Air mata buka tirai Perhimpunan Agung UMNO 2019



KUALA LUMPUR : Suasana pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2019 berlangsung pada pagi menjadi sayu apabila Pengerusi Tetap Tan Sri Badruddin Amiruldin menceritakan kisah pemimpin terdahulu yang berjuang demi kemerdekaan tanah air.

Dalam keadaan sebak, Badruddin berkata, beliau yang ketika itu masih kecil turut menyaksikan sendiri bagaimana Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mencari sumber kewangan untuk menuntut kemerdekaan di London.

"Marilah kita sedekah Al'-Fatihah kepada pejuang UMNO yang kembali ke rahmatullah. Sedar atau tidak, tanggal 6 Disember 1990 kembalinya ke rahmatullah Almarhum Tunku Abdul Rahman," katanya semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Jumaat.

Malah, lebih menyedihkannya beliau sendiri menyaksikan bagaimana orang kampung yang ketika itu hidup susah turut menderma walaupun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Beliau adalah Bapa Malaysia dan saya masih terdengar masa kecil apabila Almarhum pergi ke Yan mencari duit untuk menuntut kemerdekaan. Beliau kata kepada orang kampung nak pergi ke London tetapi kita tiada duit.

"Tunku mengalirkan air mata dan berpesan beliau tahu orang Yan susah. Tidak apalah, ada berapa pun, bagilah, sebab Pak Ku nak pergi London untuk menuntut kemerdekaan.

"Kutipan malam itu saya kira, saya pun beri duit nak pergi sekolah dalam lima kupang (50 sen). Malam itu dapatlah kumpul dalam lebih RM200," ujarnya.

Justeru, beliau mahu pengorbanan pemimpin terdahulu dicontohi anak muda sekarang.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-politik/air-mata-buka-tirai-perhimpunan-agung-umno-2019-224647

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post