong juga dilihat sebagai 'penyelamat' dan 'pemantau' dalam gelora percaturan politik yang menyaksikan wujudnya blok dan collation parti-parti politik.

Senario yang berlaku juga melambangkan kematangan pemimpin dan ahli-ahli politik. Atas nama semangat demokrasi, seharusnya mana-mana blok parti politik perlu berlapang dada dan menerima apa juga keputusan yang dirangka.

Kemelut ini juga perlu menjadi iktibar kepada parti-parti politik dan rakyat amnya agar mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Kita tidak mahu kemelut berpanjangan ini akan membebankan rakyat dan membantutkan segala perancangan projek pembangunan yang telah dirangka.

***Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post