Mesir bergolak lagi


oleh: ABDUL MUEIN ABADI

DIKTATOR yang naik ke tampuk kuasa Mesir dengan jalan hina, Abdel Fattah al-Sisi kini pasti tidak lena tidur. Kedinginan kota raya New York – lokasi Perhimpunan Agung PBB – belum pasti meredakan hangat gelora kemungkinan kehilangan takhta haram al-Sisi.

Begitu juga jaminan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa Mesir kini dipimpin great leader (pemimpin yang hebat) tidak akan mampu menenangkan hati al-Sisi yang digelar ‘Firaun’.

Buat pertama kali sejak 2013 – tahun di mana al-Sisi naik ke tampuk kuasa secara haram dengan menjatuhkan kerajaan sah pimpinan Ikhwan Muslimin yang dipilih majoriti rakyat Mesir, rakyat telah kembali turun ke jalan raya secara beramai-ramai sejak Jumaat lalu. Semua ini tercetus gara-gara seorang lelaki yang kini melarikan diri ke Sepanyol – Muhammad Ali.

Muhammad Ali ialah seorang kontraktor yang telah bekerja bersama tentera Mesir selama lebih 10 tahun. Awal bulan ini, beliau telah membuat pendedahan yang menggemparkan seluruh rakyat Mesir: jutaan warga Mesir didedahkan bahawa al-Sisi telah menyalahgunakan harta rakyat dan wang negara untuk membina empat vila mewah serta istana untuk kepentingan peribadinya dan keluarganya sedangkan dalam masa yang sama kadar kemiskinan tegar Mesir meningkat dengan mendadak ke kadar 33 peratus dengan 60 peratus rakyat hidup dalam kesukaran.

Hakikatnya, pendedahan Muhammad Ali itu hadir selepas lebih lima tahun rejim haram al-Sisi menjahanamkan ekonomi, kepentingan nasional dan kebebasan politik demokratik Mesir. Rejim itu mengakibatkan inflasi teruk dengan dasar austerity yang menamatkan pelbagai subsidi kebajikan untuk rakyat – hingga satu pertiga rakyat Mesir hari ini hidup di bawah AS$1.50 (kurang daripada RM6) sehari. Projek membazir al-Sisi seperti taman tema dan menara tinggi di ibu kota yang baharu, peluasan Terusan Suez, krisis air yang tidak berkesudahan, infrastruktur yang gagal dibangunkan telah sekian lama membarakan kebencian rakyat kepada rejim ini.

Paling menjatuhkan maruah Mesir tentulah tindakan al-Sisi yang bukan sahaja tunduk kepada dasar Zionis Israel di Palestin, tetapi juga menyerahkan dua pulau Mesir di Laut Merah kepada Arab Saudi (tidak menghairankan kerana memang Saudi di belakang menyokong al-Sisi menjatuhkan Ikhwan Muslimin yang diterajui Almarhum Dr Morsi).

Tidak sukar untuk membayangkan betapa bimbangnya al-Sisi saat ini. Benar, al-Sisi tidak sepatutnya tidur lena sejak pembunuhan besar-besaran penyokong Islamis Ikhwan Muslimin Mesir dalam tragedi Raba’a dahulu lagi. Tidak cukup dengan penyeksaan ke atas Almarhum Dr Morsi di Penjara ‘Scorpion’ yang mengakibatkan kematian beberapa bulan lalu, lebih 60,000 ahli dan pimpinan Ikhwan Muslimin ditahan di penjara Mesir di bawah rejim al-Sisi. Sebab inilah al-Sisi mengharamkan sebarang tinjauan pendapat secara saintifik di Mesir kerana bimbang fakta bahawa imej buruknya terdedah secara besar-besaran.

Sebab ini jugalah sebarang perhimpunan yang melebihi 10 orang tanpa kebenaran rejim al-Sisi telah diharamkan sejak 2013. Inilah sebabnya al-Sisi meminda Perlembagaan Mesir untuk menjadi Presiden hingga 2030.Realiti yang paling menggerunkan al-Sisi ialah hakikat betapa Muhammad Ali bukan sekadar membuat pendedahan dengan pelbagai maklumat dalaman, tetapi juga menyeru Menteri Pertahanan Mesir, Mohamed Zaki untuk menangkap al-Sisi dan seterusnya supaya tentera berdiri bersama-sama rakyat Mesir. Kata kunci di sini ialah tentera. Hakikatnya, al-Sisi tidaklah terlalu berpengaruh dalam kalangan tentera. Dia naik ke tampuk kuasa hasil lantikan sebagai Menteri Pertahanan oleh Almarhum Dr Morsi dahulu.

Inilah sebabnya beberapa orang bekas pemimpin tertinggi tentera Mesir pernah cuba untuk mencabar al-Sisi dalam pilihan raya tahun lalu. Antaranya ialah Kolonel Ahmed Konsowa, Sami Anan (bekas Panglima Angkatan Tentera Mesir) dan juga Ahmed Shafik (bekas Komander Tentera Mesir yang berpengaruh) yang pernah dikalahkan oleh Dr Morsi dalam pilihan raya 2012.

Al-Sisi tidak dapat lagi menyembunyikan kebimbangannya tentang prospek kerjasama tentera dengan rakyat dan Islamis Mesir. Dia menuduh Islamis sebagai dalang di sebalik demonstrasi yang sedang berlaku. Semoga ada sinar untuk cahaya Islam kembali menyinari koridor kekuasaan di Mesir bumi para Anbia.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget