Usul Akta Profesion Guaman Syarie ketepikan peranan Agong?


oleh: Dr Shamrahayu A. Aziz

Sesungguhnya Akta Profesion Guaman Syarie adalah Akta yang ditunggu-tunggu. Saya tidak boleh tidak bersetuju dengan gubalan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang dijadualkan untuk dibahaskan oleh Parlimen pada sidang hari ini.

RUU ini telah lama dirancang. Ia juga telah dibincangkan oleh pelbagai pihak dan telah mengambil kira pelbagai perspektif. Antara pihak-pihak yang terlibat secara langsung ialah Persatuan Peguam Syarie dan para akademik serta Pejabat Peguam Negara. Usaha ini dimulakan seawal tahun 2008, atau mungkin sedikit lebih awal lagi. Ia juga telah disebut dan diperkata dalam Dewan Rakyat sejak 2011.

Pendek kata, perbincangan tentangnya dianggap menyeluruh. Justeru, ia perlu direalisasikan bagi menambahbaik profesion guaman syarie secara khusus dan menaikkan martabat syiar keadilan dalam perundangan Islam di negara ini.

Diharapkan dengan adanya Akta Profesion Guaman Syarie ini nanti ia dapat meningkatkan kualiti, kebajikan dan profesionalisme peguam Syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Dan diharapkan juga kemudiannya nanti Akta ini diambil perhatian dan tindakan oleh semua negeri kerana permasalahan berkaitan guaman syarie juga telah sekian lama wujud di negeri.

KENDATIPUN, oleh kerana profesion guaman Syarie adalah berkaitan amalan keadilan di mahkamah Syariah maka ia secara langsung berkaitan dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Seyogia, perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong dan/atau Majlis Raja-Raja perlu dilakukan sebelum RUU ini diperkenalkan dan dibahaskan dalam Dewan Parlimen. Hal ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah pihak kerana ia dianggap birokrasi. Bahkan mungkin ada yang bermonolog tentangnya sebagai suatu birokrasi perundangan bersifat feudal, dan tidak selaras dengan demokrasi. Walau apa pun pandangan atau monolog itu, dalam aspek proses perundangan ia adalah perkara yang amat besar dan hendaklah diberikan perhatian sepenuhnya.

Kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dikekalkan sebagaimana ada dalam undang-undang yang dilaksanakan sebelum ini. Ini adalah bertepatan dengan kehendak Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 atau Akta 505 yang telah sekian lama diamalkan di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Hanya raja-raja sendiri yang boleh menentukan untuk mengekalkan atau menghapuskannya. Ini adalah kehendak undang-undang yang nyata, bukan semata-mata tafsiran undang-undang. Dengan tiadanya peranan atau kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini, maka adalah satu perkara serius atau boleh dianggap kesilapan besar . RUU ini telah meniadakan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini ada termaktub dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993.

Dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993, hal ehwal peguam Syarie ini mempunyai hubungan langsung dengan kedudukan atau peranan Yang di-Pertuan Agong. Seksyen 59(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 menyebut bahawa “Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat kaedah-kaedah…”. Walaupun telah begitu jelas peranan Yang di-Pertuan Agong dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, adalah terserlah di dalam RUU yang sedang dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat ini, “kelulusan” Yang di-Pertuan Agong tidak dinyatakan atau “telah ditiadakan”. Malah, frasa “kelulusan Yang di-Pertuan Agong” telah dicadangkan untuk digantikan dengan frasa “kelulusan Menteri”. “Menteri” dalam RUU 2019 ini sebagaimana tafsiran di bawah cadangan Seksyen 2 ialah Menteri yang “dipertanggungkan dengan tanggungjawab pentadbiran agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan”.

