RUU pindaan perlembagaan had umur mengundi dibentang di Parlimen



KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan membentangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan merangkumi penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan sebelum ini, bagi turut meminda perkara berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

“Pada ‘first reading’ (bacaan kali pertama), kita cuma sebut tentang seorang berumur 18 tahun boleh (mengundi), tetapi kita tak masuk nama dia secara automatik, dia kena register (sebagai pemilih).

“Ada permintaan untuk masukkan pendaftaran automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu di Dewan Rakyat hari ini, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 yang dijadual untuk bacaan kali kedua, ditarik balik.

Usul menarik balik RUU itu masing-masing dikemukakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yakin pindaan perlembagaan baharu itu akan mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Malah, katanya, blok pembangkang telah menyatakan komitmen untuk menyokong pindaan berkenaan dalam sesi pertemuan hari ini.

“Dalam pertemuan dengan pembangkang, semua beri pengakuan mereka akan sokong pindaan ini setelah ditambah automatik ‘registration’ dan had umur 18 jadi calon.

“Kita yakin (dapat sokongan dua pertiga), takkan mereka nak tipu saya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata keputusan menarik balik RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 akan dijelaskan kemudian oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

--BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget