NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun Mahathir tidak akan rombak kabinet?


Oleh: Kadir Dikoh

TUN Dr Mahathir Mohamad sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri - termasuk pada tempoh pertama - amat jarang merombak Kabinet secara besar-besaran. Beliau kerap dilihat amat keberatan untuk menggugurkan rakan Kabinet kecuali bila terpaksa.

Ini lazimnya berlaku apabila ada kekosongan seperti peletakan jawatan sama ada kerana kalah pemilihan jawatan tertinggi dalam UMNO seperti Tun Musa Hitam (1986), Tun Ghafar Baba (1993) atau kerana ada kes tertentu seperti pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (1998).

Kini, selepas lebih setahun menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua, pemimpin berusia 94 tahun ini sudah tidak ada masa lagi untuk terus ‘berlembut’ dengan anggota Kabinet, terutama yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dan lebih malang jika seseorang itu dilihat menjadi ‘liabiliti’ pula kepada kerajaan.

Kesannya ialah apabila berdepan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, yang mungkin diadakan setahun lebih awal pada 2022.

Menurut satu sumber, pernah dalam mesyuarat, Dr Mahathir menegur beberapa menteri kerana mengeluarkan kenyataan dasar yang kontroversi hingga menjadi viral di media sosial, dijadikan bahan mempersendakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir pernah mengakui kebanyakan menterinya adalah orang baharu dan kurang berpengalaman ketika mereka mula dilantik ke jawatan masing-masing. Beliau pernah memberikan mereka lima markah daripada 10.

Pencapaian hanya 50 peratus? Oleh itu, apabila Dr Mahathir menyusun semula barisan Kabinetnya nanti, diharap ia dibuat secara menyeluruh, dengan menempatkan mereka pada tempat sesuai. Kita faham ketika Kabinet pertama yang dilantik pada Mei tahun lalu, Dr Mahathir bukan sahaja berdepan kekurangan orang yang sesuai, tetapi beliau juga tidak ‘kenal’ sangat bakal menteri yang hendak dilantik.

Sebab itu barisan penuh Kabinet hanya diumumkan hampir dua minggu selepas PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan baharu. Dr Mahathir kadangkala mengambil masa dan berhati-hati sebelum membuat sesuatu keputusan.

Kadangkala beliau membuat sesuatu keputusan bila berada dalam pesawat, mungkin kerana tiada gangguan dan boleh memberi tumpuan penuh. “Ketika menaiki pesawat, Tun banyak menulis dan membaca, kemudian tidur seketika. Apabila bangun, Tun kembali bekerja ketika orang lain berdengkur,” kata satu sumber.

Selepas lebih setahun, beliau sudah tentu boleh menilai menteri mana yang patut jaga kementerian mana. Dr Mahathir perlu ubah stail lamanya, dan jika perlu gugur, gugurkan menteri yang tidak perform. Jika tidak, sampai bila beliau mahu melihat sendiri prestasi terbaik Kabinetnya pada usia menghampiri seabad?

“Saya sedar saya sangat tua dan tidak lama lagi akan kehilangan kudrat serta mati. Orang lain mungkin mengambil perkara dengan mudah, tetapi perlu cepat kerana sedar saya sudah tidak ada banyak masa lagi untuk melakukan apa yang sepatutnya dibuat untuk negara ini,” katanya dalam wawancara bersama Focus Malaysia, Mac lalu.

Menurut Dr Mahathir, jawatan Perdana Menteri yang disandang sekarang hanya sementara dan bersedia melepaskan jawatan itu apabila tiba masanya. Namun, gaya kerjanya tetap gigih, seperti seseorang yang tidak mengenali penat.

Sehubungan itu, anggota Kabinetnya sekarang harus turut bersama-sama gigih menjalankan tanggungjawab masing-masing. Jangan sikap ‘lembut’ Dr Mahathir diambil kesempatan untuk ‘berbulan madu’ sebagai menteri baharu sehingga menghampiri PRU-15.

Banyak cabaran yang dihadapi oleh negara sekarang, tetapi tidak banyak pula idea baharu yang dicetus oleh menteri. Semuanya seolah-olah seperti business as usual (BAU) meneruskan program dan strategi kerajaan sebelum ini.

Walaupun perlu diakui tahap integriti sudah mula kelihatan meningkat, rakyat mahu melihat kerajaan yang lebih dinamik dan bertindak balas pantas dalam menangani isu yang dihadapi mereka. Kita yakin jika menteri lebih banyak mendengar kata nasihat dan cadangan pegawai kerajaan serta ramai tokoh korporat yang sudah dibawa masuk untuk menerajui dan menganggotai lembaga pengarah agensi kerajaan sekarang, suasana BAU tidak akan dirasai lagi.

Kita mahu melihat negara bergerak maju seperti disaksikan China yang tidak segan silu mencabar kaedah lama dengan membawa pembaharuan di setiap segi kehidupan masyarakat negara itu. Namun, apa yang kita lihat, menteri lebih gemar mendengar dan melaksana idea mereka sendiri.

Harus diingat mereka bukannya pakar, tetapi hanya diberi kuasa oleh rakyat untuk memastikan segala yang dilaksana menepati kehendak dan kepentingan rakyat. Berikutan itu, rajin-rajinlah mendengar pandangan dan nasihat mereka yang pakar ini.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu (Rencana/Mingguan) Berita Harian.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo