PAS Kedah enggan gopoh


ALOR SETAR: PAS Kedah tidak mahu bertindak gopoh dan gelojoh berhubung perkembangan semasa kerajaan Pusat susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya, berkata sebaliknya parti itu mengikuti dengan dekat berhubung perkembangan situasi terkini senario politik negara.

“Kita tidak gopoh dan gelojoh walaupun selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri, ditambah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kita bekerja seperti biasa, kukuhkan tekad dan niat dalam usaha mengembalikan negara kepada teras Islam tanpa mengenepikan bangsa lain.

“Walau bagaimanapun, kita tetap dengan pendirian dan prinsip parti bahawa kita tidak akan menerima DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini,” katanya selepas solat hajat untuk kesejahteraan negara yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, di sini malam tadi.

Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengulas lanjut, beliau berkata aktiviti parti berjalan seperti biasa malah maklumat semasa akan disampaikan menerusi sesi ceramah.

“Kita tak pernah duduk diam, kita terus bekerja bagi memastikan dapat mendukung kepercayaan dan keyakinan rakyat yang memberikan 15 kerusi kepada PAS Kedah.

“Ada benda (perkara) yang boleh dirancang, diatur, disusun namun ada kuasa yang menentukannya iaitu Allah SWT.

“Kita doa dan minta yang terbaik untuk agama Islam, rakyat dan tanah air,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/658846/pas-kedah-enggan-gopoh

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post