Isu Pengkalan Maras: Kerajaan Pusat Digesa Luluskan Projek Darurat


oleh: YB SHAHARIZUKIRNAIN 

1. Dalam Sidang Bajet Parlimen November lalu ketika mencelah ucapan pengulungan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), saya telah menyuarakan isu hakisan pantai Pengkalan Maras dan telah pun mendapat jawapan daripada Menteri untuk meneruskan projek pembinaan ‘nearshore breakwater’ yang menelan belanja RM90 juta sebagai langkah menangani masalah hakisan di kawasan tersebut.

2. Namun begitu, projek pembinaan ‘breakwater’ ini masih dalam proses reka bentuk dan dijangkakan bermula pada awal tahun 2021 dan akan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan.

3. Oleh itu, Kementerian digesa agar segera meluluskan projek darurat secepat mungkin sebagai persediaan awal untuk berhadapan dengan peralihan monsun yang dijangka pada akhir bulan September.

4. Walaupun pihak Kementerian telah meluluskan projek tambakan pasir yang bernilai hampir RM10 juta, tetapi kawasan tersebut tidak melibatkan kawasan yang terhakis teruk sebagaimana yang disiarkan dalam buletin TV3 baru-baru ini.

5. Mengikut Laporan daripada JPS, kerugian yang telah dialami sehingga Januari lalu adalah dianggarkan sebanyak RM3.75 juta dan telah meningkat kepada RM7.51 juta pada bulan Ogos. Apa yang lebih membimbangkan, kerugian ini dijangka akan terus meningkat kepada RM23.75 juta sekiranya masalah ini tidak diatasi segera kerana dijangkakan sepanjang Ogos hingga Disember ini hakisan ini akan merosakkan tanah perkuburan Islam, chalet, premis-premis perniagaan, jalan berturap dan kawasan pendaratan ikan.

6. Oleh itu, rakyat setempat amat memerlukan projek darurat yang memerlukan tambakan pasir sekurangnya sepanjang 500m dengan 40m lebar. Ia bermula dari hujung lapis lindung batu (rock revetment) sedia ada sehingga sekurangnya 500m ke utara iaitu meliputi kawasan hakisan kritikal bagi mengelak hakisan semakin teruk. Selain itu, langkah ini juga bagi menyelesaikan masalah perebakan hakisan terus berlaku ke bahagian lain.

7. Justeru, selepas beberapa kali lawatan saya ke kawasan kejadian, dikenal pasti kawasan tersebut amat memerlukan peruntukan dan pembinaan tambakan jangka pendek sementara menunggu projek untuk penyelesaian menyeluruh jangka panjang yang dianggarkan bernilai RM90 juta dilaksanakan. Oleh itu, cadangan saya bagi meluluskan projek darurat adalah salah satu langkah jangka pendek bagi mendepani masalah ini.

8. Saya berharap agar KATS dapat meluluskan projek darurat secepat mungkin agar nyawa rakyat tidak dipertaruhkan serta kemusnahan akibat bencana mampu dielakkan. Saya juga menyokong permohonan Kerajaan Negeri Terengganu supaya Kerajaan segera meluluskan peruntukan darurat sebanyak RM5 juta serta menyeru agar semua pihak bekerjasama menjaga ekosistem alam yang diberikan oleh Allah dalam apa jua projek pembangunan yang ingin dibina sepertimana firman Allah di dalam surah ar-Rum ayat 41 :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ{41}

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.



“Islam Memimpin Perpaduan"

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR ialah Ahli Parlimen Setiu

https://www.harakahdaily.net/index.php/berita/12757-pgkln-maras-k-jaan-digesa-luluskan-projek
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget