Kemelut Politik Malaysia: Satu Cadangan Penyelesaian Yang Adil Dan Saksama


oleh: Dr Kamarul

Jika saya berada pada kedudukan Yang Di-Pertuan Agong, apa yang akan saya lakukan bagi menampakkan keputusan pelantikan kerajaan baru dibuat secara adil dan saksama adalah:

(1) Tidak membenarkan sebarang kerajaan minoriti dibentuk sehingga ruang yang mencukupi telah diberikan kepada semua pihak untuk cuba menubuhkan kerajaan majoriti tetapi ia masih menemui kegagalan. Ini adalah bertepatan dengan peruntukan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.” Kata kuncinya di sini ialah “kepercayaan majoriti” yang membawa maksud lebih separuh, di dalam keadaan bilangan ahli Dewan Rakyat adalah 222 maka maksud “kepercayaan majoriti” adalah 112.

(2) Di dalam keadaan pakatan politik hanya mampu memperolehi sokongan terbanyak daripada, contohnya, 92 ahli Dewan Rakyat sahaja maka peluang sama rata perlu diberikan kepada semua pihak untuk cuba mendapatkan “kepercayaan majoriti” tersebut, apatah lagi jika sebelumnya telah ada pakatan politik yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk sebuah kerajaan baru ditubuhkan dengan syarat yang tertentu, contohnya, tanpa penyertaan mana-mana parti politik tertentu, contohnya, DAP.

(3) Selaras dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kepada Pakatan Harapan, maka, untuk berlaku adil dan saksama, peluang untuk cuba mendapatkan “kepercayaan majoriti” tersebut perlulah terlebih dahulu diberikan kepada Pakatan Harapan dan hanya jika Pakatan Harapan gagal mendapatkan “kepercayaan majoriti” tersebut barulah peluang itu diberikan kepada pihak yang mempunyai bilangan ahli Dewan Rakyat kedua terbanyak, contohnya, Muafakat Nasional.

(4) Hanya setelah ruang yang mencukupi telah diberikan kepada semua pihak untuk cuba menubuhkan kerajaan majoriti menemui kegagalan barulah boleh difikirkan kemungkinan untuk membentuk kerajaan minoriti atau untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan di dalam satu pilihan raya umum yang baru.

Saya yakin dan percaya Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi ruang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8 jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mendapatkan “kepercayaan majoriti” ahli Dewan Rakyat.

Sekianlah adanya cadangan saya untuk dipertimbangkan.

Sumber: https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/3048267605217277

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post