Sebagai contoh, pada cadangan Seksyen 65 RUU Profesion Guaman Syarie 2019, adalah didapati ia menyatakan, “Majlis Peguam Syarie boleh, dengan kelulusan Menteri, membuat kaedah-kaedah…”. Dengan kata lain, “Kelulusan Yang di-Pertuan Agong” sebagaimana ada dalam Seksyen 59(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dicadangkan untuk digantikan dengan “kelulusan Menteri”. Berkaitan juga dengan perbincangan ini cadangan Seksyen 64 dan Seksyen 66 RUU Profesion Guaman Syarie 2019, yang mana urusan membuat kaedah tentang hal ehwal peguam syarie, boleh dibuat dengan kelulusan Menteri dan tiada lagi kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

Bagi tujuan menyelaraskan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 dengan RUU 2019 yang baharu ini, kerajaan juga mencadangkan pemansuhan Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993. Kerajaan perlu mengambil perhatian terperinci tentang pemasuhan Seksyen 59 Akta ini. Ini kerana pemansuhan Seksyen 59 ini akan mengakibatkan terhapusnya atau hilangnya peranan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi “kelulusan” dalam proses membuat kaedah-kardah berkaitan sebagaimana saya telah nyatakan.

Dalam mencadangkan pemasuhan Seksyen 59 kesemuanya, termasuk sub-seksyen (2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993, perkenan Majlis Raja-Raja sebagaimana kehendak Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan hendaklah diperoleh. Ini kerana ia berkaitan kedudukan raja-raja, secara spesifik, dalam kes Seksyen 59(2) ini, ia berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang mensyaratkan “No law directly affecting the privileges, position, honours or dignities of the Rulers shall be passed without the consent of the Conference of Rulers”. Perkataan “position of the Rulers” atau diterjemahkan kepada “kedudukan Raja-Raja” telah diperundangkan melalui kedudukan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi “kelulusan” kepada kaedah-kaedah berkaitan peguam Syarie. Kerajaan hendaklah mengambil perhatian serius kepada Perkara 38(4) ini kerana ia adalah sebahagian daripada undang-undang tertinggi negara. Ia TIDAK BOLEH dipandang remeh kerana ia bukan hanya bertujuan menjaga kedaulatan raja-raja dan institusi beraja, malah ia adalah sebahagian daripada undang-undang tertinggi negara. Bagi menjaga sifat ketertinggian Perlembagaan Persekutuan, ia hendaklah ditaati sepenuhnya oleh semua pihak. Bahkan, ia adalah sebahagian daripada prinsip menghormati Kedaulatan Undang-Undang.

Berkaitan dengan gubalan RUU Profesion Guaman Syarie, mungkin kuasa dan peranan Majlis Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh diringankan atau dikurangkan melalui proses pindaan atau gubalan undang-undang oleh Parlimen. Kuasa dan peranan Majlis Agama Islam juga boleh ditiadakan melalui pindaan atau gubalan undang-undang itu. Dalam cadangan pemansuhan Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993, ia juga melibatkan pemansuhan kepada peranan Majlis Agama Islam. Pun begitu, adalah sewajarnya dan lebih berwibawa dan berhikmah, menurut tatasusila dan keperibadian umat Islam untuk menyantuni dan meraikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Maka, pengutusan dan perbincangan atau, paling sedikitpun, perlulah ada pemakluman kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pemansuhan kuasa dan peranan Majlis Agama Islam. Ini kerana menurut Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan, Majlis Agama Islam adalah institusi yang menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal Islam.

Tidak saya nafikan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung mensyaratkan perkenan Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dalam hal berkaitan pindaan undang-undang berkaitan Majlis Agama Islam, apa yang saya usulkan di atas adalah tafsiran pada Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan. Sebagai institusi yang amat rapat kedudukannya, secara undang-undang, dengan Yang di-Pertuan Agong dan pemahaman saya dari segi susila dan penghormatan kepada institusi Yang di-Pertuan Agong, lebih-lebih lagi apabila pindaan undang-undang tersebut telah memadamkan kuasa Majlis Agama Islam, maka suatu proses mengenainya perlu melibatkan Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya pemakluman atau perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong telah dibuat, maka pindaan atau pemansuhan tersebut adalah menurut perkenan baginda jua dan ini membuktikan penghormatan kepada institusi beraja dan sifat saling hormat menghormati antara institusi beraja dan para perwakilan di Parlimen. – MalaysiaGazette


Dr Shamrahayu A. Aziz adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget