Covid-19: Pekerja, majikan digesa patuhi Akta Kerja 1955


KEMENTERIAN Sumber Manusia menggesa pekerja dan majikan mengguna pakai Seksyen 60F dan Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955 susulan penularan koronavirus baharu (Covid-19) di negara ini.

Kenyataan kementerian itu menyebut bahawa Seksyen 60F antara lain memperuntukkan mengenai pemeriksaan kesihatan iaitu mengarahkan pekerja untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada pegawai perubatan atas pembiayaan majikan.


“Tempoh kelayakan cuti sakit bergaji (tanpa hospitalisasi) juga diperuntuk selain majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan Covid-19.

“Bagi pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, majikan digalakkan untuk memberi kemudahan bayaran tambahan kepada pekerja bagi tujuan menjaga keharmonian hubungan pekerja dan majikan,” menurut kenyataan itu.

Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955 pula menyatakan bahawa bagi pekerja yang diberi Perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman, sepanjang tempoh kuarantin itu beliau tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan.

Kenyataan itu menyebut bahawa menerusi seksyen sama, majikan boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak pemberhentian pekerja seperti yang disyorkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan.

“Antaranya ialah mengehadkan kerja lebih masa, mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu, mengurangkan waktu bekerja harian, melaksanakan pemberhentian kerja sementara, misalnya dalam bentuk penutupan sementara dengan menawarkan gaji berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula.

“Majikan juga boleh mengurangkan gaji pekerja yang dibuat secara adil di semua peringkat sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain dilaksanakan,” katanya.

Jika berlaku keadaan yang menyebabkan kemerosotan dalam perniagaan sehingga menyebabkan majikan terpaksa mengambil tindakan untuk mengurangkan tenaga kerja atau pemberhentian pekerja, majikan perlu merujuk Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja yang boleh didapati di laman sesawang JTKSM iaitu http://jtksm.mohr.gov.my.

Majikan dikehendaki menggunakan Borang Pemberhentian bagi tujuan melaporkan pemberhentian kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) terdekat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mengambil tindakan Pemberhentian Pekerja, Pemberhentian Pekerja Secara Sukarela; Pemberhentian Kerja Sementara atau Pengurangan Gaji.

Mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan seperti di atas, sekiranya disabitkan kesalahan boleh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap kesalahan.

JTKSM juga menubuhkan Bilik Gerakan Pemantauan Pemberhentian Pekerja Ekoran Wabak Covid-19 di peringkat jabatan untuk merekod maklumat pemberhentian yang berlaku dan memantau situasi perburuhan yang terjejas akibat penularan penyakit itu.

Kementerian itu turut menyeru semua majikan agar membuat saringan terhadap keberadaan pekerja masing-masing dan membantu dalam mengenal pasti sama ada pekerja mereka menghadiri mana-mana perhimpunan ijtimak tabligh dan keagamaan di Pulau Pinang.

“Sekiranya ada, kerjasama pihak majikan dipohon agar mengarahkan pekerja berkenaan untuk mengisytiharkan diri dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut,” katanya.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget