Menyanggah Kekarutan Suhakam: Islam Malaysia Memang Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah!



oleh: Dr Kamarul

Semalam, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus, Pesuruhjaya SUHAKAM, menyatakan adalah salah bagi pihak berkuasa agama untuk menahan pengikut Syiah kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengatakan Islam adalah agama persekutuan, bukan ‘Islam Sunni’, oleh itu, kata beliau, Islam tidak seharusnya terhad kepada ‘Islam Sunni’ tanpa keterangan tafsiran mahkamah.

Begitupun, seperti dihujahkan oleh beberapa orang rakan, kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan ini nampak sangat karutnya kerana penahanan penganut Syiah ini dibuat oleh pihak berkuasa negeri mengikut enakmen negeri yang memang berada dalam bidang kuasa negeri.

Ini kerana Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan mengatakan “...Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri...” dan teratas dalam Senarai Negeri ini adalah Islam, termasuk “penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu”.

Kekarutan kenyataan Datuk Seri Mohd Hishamudin ini juga dapat dilihat jelas bila kita melihat kepada definisi 'Islam' seperti yang tercatit dalam undang-undang tubuh kerajaan-kerajaan negeri dan dalam fatwa-fatwa yang telah diberikan.

Pertama sekali, dalam undang-undang tubuh beberapa kerajaan negeri jelas disebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan 'Islam' adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perkara ini dapat dilihat dalam Perkara 5 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis yang menyebut: “Agama bagi negeri ialah agama Islam Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti telah diamalkan di dalam negeri”.

Begitu juga dengan Perkara 33A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah yang menyebut “Agama Negeri ini ialah agama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang dipegang dan diamalkan di dalam Negeri ini sehingga sekarang ini”.

Negeri-negeri yang tidak memperuntukkan secara spesifik Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai Agama Negeri pula lazimnya mempunyai peruntukan yang membawa maksud sama dalam erti kata bahawa Agama Negeri ialah agama yang dianuti dan diamalkan sebelum ini yang membawa maksud ia adalah Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Peruntukan begini boleh dilihat dalam Perkara 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang yang menyebut “Agama Negeri hendaklah agama Islam sebagaimana yang selama ini dianuti dan diamalkan dalam negeri ini”.

Ia juga boleh dilihat dalam Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor yang menyebut “Agama Islam sebagaimana yang dianuti dan diamalkan dalam negeri ini hingga kini hendaklah menjadi agama negeri”.

Malah, lebih jelas lagi, negeri-negeri ini juga lazimnya mengeluarkan fatwa yang menegaskan ‘Islam Ahlus Sunnah Wal Jamaah’ adalah Agama Negeri.

Fatwa ini termasuklah Fatwa Melaka bertarikh 16 Julai 1997 yang berbunyi “Umat Islam di Negeri Melaka hendaklah mengikut Undang-Undang Islam dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak”.

Begitu juga dengan Fatwa Terengganu bertarikh 2 September 1997 yang berbunyi “Umat Islam di negeri Terengganu hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak”.

Fatwa-fatwa ini adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 24 dan 25 September 1984 bahawa “Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak”.

Ia juga adalah selari dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 5 Mei 1996 bahawa “Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak”.

Terbaru, hakikat ini diakui sendiri oleh Menteri Agama sekarang, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, yang menyebut dalam jawapan beliau di Parlimen pada 25 Mac 2019:

“Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri telah memperuntukkan bahawa mazhab yang diamalkan dalam aspek syariah dan akidah adalah berlandaskan kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah (manakala) Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-133 pada 3 Disember 1984 telah memutuskan bahawa mazhab yang diamalkan di negara ini adalah Mazhab Shafie dan Ahli Sunnah Wal-Jamaah”.

Oleh itu, berdasarkan kepada fakta-fakta ini maka jelaslah jika pertikaian mengenai definisi 'Islam' dibawa untuk diputuskan di mahkamah sekalipun mahkamah akan terpaksa memutuskan bahawa ia adalah 'Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah'.

Begitupun, disebabkan golongan liberal selalunya sukar untuk mengiktiraf kedudukan fatwa, maka adalah elok sekiranya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang masih belum memperuntukkan secara spesifik mengenai 'Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah' ini dipinda bagi memasukkan peruntukan ini.

Ini adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 24 dan 25 September 1984 yang "menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri-Negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak".

Usaha meminda Perlembagaan Persekutuan ini malah telah pernah dikemukakan oleh Presiden BERSATU sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang waktu itu adalah Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, dalam ucapan beliau di Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 3 Disember 2013 dengan menyebut:

"Bagi memastikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah sentiasa terpelihara, saya mencadangkan agar satu jaminan terhadap aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah sebagai pegangan umat Islam di negara kita dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan".

Gesaan Tan Sri Muhyiddin ini disambut hebat oleh para perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta turut dibincang dan diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun itu sekaligus menyebabkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri waktu itu mengumumkan pada 6 Disember 2013 bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membawa usul untuk memasukkan perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai memperincikan takrifan Islam sebagai agama Persekutuan.

Bagaimanapun, entah di mana silapnya, hingga kini cadangan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan 'Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah' sebagai agama Persekutuan ini masih belum menjadi kenyataan sekali gus menyebabkan polemik mengenainya tidak berkesudahan.

Justeru itu, eloklah jika umat Islam dapat berpadu tenaga dalam konteks perpaduan ummah dan demi kepentingan agama serta keharmonian negara mengusahakan kembali supaya Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri dipinda bagi lebih menjelaskan lagi definisi 'Islam' sebagai agama Persekutuan dan agama Negeri-Negeri.

Kepada golongan yang berhasrat menentangnya, disebabkan mereka dilihat rapat dan hormat kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, eloklah mereka hadami tulisan beliau pada 4 Disember 2018 ini:

"Menganuti pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah bukanlah suatu pilihan sebaliknya ia suatu kewajipan sebagaimana yang dianjurkan dalam nas-nas syarak. Ini kerana, ia adalah satu-satunya manhaj yang diyakini mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. Sekalipun para ulama tidak mengatakan ajaran bukan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai kafir atau terkeluar daripada Islam secara mutlak, namun ia tidak bermakna syarak membenarkan ajaran tersebut harus untuk dianuti. Pada hakikatnya ia sama dengan perkara-perkara maksiat seperti berzina, minum arak, berjudi dan seumpamanya yang tetap dihukumkan haram walaupun semata-mata melakukannya tidak menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam."
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget